
AKTIVITI hari litar atau trackday merupakan sebuah acara menguji prestasi kenderaan dengan memanfaatkan sepenuhnya keupayaan kereta sambil melihat kehebatan teknologi setiap jentera ketika beraksi di litar rasmi.
Sama ada kereta mahupun motosikal, trackday sering kali diadakan secara berkumpulan dan kebiasaannya, ia dianjurkan khusus buat pemilik jenama kenderaan mewah atau kelas kemahiran pemanduan.
Ini termasuk meningkatkan kemahiran memandu dalam kawasan yang mengutamakan pelbagai ciri-ciri kawalan yang selamat.
Barisan kenderaan Mercedes model AMG yang diuji semasa trackday di SIC.
Litar Antarabangsa Petronas (SIC) Sepang merupakan antara lokasi yang terbaik dunia untuk menjalankan aktiviti trackday tersebut.
Kemudahan seperti ruang rehat di paddock juga mampu memberikan kepuasan kepada sesiapa sahaja yang datang sebagai penonton pada hari acara berlangsung.
Akan tetapi, terdapat juga beberapa program terbuka yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai trackday di litar dengan menawarkan bayaran tertentu.
Bahkan, pada Disember tahun lepas pihak Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Rakan Muda telah menawarkan peluang kepada umum menyertai sesi trackday di SIC dengan harga yang berpatutan.
Bagaimanapun, difahamkan aktiviti tersebut perlu ditempah slotnya terlebih dahulu sama ada secara berkumpulan atau individu.
Ini kerana, setiap litar rasmi di Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang aktiviti tanpa tempahan secara sah.
Ia bagi mengelakkan pertembungan tarikh terutamanya jika terdapat perlumbaan rasmi seperti Kejohanan MotoGP.
Penulis berkongsi pengalaman apabila berpeluang mengikuti sesi trackday yang dianjurkan oleh Mercedes-Benz Malaysia diberi nama AMG Experience untuk menguji beberapa kenderaan model AMG.
Ia menjadi pengalaman yang sukar dilupakan dan patut dicuba oleh pemilik kenderaan di luar sana. Tambah menarik lagi, sesi tersebut berlaku dalam keadaan cuaca hujan yang tentu sekali memberi pengalaman yang jarang-jarang dirasai penulis.
Malah, keadaan tersebut sebenarnya adalah waktu terbaik untuk menguji prestasi kenderaan berikutan memandu di atas permukaan jalan yang basah, namun langkah keselamatan juga diperketatkan untuk mengelak daripada berlaku kemalangan.
Sesi latihan brek kecemasan
Acara bermula dengan sesi latihan mengenali situasi cemas untuk mengelak risiko pelanggaran di litar SIC. Penerangan dan arahan akan diberikan oleh jurulatih menerusi radio mudah alih yang disediakan di setiap kenderaan.
Keadaan semasa sesi brek kecemasan.
Dari segi teknikalnya, ia bertujuan untuk menguji sistem brek cegah kunci (ABS) brek dan realitinya untuk memberi gambaran bagaimana dapat menguasai situasi kritikal.
Pemandu akan diuji untuk membrek kecemasan pada jarak yang ditetapkan dan menukar haluan bagi mengelak halangan di hadapan.
Asas latihan itu memerlukan pemandu untuk menekan pedal minyak pada kelajuan maksimum kemudian menekan brek dengan kuat.
Namun, penumpuan mata amat memainkan peranan kerana keadaan hujan akan mengaburkan penglihatan cermin depan walaupun pengelap cermin sudah dipasangkan.
Apa yang pasti, setiap sesi trackday dikendalikan oleh pelatih profesional bagi menjamin keselamatan semua pihak dalam trek.
Sesi membelok
Sesi penerangan sedang dilakukan oleh jururlatih sebelum memulakan sesi latihan membelok.
Kemudian, acara diteruskan dengan sesi membelok tanpa menggunakan brek dalam kelajuan yang ditetapkan di mana ia akan menguji ketangkasan serta kecekapan tangan pemandu.
Umum mengetahui, SIC memiliki pelbagai jenis selekoh dan ia memberi peluang untuk peserta menguji tahap pusingan tangan ketika mengendalikan stereng kereta.
Nampak mudah tapi perlu diingatkan, setiap jalan raya di Malaysia memiliki struktur selekoh yang berbeza.
Maka, sesi membelok itu pastinya akan menguji anda untuk alami keadaan sebenar bagaimana pergerakan kereta di atas jalan raya.
Sesi drag
Pemandangan cermin depan yang kabur akibat hujan melatih pemandu untuk menumpukan perhatian ketika pemanduan semasa sesi drag.
Sesi terakhir yang dilalui peserta adalah perlumbaan hambat (drag). Rata-rata peserta yang terlibat dengan aktivit berkenaan pasti tidak sabar menunggu peluang ini kerana inilah masanya untuk menguji prestasi kenderaan pada tahap kelajuan maksimum.
Setiap pemandu diberi peluang untuk memandu di atas litar yang jaraknya 5.54 kilometer sebanyak dua pusingan (bergantung pada penganjuran acara).
Masih didahului dengan demonstrasi dan pengawalan oleh jurulatih profesional, drag yang diadakan bertujuan untuk pemandu merasai sendiri pengalaman memecut ketika mengendalikan kenderaan di litar.
Pada masa sama, mempraktikkan pembelajaran semasa sesi pertama dan kedua yang diadakan terutamanya ketika melintasi beberapa selekoh tajam.
Menguji kenderaan di litar rasmi memberikan pengalaman merasai suasana yang sungguh berbeza. Terasa seolah-olah sedang berada dalam perlumbaan yang sebenar seperti di dalam televisyen atau semasa bermain permainan video.
Malah, anda akan berbangga dan rasa terharu memandu kenderaan persendirian di dalam binaan yang menjadi lambang kemegahan negara.
Oleh itu, jika anda mendapat tawaran sekali seumur hidup untuk menyertai acara itu, jangan lepaskan peluang yang diberi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram