
MENJELANG bulan Ramadan, ramai yang sudah mulai membuat persiapan bukan sahaja untuk menjalani ibadah puasa tetapi juga untuk mendekatkan lagi hubungan dalam kekeluargaan.
Tidak ketinggalan, pasangan sama cantik sama padan, Anzalna Nasir dan suami, Hanif Zaki juga sedang membuat persiapan rapi menyambut bulan penuh keberkatan ini.
Bagi mereka, Ramadan adalah masa yang sempurna untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga dan mendekatkan diri kepada ALLAH.
Sebagai isteri, Anzalna beranggapan bahawa salah satu persiapan yang paling penting adalah memastikan hidangan sahur untuk suaminya disediakan dengan sempurna.
"Untuk persiapan Ramadan kali ini, saya mahu pastikan dapat sediakan masakan yang cepat dan mudah.
"Hanif tak boleh terlepas sahur, jadi saya perlu bangun lebih awal.
"Makanan seperti daging dendeng adalah antara pilihan saya untuk memastikan dia mendapat tenaga cukup sepanjang hari," katanya kepada Majoriti.
Walaupun persiapan itu kelihatan sederhana, ibu kepada Mohamad Eidrees, 6, dan Mohamad Emirhan, 3, itu menyifatkan menjaga perut suami menjadi keutamaannya setelah berumah tangga.
Bukan sekadar makanan, Hanif Zaki juga berkongsi bahawa beliau sangat menanti setiap detik meluangkan masa bersama isteri tercinta.
"Setiap kali balik kerja, saya selalu tanya dalam hati, 'apa yang isteri masak hari ini?' Macam itulah, saya memang teruja.
"Bukan sebab makanannya, tapi lebih kepada momen bersama," kata Hanif.
Bagi mereka, kebahagiaan bukan hanya terletak pada apa dimasak, tetapi juga pada kemesraan yang tercipta dalam setiap detik bersama.
Lebih dari itu, Ramadan juga memberi peluang kepada mereka berdua untuk lebih banyak beribadah bersama.
"Bulan Ramadan ini, kami lebih fokus pada ibadah terutamanya solat tarawih, saya sangat gembira kerana Anzalna sentiasa menemani saya.
"Itulah momen paling bermakna," tambah Hanif.
Anzalna (dua dari kiri) merupakan anak kedua daripada lima beradik.
Selain tumpuan kepada persiapan Ramadan, Anzalna juga berkongsi cerita mengenai hubungan erat bersama keluarganya.
Sebagai anak kedua daripada lima beradik yang kesemuanya perempuan, Anzalna menjelaskan bahawa hubungan kekeluargaan adalah salah satu nilai penting dalam hidupnya.
"Walaupun masing-masing sudah berkeluarga, kami tetap sangat rapat. Yang penting, sentiasa menghormati dan menjaga hati antara satu sama lain.
"Kami sering berjumpa untuk memastikan hubungan sentiasa dijaga dan kekal baik," katanya.
Anzalna juga menekankan bahawa saling memahami dan memberi ruang untuk setiap ahli keluarga adalah kunci kebahagiaan.
"Apabila menjaga hubungan keluarga dengan baik, semuanya akan lebih lancar. Kami berusaha untuk saling menghormati dan berkomunikasi dengan baik," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram