Dari jururawat ke penjaga nenek di Mesra Home, Faezah bukti wanita kuat masih wujud


Faezah (kanan) sentiasa berusaha menceriakan hari-hari para penghuni di Mesra Home, Ampang.

DALAM kehidupan ini, setiap insan pasti akan melalui fasa tua, yang mana kudrat semakin lemah dan kebergantungan kepada orang lain semakin tinggi.

Di situlah hadirnya golongan jururawat atau penjaga yang memainkan peranan penting demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan kita di kala sudah berstatus warga emas.

Namun, di sebalik tugas yang mencabar itu, terdapat pelbagai pengalaman berharga bukan sahaja mengajar erti kehidupan, tetapi mendekatkan diri kepada Tuhan.

BACA LAGI: Kerjakan ibadah dengan selamat, ada sebab jemaah wajib ambil vaksin sebelum ke Tanah Suci

BACA LAGI: Hati-hati ambil jamu, penggunaan bahan terlarang, tiada kajian santifik risiko kanser payudara dan rahim

6140919956531955707

Mesra Home yang menempatkan khusus untuk warga emas wanita.

Mendengar kisah bekas jururawat yang kini penjaga di Pusat Penjagaan Mesra Home, Ampang, Kuala Lumpur, Faezah Ali, 47, cukup memberi inspirasi buat seluruh masyarakat khususnya kaum hawa.

Faezah memulakan kerjayanya sebagai jururawat di sebuah hospital swasta selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan lebih dua dekad lalu.

Berkhidmat di wad geriatrik (wad khusus buat warga emas) pada 1999 sekali gus membuatkan hatinya terdetik untuk lebih mendekati golongan itu selepas menyedari tentang kepentingan keperluan penjagaan mereka.

Bak kata-kata diluahkan di dalam buku terbitannya Bisikan hati: Aku penjaga nenek, mungkin itulah takdir hidup yang akhirnya membawa dirinya sekarang.

"Kalau ikutkan cerita-ceritaku, bukan nak jadi seorang jururawat. Tetapi nak jadi seorang wartawan atau peguam.

"Apakan daya, manusia merancang dengan cita-cita. Tetapi ALLAH merancang dengan cinta. Aku mula jatuh cinta dengan kerjaya ini. Segalanya ada hikmah," antara potongan ayat di dalam buku tersebut.

Katanya, buku itulah yang menjadi sumber pendapatan bagi menampung kos perbelanjaan para penjaga dan penghuni di Mesra Home.

6140919956531955713

Antara buku ditulis dan diterbitkan Faezah yang berkisahkan tentang perjalanannya menjadi penjaga warga emas.

Buku tersebut juga dijual dengan harga RM50 secara langsung di rumah tersebut atau dibawa bersama ketika dijemput memberi ceramah.

Berkesempatan berkongsi serba sedikit tentang perjalanannya, Faezah berkata, Mesra Home merupakan rumah penjagaan khusus buat warga emas wanita yang tidak berkahwin atau berkeluarga.

Katanya, setiap penghuni mempunyai latar belakang dan kisah hidup berbeza, secara tidak langsung menjadikan setiap pertemuan dengan mereka sebagai satu perjalanan yang sarat dengan pengajaran.

"Ada yang merupakan bekas guru, doktor, usahawan, malah ada juga yang pernah menjadi pejuang negara.

"Mereka datang dengan pelbagai emosi, ada yang reda, kesepian dan masih mencari makna kehidupan di usia senja," katanya kepada Majoriti.

Ikhlas dan sabar

Faezah berkata, bertugas sebagai penjaga atau perawat warga emas bukanlah pekerjaan yang mudah seperti dibayangkan.

Baginya yang lebih selesa digelar sebagai penjaga nenek berkata, tugas itu sentiasa mengingatkan dirinya tentang nilai-nilai kesabaran dan keikhlasan kerana ia bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, namun turut melibatkan sokongan emosi dan spiritual.

6140919956531955712

Setiap penghuni juga sentiasa diingatkan untuk menunaikan ibadah meskipun tidak mempunyai daya seiring golongan muda.

"Ada di antara mereka yang memerlukan seseorang untuk mendengar, berkongsi cerita atau sekadar menemani mereka bersolat mahu pun membaca al-Quran.

"Saya percaya bahawa setiap kebaikan yang dilakukan dengan niat ikhlas akan membawa keberkatan dalam kehidupan.

"Tugas ini juga mengajar saya tentang erti syukur," katanya.

Melihat keadaan warga emas yang uzur dan bergelut dengan pelbagai penyakit membuatkannya lebih menghargai kesihatan dan masa yang ada.

Setiap kali Faezah membantu mereka makan, mandi dan berjalan, situasi itu sering menjadi renungan buatnya untuk terus berbakti dengan sepenuh hati.

"Orang lain mungkin tak faham. Kita sebagai wanita ini sebenarnya sangat beremosi dan memang sukar nak kawal kadang-kadang.

"Itulah cabarannya, bila berdepan dengan nenek-nenek di sini, saya perlu kawal emosi dan banyak bersabar sebab kebanyakan mereka ada gangguan kesihatan mental selain dementia (nyanyuk).

"Ada masa mereka pula yang beremosi, marah, mencarut dan sebagainya. Jadi, saya dan penjaga-penjaga lain bermain dengan perasaan. Jadi, memang perlu banyak bersabar," jelasnya.

Tenaga spiritual

Sebagai individu penting di pusat jagaan itu, Faezah percaya bahawa setiap detik yang diluangkan bersama mereka harus diisi dengan kegembiraan.

Menurutnya, lapan jam sehari bukanlah sekadar waktu bekerja, tetapi peluang untuk membawa sinar kebahagiaan dalam hidup mereka.

Kadangkala, menceriakan hati mereka juga antara tugasnya dan ia tidak mudah.

"Kalau kita bercakap tentang orang tua, semua orang akan kasihan. Tetapi, saya akan tukarkan mood gembira.

"Memang ada masa susah juga nak naikkan semangat orang lebih-lebih lagi penghuni di sini. Kita pun tak tahu apa yang mereka fikir.

"Saya pun bukan alim seperti ustazah untuk sentiasa sopan, lemah-lembut. Tetapi, saya cuba berubah walaupun banyak kekurangan," katanya.

Dalam kesibukan menjalankan tugas hakikinya, Faezah juga mendapati bahawa pekerjaan itu mendekatkan dirinya kepada Tuhan.

Setiap kali dia menyaksikan saat-saat akhir kehidupan seseorang, ia mengingatkan tentang realiti bahawa dunia ini hanyalah persinggahan sementara.

Doa-doa para penghuni juga sentiasa mengiringinya secara tidak langsung menjadi peringatan kepada Faezah untuk terus memperbaiki diri.

Dalam setiap sentuhan, setiap kata-kata lembut dan setiap layanan penuh kasih sayang, terdapat nilai-nilai kemanusiaan yang tidak ternilai.

"Saya percaya bahawa apabila kita menjaga orang lain dengan kasih sayang, ALLAH akan menjaga kita dengan lebih baik di kemudian hari," ucapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram