Tempoh hiatus dah tamat, Estranged sedia 'come back' bersama Fazura


  • Hiburan
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Vokalis Estranged, Rich Gimbang merancang menghasilkan album baharu tahun ini.

PERNAH popular sekitar 2007, kumpulan rock indie Estranged bakal kembali menggegar industri muzik tanah air tidak lama lagi.

Tempoh rehat yang diambil lebih empat tahun menyaksikan kumpulan diketuai Rich Gimbang, 42, itu sudah tidak sabar untuk beraksi di pentas arus perdana negara.

Menganggap ia sebagai 'time break', masa tersebut ditumpukan kepada perkembangan keluarga masing-masing selain mengumpul idea untuk menghasilkan buah tangan baharu buat peminatnya.

BACA LAGI: ‘Harap cepat ada pengganti Spark’, Zul Huzaimy 'tabik' budak-budak High Council

BACA LAGI: 'Artis SN Legacy bukan pakai kabel', Umairah janji tampil kelainan berbanding TokTi

 

 

"Kami memang kurang muncul di mainstream tapi masih aktif main muzik cuma keluar televisyen tu jarang, sebab ambil masa rehat.

"Masing-masing pun ada keluarga dan hal sendiri, jadi kita ambil keputusan berehat tapi 2025 ni masa untuk kembali dalam industri.

"Memang ada rancang untuk buat album, tengah siapkan lagu mungkin tahun ni juga siap kalau tak ada masalah, paling tidak pun single baharu mesti keluar," katanya kepada Majoriti.

Berkongsi lanjut tentang perkembangan muzik Estranged, bapa kepada empat orang anak itu gembira apabila karyanya masih menjadi siulan ramai hingga ke hari ini.

Lagu Hancur Aku nyanyian duet bersama pelakon popular, Nur Fazura kembali dimainkan di platform sosial kebelakangan ini ekoran kemelut rumah tangga yang melanda aktres itu baru-baru ini.

Ia sekali gus mencetuskan idea baharu buat Rich untuk kembali berkolaborasi bersama Fazura selepas kali terakhir berkongsi pentas bersama di Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 2016.

"Memang betul lagu Hancur Aku kembali fyp di TikTok, menarik juga kalau kita kembali berduet dengan Fazura, sekarang pun dia lebih fokus pada nyanyian.

"Memang ada niat nak berduet semual dengan dia, kita tengok macam mana nanti, lepas Hancur Aku kita buat lagu duet yang lain pula dalam masa terdekat ni.

"Tak tolak pun untuk kembali ke pentas AJL, tapi kita tak nak buat lagu semata untuk bertanding, biar rezeki yang tentukan," tambahnya.

Dalam pada itu, Rich kini baru selesai merakamkan sebuah lagu baharu buat juara AJL39, Marsha Milan Londoh yang dijadual dilancarkan April kelak.

Masih mengekalkan identiti muzik Borneo dalam setiap karyanya, Estranged tidak menolak untuk mengadakan siri jelajah konsert khas buat peminat yang sudah lama menanti kemunculan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram