
HARI Wanita Antarabangsa merupakan detik paling dinanti-nantikan kaum Hawa.
Ia merupakan platform meningkatkan peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial dan politik.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Selatan dengan mengangkat tema 'Wanita Beraspirasi Membina Legasi' pada Isnin.
BACA LAGI: Keputusan ref di Stadium Bandaraya kecewakan Selangor raih 3 mata
Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, ketika menghadiri majlis berkata, wanita bukan sahaja memainkan peranan sebagai ibu, isteri dan anak.
Ia turut berperanan sebagai penyumbang tenaga kerja yang penting dalam memacu ekonomi negara.
“Sambutan ini adalah untuk menghargai setiap wanita yang telah berjuang, yang masih berusaha dan yang sedang mencipta legasi mereka sendiri,” katanya menerusi hantaran Instagram KPWKM.
Menerusi ucapannya, beliau juga menyatakan hari ini semakin ramai wanita berjaya dalam pelbagai bidang sama ada kesihatan, pendidikan, kepimpinan, teknologi, keselamatan dan ekonomi.
“Namun, kita sedar bahawa perjalanan ini masih jauh dan perjuangan harus diteruskan bagi memastikan setiap wanita mendapat peluang saksama dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi,” ujarnya pada majlis yang diadakan di Aeon Mall Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Noraini (kiri) ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Selatan yang mengangkat tema 'Wanita Beraspirasi Membina Legasi'.
Selain daripada usaha kementerian untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam aspek kehidupan, kerjaya dan masyarakat dalam jangka masa panjang, kementerian tersebut juga turut mengadakan pelbagai jenis program.
“KPWKM komited dalam memastikan hak dan kebajikan wanita terbela. Bagi membantu wanita menguruskan tekanan dan mencapai keseimbangan dalam kehidupan, persekitaran yang kondusif seperti Program Sokongan Psikososial dan kaunseling dilaksanakan agar semua wanita mendapat bantuan yang sewajarnya,” jelasnya.
Sambutan tersebut juga adalah untuk menghargai setiap wanita yang berjuang, masih berusaha dan sedang mencipta legasi mereka sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram