Waktu iftar ikut aras Burj Khalifa, lentera terangi rumah di Mesir antara suasana unik Ramadan


  • Relaks
  • Ahad, 02 Mac 2025

Setiap negara dan tempat memiliki keunikkan cara sambutan bulan Ramadan, akan tetapi walau di mana saja anda berada, adalah lebih baik untuk kita merujuk kembali fatwa dan mazhab yang telah ditetapkan.

TIBA saja Ramadan, pastinya terlintas di benak fikiran bagi kebanyakan masyarakat Malaysia berkenaan juadah berbuka, keenakan makanan di bazar dan solat sunat Tarawih.

Tetapi, pernahkah anda terfikir apakah keunikan terdapat di negara luar ketika menyambut bulan mulia ini?

Jom, Majoriti kongsikan lima negara yang menyambut bulan Ramadan dalam suasana unik.

BACA LAGI: Pandangan ibu Zayn Rayyan seperti kosong, tiada perasaan ketika disoal di mahkamah

BACA LAGI: Saksi menangis cerita detik jumpa jasad Zayn Rayyan seperti tidur mengiring

Jenis-jenis lampu lantera mewarnai setiap rumah di Mesir ketika bulan Ramadan.

Mesir - Lentera Ramadan

Salah satu amalan di Mesir menjelang bulan puasa adalah menghidupkan lentera atau lampu bernama lampu Fanous di luar rumah.

Ia sebagai simbolik negara tersebut sedang menyambut bulan Ramadan. Budaya digelar Lentera Ramadan itu memperlihatkan kelestarian cahaya menyinari setiap kawan rumah.

Ini termasuk menerangi jalan dengan warna-warna gemerlapan dan bersama dekorasi istimewa.

Setiap rumah akan menyalakan lampu di depan rumah pada waktu malam.

Tradisi tersebut dikatakan berasal dari masyarakat zaman dahulu yang menggunakan alat tersebut sumber cahaya untuk ke masjid.

Malah menurut sejarah Islam, amalan tersebut asalnya ditemui oleh orang Mesir semasa zaman Khalifah Fatimiyah.

Rodaan Musaharati diiringi pukulan dram beserta irama dan nyanyian adalah tradisi mengejutkan komuniti bangun bersahur.

Jordan - Musaharati

Salah satu tradisi Ramadan tertua di Arab dipanggil musaharati. Ia merupakan acara meronda di setiap kejiranan pada waktu malam sepanjang bulan suci tersebut.

Bukan setakat itu, rondaan akan diiringi pukulan dram beserta irama dan nyanyian bertujuan mengejutkan keluarga untuk menyediakan sahur.

Dipercayai berasal dari ajaran rohani Sufi, musaharati yang pertama kali muncul pada abad ke-9 di Mesir, ketika gabenor, Otbah Ben Issac.

Jika secara tradisional mereka akan menyanyikan 'bangun untuk menyembah pencipta', namun musaharati moden di Jordan kini lebih kreatif dengan menyanyikan koleksi lagu rakyat dan lagu Islam.

Masjid Nurd Kamal di Rusia merupakan masjid paling sejuk di dunia.

Kutub Utara - The Midnight Sun

Pernahkah anda terfikir, bagaimanakah keadaan mereka yang menetap di kawasan Kutub utara?

Rata-rata negara terletak di kawasan rantau kutub utara memiliki waktu berpuasa yang agak singkat sekitar 8 jam sahaja. Ini disebabkan fenomena midnight sun iaitu keadaan matahari tegak di langit walaupun pada waktu tengah malam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut.

Mereka di sana perlu berpuasa seperti biasa mengikut waktu terbit dan tenggelam matahari.

Walaupun siang dan malam sama tapi waktu pagi serta malam masih ada. Perkara ini sebenarnya berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan waktu solat itu dilakukan pada waktu siang dan malam.

Masjid The Midnight Sun, Kanada.

Di Kanada, terdapat masjid popular bernama Masjid The Midnight Sun kerana terletak di lokasi yang sering berlaku fenomena tersebut.

Ini termasuk masjid paling sejuk di dunia iaitu Masjid Nurd Kamal yang terletak di bandar Norilsk, utara wilayah Siberia, Rusia.

Pastinya sebuah pengalaman Ramadan yang istimewa dapat dirasai di sana.

Burj Khalifa, Dubai

Dubai - Burj Khalifa

Di Malaysia terdapat beberapa buah negeri berkongsi waktu berbuka yang sama dan ada juga berbeza.

Ia berikutan jarak beberapa buah negeri yang membezakan masuk waktu Magrib.

Di Burj Khalifa, waktu berbuka puasa terpecah kepada tiga mengikut ketinggian bangunan yang mempunyai 163 tingkat.

Bagi mereka yang berada di tingkat 80 ke bawah, waktu berbuka seiring dengan masuknya waktu Maghrib di masjid.

Manakala aras 80 hingga 150 pula perlu menunggu dua minit selepas waktu berbuka daripada tingkat bawah.

Kemudian, mereka yang berada di tingkat 151 dan ke atas pula perlu menunggu hingga tiga minit selepas penduduk di bawah berbuka puasa.

Mengapa hal ini berlaku? Ia disebabkan kaedah mengukur waktu di sana lebih melihat kepada keadaan matahari yang terbenam terlebih dahulu.

Kaedah yang sama turut digunakan ketika melihat matahari terbit untuk waktu sahur.

Tradisi Padusan membersihkan diri secara fizikal dan rohani dengan mandi beramai-ramai sebagai persiapan memasuki bulan Ramadan.

Yogyakarta - Padusan

Tradisi Padusan dilakukan menjelang bulan Ramadan merupakan sebuah tradisi masyarakat di Jawa Tengah dan Yogyakarta.

Ia gabungan antara dua budaya, iaitu Islam dan budaya Jawa seterusnya mewarisi amalan tersebut turun-temurun hingga hari ini.

Setiap orang akan mandi beramai-ramai sebagai tanda menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Kebiasaannya, Padusan dilaksanakan dalam suasana keramaian di kawasan tertentu seperti sungai atau kolam air yang dianggap suci.

Tujuan utama dari tradisi Padusan adalah untuk membersihkan diri secara fizikal dan rohani sebagai persiapan memasuki bulan Ramadan yang penuh berkah.

Bahkan ia sebagai tanda mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.Bagaimanapun, ia sekadar tradisi dalam sesebuah masyarakat yang diamalkan sejak dahulu kala.

Pun demikian, seiring modenisasi tradisi berkenaan dikomersialkan kerana disifatkan penyeri suasana sahaja. Sebagai umat Islam dalam apa jua keadaan segala yang dilakukan harus mengikut fatwa ditetapkan supaya menjalani ibadah puasa dengan sempurna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram