'Lebih malu jika tak fasih', pengacara WHI sokong pendidikan sejak kecil perkasa bahasa Malaysia


Sugeeta Chandran terkenal dengan gaya penyampaian yang santai dan tidak kekok berbahasa Malaysia.

PENGACARA program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, Sugeeta Chandran terkenal dengan gaya penyampaian santai, bersahaja dan pertuturan yang mudah difahami.

Walaupun berasal daripada keluarga bertutur dalam bahasa Tamil, namun Sugeeta tidak sedikitpun kekok berbahasa Malaysia.

Bagi Sugeeta, kelancarannya berbahasa Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerana ia merupakan bahasa kebangsaan di negara ini.

"Saya rasa lebih malu kalau tidak fasih bahasa Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia yang dilahirkan dan dibesarkan di sini saya anggap ia satu tanggungjawab untuk menguasai bahasa kebangsaan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Tunai janji selepas 53 tahun kahwin, bekalan elektrik terputus pahit manis Salleh ke Kashmir bersama cinta hati

BACA LAGI: [VIDEO] Gen Z sanggup berhabis untuk 'travel' berbanding membeli barangan mewah

WhatsApp Image 2025-01-27 at 4.16.48 PM

Sugeeta terkenal dengan gaya penyampaian santai dan mudah difahami.

Anak jati Shah Alam, Selangor itu berkata, persekitarannya majoriti terdiri daripada orang Melayu dan mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan banyak membantu beliau menguasai bahasa tersebut.

Selain bahasa Tamil, beliau juga menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris untuk berkomunikasi secara harian di rumah.

Dalam pada itu, Sugeeta juga menyokong penuh usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Malaysia melalui Belanjawan 2025.

Dalam belanjawan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan penggunaan bahasa Malaysia dalam bidang ilmu dan teknologi termasuk melibatkan kecerdasan buatan (AI).

"Saya setuju dengan usaha kerajaan untuk memperkasa bahasa Malaysia. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan menjaga bahasa kita?" kata Sugeeta.

Namun, Sugeeta meluahkan kebimbangannya apabila melihat ramai golongan muda yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian.

Bicaranya banyak anak muda beranggapan bahawa bahasa Malaysia itu kurang 'gempak' atau tidak bergaya.

"Bahasa Malaysia adalah bahasa penuh maruah. Tidak salah belajar bahasa lain, tetapi kita tidak boleh memandang rendah bahasa kebangsaan," katanya.

Walaupun banyak mengaitkan penggunaan bahasa Inggeris dengan pengaruh media sosial dan teknologi, Sugeeta percaya bahawa pendidikan sejak kecil adalah faktor utama dalam memastikan generasi muda terus mencintai bahasa Malaysia.

"Jika sejak kecil anak-anak diajar untuk mencintai bahasa Malaysia, mereka akan tetap fasih walaupun berada di luar negara," jelas Sugeeta.

WhatsApp Image 2025-01-27 at 4.19.34 PM

Sugeeta selesa menggunakan bahasa Malaysia bertutur dalam kehidupan hariannya.

Sugeeta turut memberi pujian kepada pempengaruh luar negara yang kini semakin ramai menggunakan bahasa Malaysia dalam kandungan mereka.

Seorang penyampai radio yang berasal dari England, Mat Dan merupakan salah seorang sosok dipuji Sugeeta kerana sebutannya yang tepat dan intonasi jelas dalam bahasa Malaysia.

Dalam perkembangan berlainan, menyentuh mengenai kaum Hawa sebagai pengacara WHI, Sugeeta dan produksi sering mengetengahkan isu-isu yang penting bagi wanita terutamanya kesihatan mental.

Beliau percaya penjagaan kesihatan mental perlu dititikberatkan untuk memastikan wanita tidak hanya sihat secara fizikal, malah mental.

“Wanita yang sihat dari segi mental akan memberi impak positif kepada diri mereka dan masyarakat,” katanya.

6104737412568697071

Aksi Sugeeta ketika mengacarakan program WHI di TV3.

Selain kesihatan mental, Sugeeta juga memberitahu bahawa wanita tidak dapat lari daripada isi diskriminasi, salah satunya dalam industri hiburan melibatkan mengenai perbezaan bayaran antara hero dan heroin.

Sugeeta berkata, masalah itu bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan peringkat global.

Bertanya soal wanita memilih berkahwin lewat untuk memfokuskan kerjaya, Sugeeta berpendapat hal itu bukanlah sesuatu hal dianggap memalukan.

Beliau berkata setiap wanita berhak membuat pilihan hidup mereka sendiri, sama ada mahu menumpukan perhatian pada karier terlebih dahulu atau berkahwin apabila sudah bertemu jodoh.

"Untuk saya, berkahwin cepat atau lewat itu tidak menjadi masalah.

"Yang penting adalah keseimbangan antara karier dan kehidupan peribadi.

"Wanita zaman sekarang lebih memberi fokus kepada karier dan itu adalah pilihan yang harus dihormati," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram