
BULAN Ramadan semakin menghampiri dunia dengan jangkaan umat Islam akan mula berpuasa sama ada Sabtu atau Ahad.
Namun begitu, situasi aneh berlaku di Indonesia apabila rakyat di negeri Wakal sudah mula berpuasa sejak Khamis.
Memetik laporan di Indonesia, penduduk negeri itu sudah pun memulakan solat tarawih bermula pada Rabu selepas proses hitungan bulan dilakukan.
BACA LAGI: [VIDEO] Tuhan bayar 'cash', lelaki disambar api ketika cuba bakar traktor di tepi jalan di Turkiye
Menurut Raja Wakal, Ahaja Suneth yang merupakan ketua di kawasan tersebut, proses hitungan bulan yang dilakukan sejak turun-temurun mendapati bilangan hari dalam Syaaban adalah 29 hari dan bukannya 30 seperti dikira ramai pihak.
Bagi Suneth, memandangkan kawasannya sudah berpuasa dahulu, sudah pastinya mereka akan meraikan Hari Raya Aidilfitri lebih awal berbanding tempat lain di Indonesia.
"Di Wakal, 1 Ramadan jatuh pada Khamis, 27 Februari 2025. Kami selalu mengikut cara hitungan sendiri yang sudah diwariskan oleh orang-orang terdahulu sebelum kami.
"Ini adalah sebahagian daripada keyakinan kami terhadap tradisi yang kami pegang.
"Ada juga warga Wakal yang berpuasa mengikut ketetapan oleh pemerintah. Kami di sini cuma melakukan apa yang sudah dilakukan oleh orang-orang terdahulu sebelum kami," jelasnya.
Menurut Suneth, penentuan tarikh 1 Ramadan di Wakal bermula berdasarkan 1 Muharram yang merupakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Islam.
"Kami bukanlah mahu mendahului pemerintah tapi berdasarkan pengiraan untuk menentukan awal Ramadan berpandukan 29 hari pada bulan Syaaban. Kebanyakan orang hitung Syaaban mempunyai 30 hari sedangkan kiraan itu salah dan tidak tepat," jelasnya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram