Dibuang kerja meskipun boleh bertutur 5 bahasa, Zariq gapai impian muncul pembina induk Lego pertama Malaysia


  • Bizz
  • Khamis, 28 Nov 2024

Pembina model induk Lego pertama di Malaysia, Zariq Mohd Ali (kanan) menganjurkan bengkel dengan beliau mengajar pelawat teknik binaan mainan Lego.

APABILA Zariq Mohd Ali dibuang kerja pada tahun lalu, ia menandakan bermulanya detik mencabar dalam kerjayanya yang sebelum itu terlibat dalam industri e-dagang.

Bagaimanapun, dugaan itu tidak disangka-sangka kemudiannya membuka pintu untuknya mencapai impian menjadi pembina model induk Lego pertama di Malaysia.

Semasa mencari pekerjaan dalam talian, lelaki berusia 30 tahun itu yang sememangnya merupakan peminat setia Lego sejak dia berusia tiga tahun terlihat sebuah iklan kerja yang unik dan memutuskan untuk mencuba.

“Saya dilahirkan di Perancis, dan membesar di sana. Keluarga saya banyak berpindah kerana ayah saya pernah bekerja sebagai juruterbang.

"Bermain dengan Lego adalah teman setia yang membuatkan saya sentiasa tenang dan mengalihkan fikiran saya daripada perkara-perkara lain.

"Saya tahu saya perlu merebut peluang pekerjaan itu walaupun ia adalah sesuatu yang sama sekali berbeza daripada apa yang pernah saya lakukan sebagai pengurus pembangunan perniagaan dalam sektor e-dagang.

“Saya rasa saya telah dilatih untuk kerja ini sepanjang hidup saya kerana selama ini saya telah bermain dengan pelbagai set dan generasi Lego, terima kasih terhadap hadiah daripada orang tersayang,” ujar Zariq yang berasal dari Kuala Lumpur.

Zariq berkata, pekerjaan sebagai pembina model Lego merupakan satu impian yang menjadi kenyataan apabila dia memegang jawatan itu kira-kira lima bulan lalu.

Malaysia’s first ever Lego master model builder Zariq Mohd Ali, 30, who comes from Kuala Lumpur and is now working at Legoland Malaysia in Iskandar Puteri, Johor. — THOMAS YONG/The Star

Zariq mempunyai kebolehan bertutur sebanyak lima bahasa.

Ini kerana dia turut dapat berkongsi minatnya untuk membina dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang melawat Legoland Malaysia di Iskandar Puteri, Johor.

Ujarnya, ibunya turut memberikan sokongan penuh peralihan besar dalam kerjayanya meskipun bapanya agak sedikit ragu-ragu pada awalnya kerana bimbang dengan prospek pekerjaan tersebut.

“Namun, selepas dia melihat gambar struktur Lego yang saya bina, dia faham bahawa saya boleh membina kerjaya baharu atas minat saya dan memberikan sokongan penuhnya kepada saya.

"Saya faham bahawa orang biasanya menganggap apa yang kita lakukan hanyalah bermain dengan batu bata mainan sepanjang hari, tetapi ia sebenarnya memerlukan banyak kekuatan otak - kita perlu merancang dan menganalisis arahan bangunan, terutamanya untuk struktur besar," tambahnya.

Visitors checking out Miniland Amazing Malaysia, the newest attraction at  Legoland Malaysia Resort.

Zariq turut menjalani latihan intensif selama sebulan untuk membiasakan diri dengan lebih 3,700 jenis batu bata dan teknik yang terlibat dalam membina struktur besar. — Gambar hiasan

Sebagai pembina model induk, Zariq juga berkhidmat sebagai duta resort, mencipta kandungan media sosial dan pendidikan yang menyeronokkan, bersama-sama membantu mereka bentuk, menghasilkan dan menganjurkan acara di taman tema terbabit.

"Saya juga menjalani latihan intensif selama sebulan untuk membiasakan diri dengan lebih 3,700 jenis batu bata dan teknik yang terlibat dalam membina struktur besar.

"Binaan terbesar saya setakat ini ialah naga besar 14 warna untuk acara taman tema baru-baru ini, yang telah dibuat daripada lebih 275,000 keping Lego.

"Pasukan saya menghabiskan kira-kira tujuh jam setiap hari untuk menyelesaikannya dalam tempoh 32 hari," tambahnya.

Dia juga akan mengendalikan bengkel di taman tema itu sempena sambutan Krismas dari 15 November hingga 5 Januari depan.

Pada mada sama Zariq turut akan mengajar pelawat teknik untuk meningkatkan kemahiran membina mereka ke peringkat seterusnya.

Legoland's new attraction, Miniland Amazing Malaysia, features a handful of the country's landmarks like Batu Caves. — Legoland

Zariq merupakan peminat setia Lego sejak dia berusia tiga tahun.

Zariq yang mampu bertutur dalam lima bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Mandarin berkata, antara perkara yang paling digemarinya mengenai pekerjaan itu adalah peluang untuk berinteraksi dengan pengunjung di taman tema itu.

“Baru-baru ini, saya bertemu dengan keluarga pelawat Perancis yang menetap di Singapura. Saya suka melihat mata anak-anak mereka bercahaya apabila berbual tentang kecintaan kami terhadap batu bata mainan,” tambahnya.

Dia juga berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengikuti minat mereka dan tidak pernah berputus asa pada impian mereka.

“Dengan begitu banyak maklumat dan sumber yang tersedia dalam talian, teruskan belajar dan tingkatkan kemahiran anda; suatu hari nanti anda mungkin mendapat peluang untuk mengubahnya menjadi kerjaya anda,” katanya. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram