Pendapatan ibu tunggal, suri rumah mencanak cecah RM5,000 sebulan menerusi Sejati Madani


  • Massa
  • Khamis, 20 Feb 2025

S. Kesavan (tengah) beramah mesra dengan peserta program Sejati Madani semasa pelancaran di Kampung Jaya Setia, Sungai Siput baru-baru ini.

SURI rumah dan ibu tunggal dari Kampung Jaya Setia, Sungai Siput, Perak memperoleh sumber pendapatan baharu menerusi program ekonomi Sejati Madani.

Usaha niaga disertai 16 wanita dalam kumpulan B40 berusia antara 19 hingga 60 tahun itu menghasilkan pelbagai produk makanan ringan termasuk kerepek karang pulut, kerepek halia, kerepek kacang kacang, kerepek labu dan kuih tiram.

Pengurus operasi JS Licious, Nor Hayati Abdul Karim berkata, peserta projek Sejati Madani di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jaya Setia memperoleh pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan hasil jualan kerepek di Perak.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu nyaris maut angkara plat besi melayang tembus tingkap kereta di SKVE

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal larikan diri dikejar JPJ, pemandu bawa lori ala 'GTA' ditahan lepas rempuh rumah orang awam di Melaka

“Walaupun perniagaan ini masih baru, ia sangat menggalakkan dan kami menerima maklum balas positif daripada pelanggan yang membuat pesanan berulang.

“Peserta mendapat bimbingan daripada Kolej Komuniti Sungai Siput yang mengajar pelbagai resipi dan teknik menghasilkan kerepek,” katanya selepas pelancaran produk JS Licious oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

Nor Hayati berkata, pihaknya turut menerima bantuan daripada JPKK Kampung Jaya Setia dalam menjalankan perniagaan tersebut.

Pengerusi jawatankuasa, Ebby Shaifullah Yussof berkata, mereka menggunakan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk pembelian peralatan dan membaik pulih bengkel pemprosesan cip.

“Kami berharap dapat memasarkan produk cip ini ke seluruh negara atau menembusi pasaran di Asia Tenggara,” ujarnya.

Sejati Madani merupakan inisiatif kerajaan perpaduan untuk merangsang aktiviti ekonomi masyarakat dengan menyediakan pembiayaan RM50,000 hingga RM100,000 kepada bakal usahawan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk program Sejati Madani semasa pembentangan Bajet 2025.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada lima sektor iaitu pertanian dan makanan; jahitan dan kraftangan; herba dan kesihatan serta aktiviti hijau dan kitar semula. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram