
MALANG menimpa seorang pemandu lelaki apabila tingkap bahagian hadapan keretanya pecah bertembung besi plat di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala arah Telok Panglima Garang, Selangor pada Selasa.
Kejadian dipercayai berlaku selepas salah sebuah plat besi pada laluan lebuh raya berkenaan tercabut dan melantun ke arah kereta tersebut.
Tidak sempat mengelak, insiden itu mengakibatkan tingkap keretanya pecah dan besi terbabit menembusi masuk ke dalam kenderaannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas suami isteri kemalangan di Tawau, wanita mengandung parah dihempap kayu balak
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas rempuh tiang elektrik di Sungai Golok, warga emas Malaysia maut, 2 lagi parah
Pemandu itu bagaimanapun difahamkan tidak mengalami kecederaan dengan objek berkenaan dilihat melantun tepat di bahagian kerusi penumpang hadapan.
Pun begitu, warga maya rata-ratanya meluahkan kerisauan berhubung kejadian tersebut yang dianggap cukup berbahaya dan boleh mengundang padah jika tidak diatasi.
"Syukur tak ada orang di sebelah, kalau tidak bayangkan jela apa boleh berlaku, biar barang rosak tak apa jangan nyawa tergadai," kata Ila Dalilah.
"Bahaya besi ni memang tak sempat nak elak, aku pun pernah kena habis pecah lampu depan, boleh claim kalau kes macam ni," ujar Harish Awalaludin.
"Sepatutnya pihak berkaitan kena pantau ciri keselamatan jalan lebuh raya ni, bukan kerja kita nak pastikan semua selamat, silap hari boleh terkorban nyawa," tambah Fendy Adiarin.
Dalam pada itu, pemandu terbabit difahamkan sedang dalam proses untuk menuntut ganti rugi dari pihak lebuh raya PLUS Malaysia Bhd dengan video rakaman dashcam menjadi bukti.
Susulan kejadian itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-heati ketika memandu dan peka dengan keadaan persekitaran di jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram