![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/06/3154971.png)
ISLAM mengajar umatnya untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan dalam segala aspek kehidupan termasuk menunaikan ibadah.
Antara ibadah wajib yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim berkemampuan adalah umrah dan haji.
Namun, dengan jumlah jemaah terlalu ramai dan terdapat pelbagai risiko kesihatan, suntikan vaksin amat digalakkan.
BACA LAGI: Jemaah haji, umrah wajib ambil vaksin meningokokus sebelum berlepas
Penyakit meningokokus yang sering dijangkiti para jemaah haji atau umrah. — Gambar hiasan
Seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini, setiap jemaah diwajibkan mengambil vaksin meningokokus sebelum berlepas ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah tersebut.
Peraturan itu bukanlah untuk melemahkan semangat jemaah, namun ia sebagai langkah pencegahan terhadap risiko berbahaya serta antara protocol ditetapkan Arab Saudi bermula 1 Februari 2025.
Ia selepas mengambil kira berhubung penyakit meningokokus invasive (IMD) sering dijangkiti individu yang pulang dari Makkah.
Penyakit meningokokus disebabkan oleh bakteria neisseria meningitidis (N. meningitidis) yang merebak melalui titisan cecair pernafasan dan air liur.
Ia kemudiannya menjangkiti lapisan otak dan saraf tunjang (menyebabkan meningitis) atau aliran darah (septisemia) sekali gus mengakibatkan pendarahan di pelbagai organ.
Penyakit tersebut juga boleh membawa maut atau menyebabkan komplikasi serius jika tidak dirawat dengan segara.
Justeru, pengambilan vaksin meningokokus diwajibkan bagi setiap jemaah Malaysia.
Mengulas lanjut tentang kewajipan vaksinasi terhadap golongan itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Penasihat Perubatan Berkat OSH Sdn Bhd, Dr Haji Hazlee Abdul Hadi menekankan bahawa ia adalah satu-satunya cara dalam mencegah wabak tersebut.
Dr Hazlee berkata, bakteria itu boleh terhasil kepada seseorang yang dijangkiti batuk atau selsema.
Penularan juga boleh berlaku melalui sentuhan secara langsung dengan hembusan nafas individu terkena penyakit meningokokus.
Katanya, penyakit tersebut juga mudah untuk dijangkiti apabila berada di kawasan sesak dan ramai orang seperti keadaan Ketika menunaikan ibadah umrah atau haji.
Dr Hazlee Abdul Hadi.
Simptom meningokokus
Dr Hazlee berkata, setiap individu akan merasakan beberapa gejala awal berbeza selepas dijangkiti penyakit itu mengikut peratusan kuman yang terdapat di dalam badan mereka.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa terdapat beberapa gejala kebiasaannya dapat dilihat pada pesakit tersebut.
"Pesakit mungkin tidak akan rasa apa-apa dalam tempoh satu hingga tiga hari, tetapi ada gejala ringan seperti selsema, sakit tekak atau demam biasa.
"Walaupun makan ubat, sebenarnya kuman tersebut tak terkesan dan apabila masuk ke 12 hingga 15 jam lagi, pesakit mula tunjuk simptom spesifik.
"Dia mungkin ada ruam kemerahan di badan, sakit atau tegang pada leher, pening kepala, loya, muntah atau fotofobia.
"Fotofobia terjadi apabila radang di selaput otak dan masuk 18 jam, fikiran jadi celaru dan pengsan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Katanya, peluang untuk pesakit untuk sembuh sememangnya sangat nipis walaupun sudah mendapat rawatan oleh di hospital.
Dr Hazlee berkata, sebanyak 15 peratus daripadanya akan tetap meninggal dunia kerana lewat dirawat.
Hal ini kerana, kuman itu berkemungkinan sudah merebak di seluruh anggota badan seperti otak atau buah pinggang.
Ruam atau bintik-bintik kemerahan antara gejala jelas menunjukkan tanda seseorang sudah dijangkiti meningokokus. — Gambar hiasan
Golongan berisiko
Ulas Dr Hazlee lagi, kanak-kanak, wanita mengandung dan warga emas antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit tersebut.
"Kita tahu bahawa golongan yang pergi umrah atau haji kebanyakannya dewasa tetapi ada juga ibu bapa bawa anak kecil mereka terutamanya golongan Arab Saudi sendiri.
"Jemaah Malaysia juga ada dan disebabkan itu, suntikan vaksin sangat dititikberatkan," jelasnya.
Katanya, jemaah kanak-kanak berusia setahun sehingga warga emas berusia 55 tahun selamat untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Namun, bagi individu mempunyai penyakit kronik yang tidak sesuai mendapatkan vaksin perlu mendapatkan saranan doktor dan surat pengecualian dari pihak hospital.
Kanak-kanak antara golongan yang mudah terkena jangkitan kuman sekiranya berada di tempat terbuka. — Gambar hiasan
Jenis vaksin meningokokus
Dalam usaha mengatasi cabaran Ketika beribadah, Dr Hazlee berkata, terdapat beberapa jenis vaksin yang disyorkan untuk para jemaah.
Katanya, vaksin konjugat kuadrivalen ACYW-135 bagi mereka berusia sembilan bulan hingga 55 tahun, manakala vaksin polisakarida kuadrivalen ACYW-135 bagi jemaah berusia lebih 55 tahun.
"Yang bagusnya, kita di Malaysia masih menggunakan vaksin polisakaradi sejak 2017 lagi, manakala vaksin konjugat belum digunakan lagi.
"Antara sebab Arab Saudi wajibkan vaksin kepada semua yang melawat Tanah Suci juga adalah selepas berlakunya penularan pertama pada 1977 dan kedua pada 2000 hingga 2001.
"Alhamdulillah setelah pemberian vaksin, pada 2002 kita dapat penurunan yang ketara kepada 0.21 peratus kes dan ini menunjukkan ia memang sangat berkesan," tambahnya.
Jelasnya lagi, vaksin disarankan untuk diambil 10 hari sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi mendapatkan keberkesanan lebih efektif walaupun tidak 100 peratus.
Dalam pada kita merebut pahala, semestinya keselamatan diri dan orang lain juga perlu menjadi focus utama.
"Disebabkan itu, berdasarkan hukum Islam, mengambil vaksin ini adalah harus.
"Ia tidak semestinya diambil setiap masa tetapi, Makasit Syariah mengatakan bahawa jika kita mahu menunaikan ibadah mestilah dalam keadaan sihat dan selamat.
"Jadi, dalam situasi ini, penyakit meningokokus boleh membunuh, tetapi vaksin dicipta untuk mencegahnya dan boleh menyelamatkan beribu nyawa, maka ia dibolehkan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram