
KELEWATAN perkembangan kanak-kanak merupakan isu yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Data terkini menunjukkan peningkatan dalam jumlah kanak-yang mengalami kelewatan dalam pelbagai aspek perkembangan.
Laporan pada 2022 mendapati 7.4 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 12 hingga 59 bulan mengalami kelewatan perkembangan, dengan kelewatan sosial menjadi masalah paling kerap berlaku.
BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga
BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan
Dalam menangani masalah tersebut, intervensi awal melalui terapi adalah sangat penting dalam membantu ibu bapa memastikan anak-anak mencapai potensi penuh ketika perkembangan mereka.
Di sini, kewujudan pusat terapi perkembangan kanak-kanak persendirian sangat penting dalam memastikan akses meluas perkhidmatan pemulihan bagi ibu bapa yang mempunyai anak berdepan dengan isu tersebut.
Antara pihak menyediakan perkhidmatan sedemikian di Lembah Klang ialah pusat pemulihan terapi carakerja perkembangan kanak-kanak, Kidsaurus Therapy (Kidsaurus) yang beroperasi sejak 2017.
Diasaskan seorang Ahli Terapi Carakerja Perkembangan Kanak-Kanak, Maryam Jamadi, Kidsaurus yang sebelum ini dikenali sebagai Beyond Theraphy kini mempunyai dua cawangan masing-masing di Prima Selayang, Batu Caves dan Taman Melawati Gombak, Selangor.
Terapi carakerja atau occupational therapy merupakan bentuk rawatan bertujuan membantu individu, termasuk kanak-kanak dalam meningkatkan keupayaan khususnya dalam membangunkan kemahiran motor halus, koordinasi tangan dan mata, kawalan pergerakan, serta kebolehan kognitif dan sosial.
Kidsaurus kini mempunyai dua cawangan di Lembah Klang. — Kidsaurus
Bagi kanak-kanak, terapi carakerja sering digunakan untuk menangani kelewatan perkembangan, gangguan spektrum autisme (ASD), ADHD, masalah sensorimotor, dan kesukaran dalam kemahiran hidup asas seperti bercakap, menulis, makan, memakai pakaian, dan bermain dengan rakan sebaya.
Berkongsi kepada Majoriti, kebanyakan kes kelewatan perkembangan yang dikendalikannya melibatkan kanak-kanak berumur antara setahun setengah ke tujuh tahun.
Beliau mengakui sejak mengoperasikan pusat terapi tersebut pada 2017, tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa sememangnya meningkat khususnya terhadap isu kelewatan perkembangan anak-anak mereka.
"Jika dulu masa awal-awal kami buka, kebanyakan kes kami terima umur anak itu dah mencapai usia 3 tahun atau 4 tahun baru mereka ibu bapa bawa anak yang alami kelewatan perkembangan pergi ke terapi.
"Tapi keadaan sekarang saya nampak contohnya anak itu baru umur setahun setengah, tapi dia belum ada perkataan pertama (kelewatan pertuturan) ibu bapa dah rujuk ke terapi.
"Kemudian sekarang ini pun saya perasan trend banyak kes anak tu umur 4 tahun, dia belum pandai tulis dan baca ibu bapa dah risau dan hantar anak ke terapi. Kalau dulu dah umur 6 tahun pun kalau tak pandai baca tulis pun ibu bapa masih relaks," katanya kepada Majoriti.
Risiko lambat tangani kelewatan perkembangan kanak-kanak
Maryam berkata, isu kelewatan perkembangan kanak-kanak bukan sesuatu yang boleh diambil ringan oleh ibu bapa. — Kidsaurus
Menurut Maryam, antara masalah kelewatan perkembangan kerap diterima di pusat terapinya ialah kelewatan perkembangan umum seperti kelewatan pertuturan atau masalah urus diri dan autisme.
Beliau menegaskan, ibu bapa sememangnya tidak boleh memandang ringan terhadap isu kelewatan perkembangan anak-anak kerana ia berisiko memberikan kesan jangka masa panjang terhadap masa depan mereka.
"Kelewatan perkembangan kanak-kanak memang boleh memberi kesan jangka panjang, terutama jika tidak dikesan dan ditangani awal.
"Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami kelewatan pertuturan (speech delay) pada usia tiga tahun bukan sahaja mengalami kesukaran bercakap, tetapi juga mungkin menghadapi masalah memahami bahasa.
"Kajian menunjukkan bahawa jika kelewatan pertuturan tidak ditangani, apabila mereka mencapai umur 8 tahun, mereka mungkin mengalami kesukaran dalam menulis dan membaca. Masalah ini boleh memberi impak besar terhadap prestasi akademik mereka.
"Lebih membimbangkan, kajian juga menunjukkan risiko mereka untuk tidak menamatkan persekolahan meningkat," katanya yang turut mengakui pendedahan awal terhadap gadget merupakan antara faktor utama menyumbang kepada kelewatan perkembangan kanak-kanak.
"Kajian mendapati pendedahan gadget setiap 30 minit kepada kanak-kanak semasa umur dia 18 bulan ke bawah boleh meningkatkan 48 peratus masalah kelewatan pertuturan.
"Jadi bila mereka, ada masalah perkembangan itu, automatik dia akan ada masalah sikap sebab dia tak boleh nak kongsikan apa yang dia nak dan itu membawa kepada sosial."
Di Kidsaurus, Maryam berkata, setiap kanak-kanak yang dihantar ke pusat tersebut akan dinilai terlebih dahulu mengenai masalah perkembangan dihadapi.
Ujarnya, tempoh terapi dijalankan juga bergantung kepada masalah spesifik dialami kanak-kanak terbabit.
Kanak-kanak yang dihantar ke Kidsaurus akan dinilai terlebih dahulu untuk proses mengenal pasti masalah perkembangan dihadapi. — Kidsaurus
"Kalau contoh perkembangan anak itu dia lewat sikit sahaja, mungkin proses sesi terapi tak lama, dalam 3 bulan dah boleh keluar. Tapi kalau contoh dia punya masalah perkembangan terlampau jauh dengan umur dia, misalnya dia umur 5 tahun tapi perkembangan seperti umur 1 tahun, dia akan mengambil masa untuk anak itu kejar perkembangan dia," kata beliau.
Selain itu, Maryam berkata, Kidsaurus turut menyediakan program intervensi awal termasuk bagi anak-anak yang dikesan mengalami autisme.
Ujarnya, program terbabit terbahagi kepada empat peringkat mengikut tahap perkembangan kanak-kanak terbabit.
"Jadi program ini holistik dan fokus kepada mereka punya masalah perkembangan seperti isu pertuturan dan sosial.
"Jadi kami memang dilatih sepenuhnya untuk tangani anak-anak yang ada autisme atau ADHD dan alami masalah perkembangan," ujarnya yang kini sedang dalam peringkat akhir untuk menyelesaikan pengajian sarjana dalam bidang Terapi Carakerja khusus bagi Pemulihan Carakerja Pemulihan Kecacatan Perkembangan Kanak-Kanak.
Cabaran kendali pusat terapi kanak-kanak
Cawangan terbaharu yang juga kedua Kidsaurus di Taman Melawati.
Dalam pada itu, asam garam berniaga, Maryam mengakui mereka turut pernah berdepan masalah apabila terpaksa menutup operasi pusat terapinya yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor pada 2021 kesan daripada pandemik Covid-19.
Namun menurutnya, perkara itu berjaya dipulihkan dengan memberikan tumpuan terhadap operasinya di Lembah Klang sehingga membolehkan mereka membuka satu lagi cawangan kedua di Taman Melawati pada November tahun lalu.
Ujarnya, pemulihan operasi itu turut dibantu antara lain dengan suntikan bantuan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada 2021.
Bagaimanapun, Maryam berkata, selain isu kewangan, masalah lebih utama dihadapinya adalah bagi mendapatkan tenaga kerja mahir dalam bidang terapi carakerja.
"Sebabnya graduan terapi carakerja tidak ramai. Di Malaysia pun hanya ada dua universiti yang menyediakan pengajian dalam bidang ini iaitu UiTM dan UKM," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram