
MINAT pada sukan berbasikal dalam kalangan masyarakat di Malaysia terus menebal, lebih-lebih lagi apabila nama negara dijulang setiap kali para atlet berbasikal tanah air meraih kejayaan.
Dengan terpaterinya nama Datuk Mohd Azizulhasni Awang ‘Poket Roketman’ sebagai antara atlet berbasikal terbaik dunia, ramai terdorong untuk menceburi bidang sukan sama dengan semangat yang cukup berkobar-kobar.
Melihat perkembangan dunia berbasikal, keterlibatan wanita dalam sukan tersebut juga menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan.
Kejayaan Sawda dilihat sebagai permata yang akan menyinari arena sukan berbasikal.
Seperti mana yang dicapai oleh Sawda Hasbullah semasa Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, beliau berjaya merangkul dua pingat emas.
Gadis remaja itu dilihat sebagai permata yang bakal menyinari arena sukan berbasikal negara, dengan corak keyakinannya yang mampu pergi lebih jauh dalam arena sukan tersebut.
“Kejayaan ini seakan mesej kepada industri sukan berbasikal bahawa pelapis sudah boleh dilatih dan diasah sejak di peringkat sekolah.
“Saya akui menjadi satu cabaran hebat untuk membahagikan masa antara bersukan dan pembelajaran. Akan tetapi, pengurusan yang baik dan ketelitian menyusun masa sendiri menjadi kunci utama kepada saya untuk terus aktif dalam dunia berbasikal,” katanya kepada Majoriti.
Barisan basikal yang digunakan di dalam trek.
Menggunakan basikal trek jenama Avanti, Sawda menyatakan aksi menewaskan wakil Korea Selatan, Park Hye Rin, 2-0 dalam perlumbaan akhir acara pecut wanita remaja itu adalah sesuatu yang memerlukan tumpuan penuh ketika berada di atas trek.
“Saya fokus sepenuhnya pada landasan trek dan pastikan tiada apa yang mengganggu konsentrasi ketika sudah mula mengayuh basikal.
Acara pecut yang memerlukan tumpuan penub Sawda ketika berada di atas trek.
"Setiap kata nasihat dan tunjuk ajar jurulatih akan berlegar di minda, sepanjang waktu ketika bersiap sedia untuk memecut,” ujarnya ketika menceritakan perasaan ketika beraksi pada penampilan sulungnya dalam ACC.
Lebih membanggakan, gadis yang berasal dari Melaka itu turut berjaya mencatat 1 minit 10.818 saat dan meraih emas dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa. Bahkan acara yang baharu diperkenalkan itu turut mengiktirafkannya sebagai pemegang rekod remaja dunia.
“Saya langsung tidak menjangkanya kerana secara realitinya, anda cuma mengayuh seorang diri tanpa pesaing.
Jadi, saya kayuh dan kayuh tanpa henti sehingga sampai pada garisan penamat,” jelasnya.
Pemegang rekod remaja dunia dalam sukan berbasikal.
Berbicara mengenai latihan, Sawda sentiasa mengikut rapat apa yang telah diajar oleh jurulatih setiap kali latihan.
“Latihan berbasikal bukan sekadar mengayuh basikal di trek. Setiap pelumba perlu mengamalkan sesi latihan di luar trek seperti wattbike termasuk senaman di gimnasium. Ia penting bagi meningkatkan prestasi stamina dan melatih cara pengawalan tenaga semasa berbasikal.
“Untuk makanan pula tidak boleh sebarang. Sudah pastinya terdapat rutin tersendiri dari pihak Majlis Sukan Negara yang menyediakan nutrisi khusus untuk mengatur diet yang sesuai,” jelasnya.
Teknik dan pengawalan stamina agak berbeza bagi Sawda (tengah) untuk acara perlumbaan outdoor.
Sawda yang mula aktif dalam sukan berbasikal sejak 2017 itu berkongsi bahawa dirinya turut menggemari sukan berbasikal di luar trek.
“Berbasikal di luar (outdoor) ini suasananya agak berbeza. Malah, teknik dan pengawalan stamina juga berlainan dari bisa. Permukaan jalannya perlu diambil kira apatah lagi dengan keadaan di sekelilingnya, memang lain sikit.
“Namun bagi saya selagi ia adalah perlumbaan basikal, objektifnya sama saja. Kayuh, pecut dan menang,” jelasnya.
Menjadikan abangnya, Umar Hasbullah sebagai sumber inspirasi, Sawda menekankan kesabaran amat penting bagi mereka yang berminat dalam sukan berbasikal.
Sawda dalam perancangan dan membuat persediaan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia (Junior) 2025.
Setiap proses di dalam sukan tersebut memerlukan masa dan konsisten yang tinggi.
Terkini, Sawda sedang membuat persediaan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia (Junior) 2025 dan ingin terus membina kejayaan dan terus cuba melakukan yang terbaik di sana.
Sementara itu, seorang lagi pelumba basikal negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (Izzah), turut mengharumkan nama negara ketika berjaya mendapat emas keduanya dalam ujian masa 1 km (kategori elit) selepas memenangi acara keirin di dalam kejohanan yang sama.
Izzah menyatakan kejayaan itu bukan setakat latihan dan bimbingan jurulatih, malah ia hasil inspirasinya terhadap daripada rakan sepasukan yang lebih muda iaitu Sawda.
“Saya sangat gembira dan terharu apabila Sawda berkata, 'Kak Izzah turut menjadi orang penting dalam hidup saya dari segi motivasi. Banyak perkara saya belajar dengan dia',” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram