Kamar mandi sentuhan eksklusif, cahaya hiasan tersembunyi cipta kesan visual mewah


  • Relaks
  • Ahad, 23 Feb 2025

Cipta suasana mewah menerusi kombinasi material terbaik dan warna eksklusif.

DENGAN kepelbagaian bahan binaan mewah dalam pasaran untuk kamar mandi, ruang berkenaan kini menjadi antara sudut kediaman paling diutamakan. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kreatif Blaine Robert Design, Blaine Robert berkata, terdapat beberapa faktor penting yang perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum melakukan ubah suai.

Beliau berkata, kamar mandi yang serba eksklusif hadir dari mood yang tercipta melalui kombinasi material serta bahan binaan terbaik. 

Robert berkongsi beberapa tip berdasarkan pengalaman lamanya di dalam dunia seni hiasan dalaman antarabangsa. 

 

Pemilihan material terbaik boleh dipadankan dengan rona keemasan dan warna yang menyesuaikan kombinasi itu menghidupkan suasana mewah yang abadi. 

Pemilihan material 

Merungkai rahsia kamar mandi mewah, segalanya bermula dengan pemilihan material terbaik antaranya batu marmar pada dinding dan lantai.

Dipadankan pula dengan rona keemasan berserta tona asas, kombinasi tersebut menghidupkan suasana mewah yang klasik lagi elegan. 

Memahami keadaan cuaca panas dan lembab sepanjang tahun di Malaysia, gabungan material juga harus memiliki ketahanan yang utuh agar tahan lama. 

Daripada bahan kuat dan tahan lasak hingga material mudah dijaga lagi oraktikal, kamar mandi direka mengikut keserasian dengan cuaca setempat supaya rupa fizikal berkekalan. 

Cahaya lampu 

Aspek pencahayaan amat penting dalam menghidupkan mood yang menenangkan dan selesa. 

Cahaya lampu hiasan atau cahaya tersembunyi menambah kemewahan dalam ruang, manakala cermin dihias indah mencipta visual menakjubkan. 

Unsur rekaan lain seperti pancuran hujan yang menyegarkan serta pengudaraan sempurna menjadikan masa yang dihabiskan di dalam kamar mandi lebih menyelesakan. 

 

Keberadaan kabinet dan cahaya lampu hiasan yang elegan pastinya menimbulkan elemen kemewahan dalam kamar mandi.

Perabot pasang siap 

Kamar mandi tanpa perabot akan terasa kurang lengkap, maka keberadaan kabinet yang elegan pastinya menawan. 

Dihiasi dengan simbahan cahaya, perabot khusus pastinya memberi kelainan pada suasana malah berfungsi untuk menyimpan kamar mandi. 

Keperluan asas 

Keutamaan perlu difokuskan kepada keperluan asas. Selain mencipta suasana elegan setiap aspek kamar mandi sebaiknya bersifat praktikal. 

Sinki mencuci muka dan tempat menggantung tuala, tidak hanya kaya fungsi tetapi rekaan juga perlu bersesuai dengan estetika ruang secara keseluruhannya. 

Secara tidak langsung, penggunaan material terbaik dan rekaan terkini menyatukan fungsi bersama gaya.

 

Palet atau asas warna memainkan peranan untuk sesebuah tandas itu nampak hidup.

Palet warna 

Pemilihan warna memainkan peranan dalam mencapai elemen mewah. Dari warna emas hingga warna gelap menawan seperti hitam, setiap rona dipilih dengan terkini untuk menyelaras keanggunan dengan tema unik.

 

Menikmati keindahan di segenap bilik air sama seperti menggali potensi tersembunyi dalam ruang peribadi.

Perincian

Kehalusan rekaan kamar mandi diperhatikan dalam setiap perincian untuk memikat hati.

Dari corak halus di jubin hingga perabot eksklusif yang dihiasi dengan keanggunan mewah, setiap elemen memperlihatkan keindahan sejati dalam rekaan.

Kesimpulannya, impian untuk memiliki kamar mandi mewah bukan suatu yang mustahil. Pastikan bahan binaan yang dipilih bersifat eksklusif dan mainan cahaya juga faktor utama dalam memperindahkan lagi ruang peribadi.