
SYARIKAT pengendali MHS Aviation tidak akan mendedahkan identiti sebenar mangsa yang maut serta mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan sebuah helikopter Bell 206L4 dekat Bentong, Pahang pada Jumaat sehingga waris mereka dimaklumkan.
MHS Aviation dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa terlibat dan komited untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap punca insiden tersebut yang berlaku berhampiran Kolam Air Panas dekat Jalan Lama Kuala Lumpur.
"Ketika ini, keadaan terkawal sepenuhnya dan tiada lagi ancaman terhadap keselamatan. Bagaimanapun, kami amat sedih untuk melaporkan seorang mangsa yang berada di lapangan kehilangan nyawanya.
BACA LAGI: Helikopter terhempas di Bentong, mangsa maut kepala terkena libasan bilah kipas
BACA LAGI: [VIDEO] Helikopter terhempas kendalian MHS Aviation Berhad, terbang buat kerja keudaraan — CAAM
"Sebagai menghormati keluarga, identiti si mati dan mana-mana individu yang cedera tidak akan didedahkan sehingga waris mereka dimaklumkan," menurut kenyataan tersebut pada Khamis.
Jelas MHS Aviation lagi, pihaknya ketika ini memfokuskan mengenai memberi sokongan dan bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terlibat.
"Sebarang kemas kini dan maklumat baharu akan diumumkan selepas maklumat dan hasil siasatan baharu diterima,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai pembantu helikopter maut selepas helikopter jenis Bell 206 Long Rang L4 dinaikinya terbalik dan terbakar ketika mendarat berhampiran Kolam Air Panas dekat Jalan Lama Kuala Lumpur.
Mangsa yang merupakan lelaki warga Indonesia dipercayai meninggal dunia selepas terkena kipas helikopter berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram