BAGI mereka yang aktif di media sosial, nama usahawan selebriti, Puteri Zarith bukanlah satu nama yang asing.
Dengan mempunyai hampir 300,000 pengikut, Puteri Zarith atau nama sebenarnya Puteri Intan Zarith Che Rashdi sering mencuri perhatian warganet.
Selain mempunyai karakter bersahaja dan wajah yang comel, wanita berusia 40 tahun itu juga cukup sinonim dengan cita rasa fesyen unik digayakan untuk pelbagai acara majlis.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagi Puteri Zarith, penjagaan penampilan, kecantikan dan kesihatan amat penting baginya untuk kekal aktif.
Tambahan pula, sebagai usahawan yang mengendalikan lebih lima syarikat produk kecantikan, kesihatan dan penjagaan diri, pembawakan diri disifatkan perlu selari dan mencerminkan perniagaan diketengahkan.
Faktor itu mendorong usahawan wanita tersebut sentiasa menitikberatkan penjagaan secara holistik.
Mula dikenali dengan keluaran produk suplemen kesihatan kulit iaitu OLIcandy, komitmen beliau berkolaborasi dengan rakan selebriti, Nora Danish selama sedekad kekal hingga hari ini.
Puteri Zarith mula dikenali dengan keluaran produk suplemen kesihatan kulit iaitu OLIcandy. — Instagram/PuteriZarith
Produk tablet kunyah itu diketengahkan menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti vitamin C, ekstrak daun zaitun, camu-camu, buah aprikot dan lidah buaya.
Di samping itu, beliau turut menjalankan kerjasama bersama rakan artis lain seperti Marion Caunter dan Mira Filzah untuk beberapa senarai produk penjagaan kecantikan diri antaranya serum rambut.
Keluar dari zon selesa
Bagaimanapun, dengan minat yang sudah tertanam dalam dirinya, Puteri Zarith tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi.
Sekitar Disember tahun lalu, beliau memberanikan diri keluar dari zon selesa dengan menghasilkan rangkaian produknya sendiri.
Menerusi jenama PZ, dua jenis teh langsing, The Teh Tarix dan The Matcha diperkenalkan kepada umum dengan sentuhan cita rasa lokal.
Meskipun mengakui dirinya bukan penggemar teh, penampilan dua produk itu menurutnya adalah sebagai tanda penghargaan buat dirinya kepada masyarakat yang menyokong perniagaannya.
Kedua-dua koleksi teh itu juga simbolik hadiah untuk dirinya sendiri yang berani berdepan dengan jatuh bangun sepanjang bergelar usahawan.
“Kedua-dua produk ini dihasilkan mengikut cita rasa masyarakat tempatan. Kaji selidik mendapati umum menggemari teh berbanding kopi.
“Jadi, menerusi penyelidikan dan pembangunan selama masa enam bulan menggunakan formulasi tersendiri, maka terhasil dua variasi teh langsing itu,” katanya.
Pilihan teh langsing The Teh Tarix lebih digemari dalam kalangan kelompok berusia 35 tahun ke atas manakala untuk remaja hingga 35 tahun pula perisa teh moden seperti The Matcha.
Produk yang merupakan 100 peratus keluaran tempatan itu menggunakan manisan stevia sebagai pengganti gula dan didakwa mampu memberi tenaga kepada tubuh.
Jelasnya, rasa teh tarik asli pada The Teh Tarix juga membuatkan pengambilan minuman itu lebih menyelerakan.
Sebagai individu yang sibuk dengan urusan perniagaan, menghadiri pelbagai acara berprestij dan mengurus dua cahaya mata, Puteri Zarith cukup arif mengenai pentingnya soal penjagaan kesihatan dan berat badan.
“Berat badan berlebihan, lesu dan cepat mengantuk akan membuatkan rutin kehidupan terganggu. Jadi, produk itu dihasilkan untuk membantu masalah berkenaan,” ujarnya yang juga anak kelahiran Kuantan, Pahang
Menyentuh tentang pembabitan awal dalam dunia perniagaan, katanya minat itu datang secara semula jadi.
Membesar dalam keluarga memiliki empayar perniagaan dalam sektor binaan, beliau turut mempunyai keinginan memberikan komitmen pada bidang berbeza.
Sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Kewangan dan Pemasaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, Puteri Zarith pernah mencuba bekerja di salah sebuah syarikat edaran kenderaan di Petaling Jaya, Selangor selama enam tahun.
Bagaimanapun pekerjaan itu tidak memberikan kepuasan kepadanya apabila beliau mula menyambung pendidikan sarjana dalam bidang sama pada usia 30-an.
Inspirasi
Puteri Zarith (kanan) turut bekerjasama dengan Nora Danish. — Instagram/PuteriZarith
Persekitaran dikelilingi pemilik syarikat dan ketua pegawai eksekutif hebat ketika membentangkan kertas kerja di dalam kelas, membuatkan dirinya terasa kerdil.
Disebabkan itu, beliau kemudiannya mula terdetik mahu menimba pengalaman dalam bidang perniagaan dikendalikannya sendiri.
“Saya mula sedar, pengalaman adalah kunci utama seseorang itu berjaya dalam bidang diceburi,” katanya.
Beliau turut mengakui mengurus perniagaan sendiri memberikan kebebasan jadual waktu baginya selain membantu mengurangkan tekanan.
Berpegang pada prinsip kesabaran adalah tenaga paling kuat untuk berjaya, Puteri Zarith bersyukur kerana produknya diterima baik pengguna.
Perjalanan perniagaan dalam tempoh sedekad juga disenangi dan dikenali bukan sahaja dalam kalangan rakan artis dan selebriti, malah masyarakat umum.
Ditanya mengenai sumber inspirasi dalam mengusahakan perniagaan, percutian membantu dirinya kembali fokus dengan idea baharu.
“Saya gemar bercuti kerana pengembaraan memberi pengetahuan dan idea baharu untuk diterapkan dalam produk dan strategi perniagaan,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram