
LELAKI berusia 36 tahun yang terpaksa menjalani hidup dengan separuh tempurung kepala tidak pernah menyangka kisahnya akan mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selepas kisah lelaki itu, Muhammad Sufian Abdul Aziz tular di media sosial, Anwar segera mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Kedah untuk menyalurkan bantuan kepadanya.
Berita itu ternyata mengejutkan Sufian, yang tidak menyangka perjuangan hidupnya sejak berdepan nasib malang itu mendapat perhatian Perdana Menteri yang disifatkan cukup prihatin.
“Terkejut bila dapat tahu. Saya selama ini berjuang sendiri demi kelangsungan hidupnya.
"Rasa bersyukur kerana kisah saya mendapat perhatian daripada Perdana Menteri. Saya dah prepare ayat (ucapan) untuk sampaikan kepada beliau. Ibu saya akan jadi tukang skrip," selorohnya ketika dihubungi Majoriti.
Sufian yang juga seorang ahli fisioterapi di sebuah hospital kerajaan berkata, dia mendapat tahu berita mengenai kehadiran wakil Perdana Menteri iaitu Pengarah ICU JPM Negeri Kedah setelah dimaklumkan oleh seorang wartawan pada Selasa.
Perkhabaran itu ternyata cukup membuatkan hari bapa tunggal kepada seorang cahaya mata berusia lima tahun itu lebih bermakna.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada PMX (Anwar), PMX memang terbaik,” katanya lagi.
Ditanya mengenai bentuk bantuan yang akan dihulurkan oleh Perdana Menteri, Sufian memaklumkan dia tidak mempunyai butiran lanjut namun cukup bersyukur atas pertolongan yang disampaikan.
"Saya masih tidak tahu bentuk bantuan yang akan diberikan, tetapi saya sangat bersyukur dengan perhatian yang diterima daripada kerajaan. Katanya dia nak datang pukul 3 hari ini (Rabu),” ujarnya.
Sufian sebelum ini mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan pada 2023 yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Keadaan itu bukan sahaja mengubah hidupnya secara drastik tetapi juga menyebabkan perkahwinannya berakhir dengan perceraian.
Demi menampung kos rawatan dan membeli implan tempurung kepala bernilai RM15,000, Sufian turut menjalankan perniagaan sampingan dengan menjual daging salai secara dalam talian bagi menambah pendapatan.
Walaupun masih bekerja sebagai petugas fisioterapi, Sufian mengakui, bayaran yang diterima belum mencukupi kerana ketika ini, dia hanya menerima separuh gaji memandangkan telah bercuti sakit (MC) selama setahun.
“Buat masa ini, saya masih berharap mendapat bantuan kewangan kerana saya hanya mempunyai simpanan sebanyak RM200.
"Rawatan ini amat penting bagi mengurangkan kesakitan yang saya alami,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram