
JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan Taman asuhan kanak-kanak (Taska) terpalit kes dera kanak-kanak autistik di Shah Alam, Selangor tidak beroperasi mengikut peraturan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati premis terbabit didaftarkan sebagai Taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan tidak dibenarkan beroperasi sebagai taska serta menerima kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah.
BACA LAGI : [VIDEO] Warga emas hidap skizofrenia maut, kaki tersadung dirempuh kenderaan ketika lintas jalan di Mexico
"JKM telah mengeluarkan notis larangan beroperasi kepada pengusaha tadika itu kerana kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.
"Pihak JKM juga telah meminta pengusaha tadika itu untuk hadir ke pejabat JKM Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat susulan berkaitan kes ini," menurut satu kenyataan pada Sabtu.
Kes tersebut dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, polis mengesahkan kes terbabit diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) kerana tiada bukti kukuh untuk meneruskan siasatan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan sebarang kejadian di mana mangsa dicederakan.
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, yang kemudiannya memutuskan kes ini sebagai NFA kerana tiada keterangan yang mencukupi untuk meneruskannya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram