Fesyen dan hiasan dalaman saling melengkapi, Lisette tekankan kediaman yang indah perlu ada jiwa dan identiti


  • Relaks
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Lisette berkongsi minatnya dalam penggabungan barang antik dan baharu (moden) untuk dekorasi dalaman rumah.

DEKORASI rumah memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana kediaman yang damai lagi harmoni. Namun, jangan sesekali merasakan rumah yang cantik memerlukan anda berhabis duit duntuk membeli perabot atau barang perhiasan di dalamnya.

Akan tetapi jangan salah faham, pelaburan itu perlu untuk menyuntik jiwa dalam merealisasikan kediaman idaman.

Seorang figura yang mahir dalam seni reka dan hiasan dalaman, Lisette Aline Scheers, memberi pandangannya mengenai tip menghias rumah.

Beliau yang juga pengasas dan pereka jenama Nala, berpendapat hiasan rumah itu ibarat identiti kepada pemiliknya. Maka, beliau turut memenuhi butik Nala dengan pelbagai pilihan objek rumah dari pinggan mangkuk hingga ke kerusi dan pelbagai lagi barangan unik.

BACA LAGI: Status malim gunung bukan hak lelaki, Eima terus gali ilmu walau lebih 20 tahun pengalaman keluar masuk hutan

BACA LAGI: Keanggunan koleksi abaya Alfaro, pesona Fasha Sandha persis ratu Arab

WhatsApp Image 2025-02-14 at 4.23.10 PM

Kanvas hasil karya Lisette yang dilukis menggunkan cat dinding mampu memberikan suasana harmoni.

Seni rumah

Jika sebelum ini Lisette kerap kali ditemu bual mengenai fesyen, Majoriti menemuramahnya mengenai hiasan dalaman dan seni mencantikkan rumah.

“Sebagai contoh lukisan yang saya lukis di atas kanvas ini menggunakan cat dinding bersama corak yang mudah berunsurkan tumbuhan.

“Saya tidak menggunakan cat akrilik pun kerana ia mahal. Saya kembang lukisan dalam saiz yang besar. Dalam rumah, saya suka besar, nampak luas,” kata Lisette, individu warganegara Belanda yang membesar di Malaysia sejak dari kecil.

Jika hiasan dinding dalam bentuk pun tidak mengapa tetapi ia perlu digabung dengan kuantiti yang banyak.

“Macam hiasan dinding di dalam kedai ini, saya menggunakan gambar yang berkaitan dengan kehidupan dan karya saya sendiri, semuanya original. Ada gambar adik saya, poster pertama saya dan sebagainya, saya kumpulkan.

Jika bingkai gambar kecil itu digantung ada satu sahaja ia tidak akan cantik. Anda perlu campurkan dengan beberapa visual barulah seni itu timbul,” ujarnya.

WhatsApp Image 2025-02-14 at 4.22.13 PM

Aspek pencahayaan amat penting dan diberi penekanan dalam sesebuah ruangan dalaman rumah.

Pencahayaan lebih penting daripada siling rumah

Perkara kedua dan ditekankan beliau adalah lampu. Cahaya amat mustahak walau di mana-mana sahaja, di rumah, restoran atau kedai.

“Anda perlu luangkan masa banyak dan usaha yang tinggi untuk melabur terhadap perkara ini. Jika lihat mana-mana tempat yang cantik, mereka laburkan duit yang banyak untuk lampu atau dalam aspek pencahayaan.

“Saya sendiri menekankan siling tidak mustahak, pencahayaan yang lebih penting,” tegasnya.

WhatsApp Image 2025-02-14 at 4.22.12 PM

Platform seperti Pinterest, Instagram dan Chat GPT mampu memberikan rujukan terbaik untuk pemilihan dekorasi dalaman rumah.

Penggunaan rujukan platform digital

Buat generasi muda yang baru atau ingin mulakan dekorasi rumah, Lisette merasa zaman sekarang sangat istimewa bagi mereka ingin membeli barang dekorasi.

“Ini kerana terdapat platform seperti Pinterest, Instagram malah Chat GPT sekalipun, ia sudah boleh jadikan sebagai rujukan kepada anda.

“Ini termasuk reka bentuk, keseimbangan dan inspirasi. Malah anda boleh luangkan masa di pasar karat dan pastinya terdapat barangan yang mempunyai nilai,” kongsinya.

Lisette akui walaupun terdapat banyak barang atau perabot yang lama, tapi jika anda pandai memilih dan memperbaiki beberapa bahagian dengan sentuhan tersendiri, ia akan lebih bernilai.

“Jangan pergi ke kedai atau pasar biasa dan membeli barang yang murah tapi tidak ada nilai, cari perabot yang anda boleh letakkan nilai itu sendiri,” ujarnya.

WhatsApp Image 2025-02-14 at 4.23.09 PM

Pemilihan secara suai padan terhadap barang antik dan baharu (moden) menghasilkan visual perabot kontemporari yang mudah dan cantik.

Suai padan

Beliau turut berkongsi minatnya dalam penggabungan barang antik dan baharu (moden), kerana merasakan barang antik sentiasa memiliki soul untuk dekorasi.

“Tetapi anda kena hati-hati kerana jika terlalu banyak elemen tersebut ia akan menjadi terlalu gelap dan berat.

“Sebagai contoh almari saya yang memang sudah lama dan lusuh kerana berada di bawah kawasan terbuka. Saya bersihkan baiki beberapa bahagian yang saya perlu baiki.

“Kemudian saya gabungkan dan susun ia bersama meja buluh dari IKEA beralaskan karpet yang harga murah saja dengan corak tersendiri. Terhasillah visual perabot kontemporari yang mudah dan cantik,” kongsinya.

WhatsApp Image 2025-02-14 at 4.23.10 PM (1)

Almari di premis Nala Design yang diisi dengan deratan buku secara kemas.

Untuk hiasan dalaman rumah, disyorkan kepada mereka yang mempunyai almari di rumah untuk mengisi barang di dalamnya.

“Tidak perlu almari yang mahal-mahal tetapi jika ada almari yang mempunyai pintu, pastikan terdapat barang yang boleh di susun di dalamnya.

“Sebagai contoh deratan buku di dalam almari, apabila saya buka pintunya, ia akan memberikan lebih feel dan sedap mata memandang. Oleh itu, walaupun alamari itu murah atau buruk, susunan di dalamnya akan memberikan nilai kepada perabot tersebut,” ujarnya.

Apabila bercakap tentang perbelanjaan duit yang banyak untuk barangan dalam rumah, Lisette tidak fikir ia wajib kerana semuanya bergantung pada cita rasa.

“Ia bergantung bagaimana anda menyuai padan. Sebuah lagi contoh yang saya berikan di sini, adalah gerobok kasut yang diperbuat daripada keluli. Disebabkan bahan tersebut ia tidak mahal anda boleh jadikannya sebagai rak untuk letak barang seperti bang, pasu dan sebagainya, mudah dan kemas,” tutup bicaranya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram