'Walau tak boleh baca, menulis, saya sangat pandai bercakap', hidap disleksia, kini suara 'voice over' Nani jadi rebutan


  • Bizz
  • Khamis, 20 Feb 2025

Nani menjadi antara pengacara dan juga penggiat suara latar bebas yang semakin menjadi sebutan kini. — naniroc

NUR Syazwani Roslan tidak pernah bermimpi akan meniti kerjaya sebagai pengamal media, jauh sekali membayangkan dirinya berada dalam arena lantunan suara.

Namun, celoteh bersahaja dan gemar bercakap sejak kecil membawa Nur Syazwani atau mesra disapa Nani menjadi antara pengacara dan penggiat suara latar bebas yang semakin menjadi sebutan kini.

Memulakan karier sebagai wartawan penyiaran di sebuah syarikat media sejak 2010, beliau meraih pengalaman merangkumi penyampaian berita, penghasilan program televisyen termasuk menyumbang suara untuk stesen radio arus perdana.

BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal

BACA LAGI: Diperlekeh orang terdekat dan dikritik idea gila, pasangan suami isteri tetap nekad perkenal aiskrim premium jenama sendiri

Seiring perkembangan tersebut, peluang mengembangkan bakat dalam industri lantunan suara terbuka luas buat personaliti berusia 38 tahun itu.

Kelunakan vokalnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Khidmatnya sentiasa dintai-intai penganjur majlis, baik acara korporat mahupun untuk pelbagai jenama dan iklan.

"Memang pada mulanya saya hanya bekerja sebagai wartawan penyiaran. Kemudian, peluang membuat voice over untuk radio datang selepas diajak oleh kakitangan di stesen berkenaan.

"Semenjak dari situ, Alhamdulillah ada sahaja projek masuk sehinggalah saya berhenti kerja pada 2015 sebelum berkhidmat dalam dunia korporat selama kira-kira setahun," kongsinya kepada Majoriti.

Beralih kepada dunia perniagaan, bekas pembaca berita itu kini mengendalikan syarikat sendiri di bawah jenama NaniRoc Talents Enterprise, dengan fokus terhadap kerja-kerja pengacaraan dan suara latar.

Keputusan tersebut menurutnya, datang selepas berlaku beberapa perubahan besar dalam hidup termasuk perkahwinan dan kelahiran anak.

"Saya mula menyambung pengajian sepenuh masa di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Shah Alam, Selangor untuk melanjutkan pelajaran dalam program Sarjana.

"Kemudian dalam masa sama saya berkahwin dan hamil. Ketika itu, saya sedar sukar untuk kembali bekerja seperti biasa," ujarnya yang mula menerima tawaran sebagai pengacara majlis bebas ketika itu.

Snapinst.app_461716374_1177705589963633_7599475045431854886_n_1080

Nani kini mengendalikan syarikat sendiri di bawah jenama NaniRoc Talents Enterprise. — Instagram/naniroc

Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ibu kepada dua cahaya mata itu perlu bekerja dari rumah untuk mengendalikan program dalam talian, bagi menjana pendapatan.

Ketika berada dalam fasa menganggur, Nani mula menyedari bahawa untuk terus bertahan dalam industri itu, beliau perlu melaksanakan pengurusan kewangan lebih teratur bagi perkhidmatan dijalankan.

Proses tersebut membawa beliau kepada idea untuk menubuhkan syarikat sendiri.

"Apabila sudah mengeluarkan invois dan membayar cukai, saya fikir kenapa tidak terus buka syarikat sahaja.

"Lagipun pada masa itu kerajaan mula menggalakkan rakyat menerokai ekonomi gig dan menawarkan banyak kemudahan, seperti caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) segera untuk pekerja gig," jelas figura bernada komersial itu.

Disleksia

Bercerita lanjut tentang dunia penyiaran, anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui, beliau sama sekali tidak berhasrat memilih cabang kerjaya tersebut.

Malah pada usia kanak-kanak beliau membesar dengan cabaran sebagai penghidap disleksia tahap ringan.

Kongsinya lagi, disebabkan kesukaran mengenali huruf, Nani hanya dapat membaca dan menulis dengan baik ketika usianya mencecah sembilan tahun.

Di sekolah pula beliau dilabel pelajar tidak berminat terhadap pelajaran, sebaliknya lebih gemar bercakap.

"Walaupun tak boleh membaca atau menulis, saya sangat pandai bercakap.

"Cikgu kemudian mengenal pasti bakat saya dalam bercerita. Baru darjah satu saya sudah dipanggil mewakili peringkat sekolah dan zon untuk pertandingan cerita yang direka sendiri.

"Namun, cikgu yang perlu tuliskan cerita tersebut kerana saya tidak boleh menulis dan membaca," ceritanya sambil mengakui bahawa tulisannya masih agak buruk sehingga hari ini.

Snapinst.app_420055580_773136137968656_2071762431449217960_n_1080

Nani juga merupakan seorang Jurulatih Terakreditasi HRD Corp TTT. — naniroc

Nani menambah, kecintaan terhadap dunia seni persembahan mula timbul apabila menulis skrip dan terlibat dalam aktiviti teater semasa di sekolah.

"Di sekolah, saya dah mula minat menulis skrip dan buat teater. Sebab itu saya pilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan dan Bahasa Inggeris di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).

"Saya ingin buat sesuatu berkaitan teater, tetapi ketika itu langsung tidak terfikir soal kerja," katanya yang dilahirkan di Johor dan membesar di Shah Alam, Selangor.

Sehinggalah takdir menemukan Nani dengan bekas bekas personaliti rancangan televisyen popular, Nurfarahin Jamsari di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur, sempena program karnival kerjaya pada 2010.

"Beliau panggil dan ajak saya cuba baca berita di reruai mereka. Jadi kiranya saya dikrekrut dari situlah," ujarnya.

Bermula daripada situ, Nani menerima peluang menyertai Journalist Pre-Entry Curriculum (JPEC), program di bawah Media Prima Berhad dalam mencari dan menghasilkan wartawan penyiaran berkualiti.

Biarpun awalnya tidak berminat, beliau percaya bahawa itulah rezeki yang tertulis buatnya.

79e37852-1ce0-485b-a588-b0250f3845d6

Nani (kanan) dan suaminya, Ahmad Khuzaie Fadzil, 37, bersama dua cahaya mata. — naniroc

Pengganti suara manusia

Mengulas lanjut mengenai industri lantunan suara, beliau berkata, bidang berkenaan kini berhadapan cabaran baharu dek kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi penggunaan suara dalam pelbagai platform.

Antara yang menjadi kebimbangan adalah penggunaan AI untuk menggantikan pelantun suara manusia, termasuk dalam iklan dan penyiaran.

Jelas Nani lagi, teknologi tersebut semakin berkembang pesat dan berupaya menggantikan suara manusia dalam banyak perkhidmatan.

“Kini ramai klien memilih menggunakan AI berbanding suara manusia. Pernah ada beberapa pihak yang membatalkan servis saya dan menggantikannya dengan suara AI," ceritanya.

Keadaan itu menyebabkan timbul isu penggunaan suara manusia dalam aplikasi tersebut tanpa kebenaran atau persetujuan empunya suara.

Beliau menambah, ia menimbulkan kegusaran khususnya dalam kalangan penggiat industri disebabkan suara mereka boleh digunakan tanpa pengetahuan seperti yang pernah berlaku kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Snapinst.app_461351675_873823951378505_5701828505321479843_n_1080

Nani kini aktif menerima tempahan untuk mengacarakan sesebuah majlis. — naniroc

“Sekarang ada aplikasi yang boleh meniru suara selebriti terkenal. Saya juga pernah menerima mesej menyatakan mereka pernah mendengar suara saya dalam iklan, tapi mirip AI.

"Meskipun teknologi AI semakin canggih, namun tiada regulasi yang mengawal penggunaannya dalam industri penyiaran dan perkhidmatan suara.

"Jadi harapnya pihak berkuasa seperti MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat membuat dasar lebih ketat dalam mengawal penggunaan suara manusia untuk tujuan AI," tegas beliau.

Walaupun teknologi tersebut semakin berkembang, Jurulatih Terakreditasi HRD Corp TTT itu percaya bahawa pendengar masih boleh mengesan dan mendengar kelemahan yang ada.

Tidak dinafikan, manusia masih mempunyai kelebihan dalam mencipta nuansa dan ekspresi yang lebih hidup berbanding AI.

"Suara manusia masih lagi lebih berkesan. Sebab itu, saya selalu pastikan bawa peralatan ke mana sahaja supaya jika ada kerja, saya boleh terus melakukan rakaman," tambahnya.

Snapinst.app_470313238_515429451651795_1567887876875449800_n_1080

Nani (kanan) kini aktif mengendalikan audio siar Kata Kita bersama Diana Danielle. — naniroc

Media presence

Nani dalam pada itu turut menekankan kepentingan media sosial bagi memastikan kelangsungan dan kerelevanan dalam industri yang semakin berkembang pesat.

Akui beliau, masih ramai pelantun suara yang tidak aktif dalam media sosial, menyebabkan mereka kurang dikenali meskipun berbakat besar.

“Memang ramai sebenarnya bakat voice over, tapi mereka tiada media presence. Mungkin pada zaman dulu, mereka boleh beli air time, tetapi sekarang dengan kos yang tinggi, media sosial menjadi platform lebih efektif untuk meningkatkan capaian kepada audiens

"Dengan memanfaatkan media sosial, pelantun suara juga boleh memberi nilai tambah kepada klien.

“Contohnya, jika buat voice over untuk sesuatu acara atau jenama, saya boleh berkongsi kandungan tersebut di media sosial sendiri.

"Ini secara tidak langsung meningkatkan jangkauan dan beri lebih banyak manfaat kepada klien,” kongsinya yang sehingga kini memiliki lebih 400,000 pengikut di aplikasi TikTok.

Beliau turut berkongsi bahawa era digitalisasi menyaksikan industri semakin dipengaruhi kehadiran pempengaruh dan Key Opinion Leader (KOL).

WhatsApp Image 2025-02-13 at 12.35.29

Nani menekankan kepentingan media sosial bagi memastikan kelangsungan karier pelantun suara. — naniroc

Justeru, pelantun suara juga tidak boleh ketinggalan untuk mengikuti perkembangan teknologi dan strategi pemasaran lebih moden.

“Suka atau tidak, kita perlu berkembang mengikut peredaran masa. Dahulu, slot iklan selama 30 saat di televisyen boleh mencecah harga RM30,000.

"Namun kini, lebih ramai syarikat memilih untuk membayar pempengaruh sebanyak RM10,000 bagi satu hantaran media sosial kerana lebih jimat dan capaian lebih luas,” jelasnya yang aktif mengendalikan audio siar (podcast) Kata Kita bersama pelakon, Diana Danielle dan Lebih Masa bergandingan dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nani menambah, ramai dalam kalangan pelantun suara yang sudah berusia enggan terlibat secara aktif dalam media sosial, namun perubahan itu penting demi memastikan kelangsungan kerjaya.

Tidak pandai dan tiada masa menggunakan TikTok, adalah alasan yang sering diberikan.

"Saya sendiri pun malas sebenarnya, tapi inilah realiti dunia sekarang. Kita kena mencapap (mencari publisiti) juga walaupun berat hati.

“Ia bukan sekadar menjadi seorang pelantun suara, tetapi bagaimana kita boleh bantu klien mencapai audiens dengan lebih luas. Itu yang membezakan kita dalam industri ini,” tuturnya menutup perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram