
MENIKAHI ahli perniagaan sering dianggap sebagai satu peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih stabil dan selesa.
Namun, kehidupan perkahwinan dengan individu yang bergelar usahawan juga tidak terlepas daripada cabaran tersendiri yang memerlukan pengertian dan pengorbanan.
Seperti perkongsian usahawan, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, 40, beliau yang membina mahligai cinta bersama usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, 38, bercerita tentang pandangannya terhadap aspek kehidupan berumah tangga, khususnya bergelar isteri kepada ahli perniagaan.
“Takkan ada manusia yang boleh dapat semua.”
I just have to agree pic.twitter.com/sUDCfutsNu
— Anaz. iDevice Repair (@annazrulan) March 8, 2025
"Saya dulu tak faham apabila berkahwin dengan usahawan lelaki, perangai dia tidak selalu romantik sebab dia sibuk, banyak tekanan dan masalah.
"Jadi (isteri) kena faham juga apabila suami tertekan, jangan pula minta tolong itu ini. Kadang-kadang kalau gas habis pun nak suruh suami tukar. Mahu tak mengamuk lelaki balik kerja penat-penat.
"Sebab itu kalau boleh kita jangan membebankan atau menyukarkan suami," katanya menerusi satu perkongsian di laman sosialnya.
Ujarnya, salah satu cabaran terbesar adalah dari segi kekurangan masa yang diluangkan bersama keluarga, selain suaminya juga tidak tergolong dalam kategori romantis.
Tambah beliau, kebiasaannya kedua-dua mereka sangat sibuk dengan urusan kerja dan perniagaan, menyebabkan waktu berkualiti bersama keluarga terhad.
"Kita kerja banyak dan anak juga ramai, jadi jarang nak romantik," jelasnya.
Nur Shahida dan Aliff mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 dan dikurniakan enam cahaya mata. — Instagram/shahidadherbs
Ibu kepada enam cahaya mata itu memberitahu, setiap perkara yang berlaku dalam hidup seseorang mempunyai pro dan kontranya.
Begitu juga dalam setiap aspek kehidupan. Bagi Nur Shahida, kebahagiaan bukanlah terletak pada status kekayaan atau rupa paras individu semata-mata.
"Jika kebahagiaan terletak pada rupa, sudah pasti semua orang cantik akan bahagia, tetapi kita tahu, ramai orang yang cantik pun tidak bahagia.
"Begitu juga jika kebahagiaan terletak pada harta, pasti semua orang kaya akan hidup bahagia, namun ramai juga orang kaya yang hidup mereka porak-peranda.
"Kebahagiaan itu terletak pada hati, apabila kita dapat bersyukur seadanya, rasa cukup dengan hidup dan menganggap kehidupan ini hanya sementara, kita akan merasai kebahagiaan sebenar," ujarnya.
Untuk rekod, Nur Shahida dan Aliff mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 dan dikurniakan enam anak iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusof Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram