
KEPERCAYAAN adalah asas dalam mana-mana hubungan khususnya alam rumah tangga. Tanpa kepercayaan, hubungan mula goyah, membawa ketegangan dan ketidakselesaan.
Dalam hubungan suami isteri, kepercayaan bukan hanya berkaitan dengan kata-kata, tetapi tindakan saling memberi ruang, menghormati privasi dan memahami bahawa setiap individu memiliki hak untuk mengekalkan batasan peribadi mereka.
Ini termasuk soal berkongsi akses kepada telefon bimbit dan akaun media sosial.
Dahlia (kiri) dan Tya masing-masing tidak mempunyai masalah untuk berkongsi akses telefon dengan pasangan. — Instagram/@dahliashazwan, @tyaarifinnw
Sebagai pasangan hidup, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kepercayaan dan keselesaan dalam hubungan mereka.
Ada berpendapat bahawa berkongsi kata laluan adalah simbol kepercayaan, sementara ada juga menekankan pentingnya privasi meskipun berada dalam hubungan rapat.
Sehubungan dengan itu, Majoriti mendapatkan pandangan daripada beberapa wanita mengenai isu ini.
Bagi personaliti TV, Dahlia Shazwan, berkongsi kata laluan dengan pasangan adalah sesuatu yang tidak menjadi masalah dalam hubungan.
“Kami berkongsi sebab tak ada apa nak sorok. Sebab saya percaya dalam hubungan kami, dua-dua adalah dewasa, jadi segala tindakan ada akibatnya,” kata Dahlia.
Menurutnya, dalam hubungan yang matang, pasangan perlu memikirkan dengan teliti segala tindakan kerana setiap perbuatan ada risiko dan kesan.
Baginya, berkongsi segala informasi termasuk kata laluan adalah lebih mudah dan tidak perlu dipandang sebagai beban.
Sementara itu, Tya Arifin yang juga menantu kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berpendapat, setiap pasangan mempunyai cara tersendiri dalam menangani soal berkongsi akses kata laluan.
Berkongsi kata laluan dan akses media sosial pasangan tidak menjadi beban sekiranya wujud kata sepakat. — Gambar hiasan/Freepik
Tya menambah, apa yang lebih penting adalah rasa selamat dan kepercayaan dalam hubungan. Jika pasangan tidak rasa perlu berkongsi, itu juga tidak menjadi masalah, asalkan kedua-duanya memahami keperluan dan batasan masing-masing.
"Bagi Tya, setiap pasangan ada cara masing-masing. Kalau berkongsi privasi itu menjadi peraturan dalam rumah tangga, tiada masalah kerana yang paling penting, setiap pasangan mesti rasa selamat," ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Nur Shahirah Azman pula berpendapat bahawa berkongsi akses kepada telefon dan media sosial bukanlah perkara besar dalam hubungan, malah ia memudahkan banyak perkara, terutamanya dalam situasi keluarga mahu berkongsi gambar atau maklumat.
"Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu pun. Ia lagi memudahkan dalam situasi tertentu terutamanya jika keluarga nak berkongsi apa-apa, isteri tidak perlulah tunggu sampai suami yang hantar.
"Melainkan kalau salah seorang daripada pasangan masih ada niat lain sampai kena berahsia," katanya.
Namun, beliau juga menegaskan bahawa setiap pasangan perlu menghormati batasan masing-masing, terutama pada peringkat awal hubungan.
Bagi Naja, kepercayaan sepenuhnya terhadap pasangan adalah kunci dalam hubungan yang bahagia.
“Saya percaya 100 peratus pada pasangan. Telefon saya memang ada kata laluan, tetapi saya kongsi semuanya dengan dia,” katanya.
"Kalau macam WhatsApp suami pula, saya tidak bacalah sebab percayakan dia. Dalam rumah tangga memang kena ada kepercayaan antara satu sama lain. Kalau tiada, macam mana nak hidup bersama?" tambahnya.
Setiap pasangan perlu sedar kesan jika tiada kejujuran dalam rumah tangga. — Gambar hiasan/Freepik
Senada dengan yang lain, Naja berpendapat bahawa kepercayaan adalah asas dalam perkahwinan dan privasi tidak perlu menjadi halangan dalam membina hubungan sihat.
Namun, berbeza pula pandangan Yasmin Lukman yang menekankan kepentingan privasi dalam hubungan. Pun begitu, beliau tidak keberatan untuk berkongsi kata laluan dengan pasangannya.
“Saya terbuka untuk berkongsi kata laluan tetapi pandangan saya walaupun antara pasangan, privasi masih diperlukan dalam keadaan tertentu.
Pandangan itu jelas menunjukkan kepercayaan antara pasangan adalah penting, tetapi ia tidak bermakna setiap pasangan perlu saling berkongsi segala-galanya.
Bagi Yasmin, privasi adalah hak setiap individu dan hubungan harus dibina berdasarkan kepercayaan dan saling menghormati.
Soal berkongsi kata laluan dan akses media sosial adalah sangat bergantung kepada tahap kepercayaan dan keselesaan dalam hubungan.
Walaupun ada yang lebih cenderung untuk berkongsi segala-galanya, ada juga lebih menghargai privasi.
Sebagai pasangan hidup, memahami antara satu sama lain adalah kunci untuk memastikan hubungan kekal bahagia dan harmoni. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram