
PENGACARA dan model terkemuka, Marion Caunter Rose Abdullah berkongsi detik penuh emosi apabila puteri sulungnya, Leia Rose, 13, pertama kali terlibat dalam sesi penggambaran untuk kempen jenama kecantikannya, Mare by Marion Caunter, baru-baru ini.
Marion menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya memuat naik video dirinya bersama Leia Rose ketika penggambaran memperkenalkan produk lip oil (kombinasi antara gincu dan lip gloss), bersempena musim perayaan.
Ujar ikon fesyen kelahiran George Town, Pulau Pinang itu, perasaan terharu menyelubungi jiwanya saat menyaksikan anaknya yang kini meniti fasa remaja menunjukkan minat dalam bidang yang diceburinya sejak berusia 20-an.
BACA LAGI: 'Lebih malu jika tak fasih', pengacara WHI sokong pendidikan sejak kecil perkasa bahasa Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] Marion Caunter bahagia besarkan anak-anak multikultural, didik raikan perbezaan budaya
Dalam perkongsiannya, Marion mengakui beliau adakala sukar memperkenalkan dunia kerjayanya kepada anak-anak pada usia yang masih muda.
"Namun, saya sudah lama berkecimpung dalam karier ini dan anak-anak perempuan benar-benar sahabat baik saya.
"Mereka juga suka terlibat dalam pelbagai aspek kerjaya saya," tulisnya pada Rabu.
Akuinya, memandangkan anak-anak sudah semakin membesar dan memiliki pendapat sendiri, Marion mahu mereka mempunyai sebanyak mungkin autonomi dalam membuat pilihan hidup.
Kongsinya lagi, beliau tidak pernah memaksa anak-anak perempuannya melakukan perkara yang tidak disukai.
Marion (dua dari kanan) tidak pernah memaksa anak-anak melakukan perkara yang tidak disukai. — marioncaunter
"Saya terangkan kepada mereka tentang hal yang perlu dilakukan dalam sesi penggambaran dan bertanyakan sama ada mereka bersedia untuk tugas tersebut atau tidak.
"Leia segera berkata ya, tetapi Lana (anak kedua) nampaknya tidak berminat dan saya mahu menghormati keputusan mereka," jelasnya yang mewarisi genetik kaum Cina dan Eurasia.
Usahawan itu mengakui sedikit bimbang tentang persiapan Leia dalam menghadapi sesi penggambaran tersebut, namun remaja itu dikurniakan bakat semula jadi untuk beraksi di hadapan kamera.
"Saya tanya sama ada beliau penat selepas sesi penggambaran? Jawapan Leia sangat mengejutkan.
"Leia jawab tidak dan beliau suka! Malah Leia juga bertanyakan tentang jadual sesi penggambaran seterusnya," ceritanya.
Untuk rekod, Marion mendirikan rumah tangga bersama pewaris Naza Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin pada Disember 2010 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Leia, Lana Rose, 11, dan Liam Naza, 9. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram