
PENYANYI remaja, Ara Aziz, 14, berhasrat untuk melanjutkan pelajaran menerusi sistem fast track dalam bidang psikologi di peringkat universiti pada tahun depan.
Gadis yang sedang hangat dan menjadi bual mulut ramai terhadap lagu raya bersama Geng Gen Z itu dikatakan sedang dalam persedian menduduki ujian International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
"Sekarang, saya masuk 'fast track' dan dapat 'lompat' beberapa tahun. Saya akan duduki IGCSE yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak lama lagi.
"Jika semua lancar, saya akan masuk universiti dan lanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi tahun depan. Saya sebenarnya pilih lanjutkan pengajian di universiti luar negara.” katanya menerusi satu kenyataan di Instagram.
Anak perempuan kepada pengarah Aziz M Osman itu, menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang tersebut sejak sekian lama namun buat seketika, hasratnya itu terpaksa di tunda berikutan usianya yang masih muda.
“Insha-ALLAH, tahun depan saya akan masuk universiti,” ujarnya yang memasang niat untuk menghabiskan pelajaran peringkat sekolah dengan awal dan melanjutkan pelajaran di universiti luar negara.
Terdahulu, Ara bersyukur lagu Raya Gen-Z menerima sambutan menggalakkan. Video muzik lagu berkenaan kini disiarkan secara rasmi di akaun YouTube Mask Team dan semua platform digital muzik.
Ara terbabit dalam lagu Aidilfitri Raya Gen Z bersama tiga selebriti remaja lain iaitu Cik B, Qadejah Aliff Syukri dan Alyssa Dezek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram