[VIDEO] Marion Caunter bahagia besarkan anak-anak multikultural, didik raikan perbezaan budaya


Marion yang mewarisi genetik kaum Cina dan Eurasia merupakan ibu kepada tiga orang cahaya mata.

SOSOK Marion Caunter Rose Abdullah bukan sahaja terkenal dengan kecantikan luar biasa, tetapi kepetahannya dalam berbicara.

Sebagai wanita penuh pesona, beliau berjaya mencuri perhatian ramai sejak awal penglibatannya dalam dunia hiburan terutama ketika berusia 20-an dengan terlibat aktif sebagai pengacara dan model.

Anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang yang mewarisi genetik kaum Cina dan Eurasia tersebut turut menjadi antara pengacara bukan kaum Melayu diminati ramai.

BACA LAGI: 'Lebih malu jika tak fasih', pengacara WHI sokong pendidikan sejak kecil perkasa bahasa Malaysia

BACA LAGI: Gen Z kurang minat pada seni tradisi, Nini Ramlan ingin didik golongan muda mengenai budaya sendiri

6127407362353512628

Marrion bersyukur dapat mendidik anak-anaknya menerima perbezaan budaya.

Namun, di sebalik penampilan memikat, Marion lebih dikenali berpendirian yang teguh dalam mengutamakan nilai kesatuan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya khas dalam konteks kekeluargaan.

Ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Leia Rose, 13; Lana Rose, 11; dan Liam Naza berusia 9 tahun itu sentiasa mengutamakan masa bersama keluarga dan percaya bahawa menghargai perbezaan budaya adalah asas dalam membesarkan generasi lebih terbuka dan penyayang.

“Anak-anak saya membesar dalam budaya keluarga campuran, dan saya sangat bersyukur kerana mereka belajar untuk menerima perbezaan dari segi fizikal atau latar belakang,” ujar Marion.

Beliau percaya bahawa penting untuk anak-anaknya menghargai setiap keunikan yang dimiliki dan tidak sekadar menilai seseorang berdasarkan rupa paras.

"Saya selalu pesan kepada mereka untuk memberi tumpuan pada perkara-perkara yang lebih bermakna seperti kebaikan dan kebijaksanaan kerana rupa paras akan berubah dengan usia.

"Apa lebih penting adalah sumbangan yang mereka beri kepada masyarakat," katanya.

6127407362353512629

Marion memiliki kecantikan mewarisi darah campuran kaum Cina dan Eurasia.

Marion yang mendirikan rumah tangga dengan pewaris Naza Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin pada Disember 2010 mengakui bahawa perasaan kesatuan itu turut diterapkan dalam pendidikan anak-anak.

Sebagai anak kepada bekas pensyarah, Marion memahami betapa pentingnya pendidikan untuk membentuk jati diri dan membuka peluang kehidupan yang lebih baik.

"Saya sentiasa mengingatkan anak-anak untuk memberi keutamaan pada pendidikan.

"Yang penting bagi saya adalah mereka menjadi individu berdisiplin dan berdikari serta memberi terbaik dalam setiap perkara mereka lakukan," tambahnya.

Meskipun Marion memiliki kerjaya yang cemerlang dalam dunia hiburan dan perniagaan, beliau tidak pernah menyesal membuat keputusan kira-kira 20 tahun lalu untuk meninggalkan dunia pengacaraan demi memberi fokus kepada keluarga.

"Sejak kecil, saya sudah mengimpikan untuk menjadi ibu. Saya berasa sangat bahagia setiap kali pulang ke rumah dan disambut dengan keletah anak-anak.

"Mereka adalah sumber kekuatan dan segala masalah hilang begitu sahaja," kata Marion, pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi dan Penyiaran Elektronik daripada Universiti Marquette, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat.

Kini selain menguruskan keluarga, Marion turut sibuk dengan beberapa projek perniagaan yang giat dijalankan.

6127407362353512632

Selain menguruskan keluarga, Marion juga mengusahakan salon Hairplay Salon.

Salah satunya adalah Mare, jenama penjagaan rambut yang beliau usahakan, di samping mengendalikan salon Hairplay Salon yang diasaskan bersama pendandan selebriti, Shaun Yap, pada 2013.

Bagi Marion, menjaga kesihatan rambut merupakan aspek yang sering dipandang remeh dan beliau berusaha untuk memupuk masyarakat mengenai kepentingan penjagaan rambut yang lebih optimal.

Bukan hanya itu, Marion juga merancang untuk memulakan platform audio siar sendiri pada tahun 2025, dengan fokus utama pada topik-topik yang relevan kepada wanita seperti penuaan, menopaus, kesihatan mental, dan penghargaan diri.

“Saya ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman saya melalui platform itu supaya dapat membantu wanita di luar sana untuk menghargai diri mereka sendiri,” katanya.

Sebagai seorang ibu, isteri dan usahawan, Marion terus menginspirasi ramai dengan dedikasi dan komitmennya terhadap keluarga, pendidikan dan kesatuan masyarakat.

Beliau mengharapkan anak-anaknya membesar dengan penuh keyakinan dan semangat untuk menjadi generasi yang lebih baik tanpa terikat pada stereotaip atau perbezaan fizikal.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu meraikan perbezaan dan bersatu untuk membina negara yang lebih baik," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram