
AKTIVITI sukan ekstrem papan selaju (skateboard) kini dilihat semakin mendapat sambutan berikutan pembinaan skatepark yang banyak di kawasan-kawasan bandar mahupun pinggir bandar.
Sebut sahaja skateboard, rata-rata pemainnya pasti mengenali figura bernama Pa’din Musa yang terkenal sebagai pemain profesional sukan ekstrem atau X-Games khususnya sukan skateboard sehingga peringkat antarabangsa.
Mungkin sesetengah daripada kita mengenali Pa’din sebagai individu yang aktif dalam dunia permotoran berikutan dia juga seorang pembina motosikal kustom.
Berdasarkan pengalaman luasnya, Pa'din tidak membuang masa apabila turut merancang pembangunan sukan aksi ini menerusi syarikatnya, PH Skatepark Sdn Bhd.
Terdapat banyak taman papan selaju atau skatepark yang telah dibina menggunakan kemahiran yang dimilikinya, bertujuan untuk memperbesarkan lagi kawasan atau ruang buat mereka yang mempunyai hobi sama sepertinya, iaitu bermain skateboard.
Majoriti hari ini berkongsi antara lokasi skatepark dibina oleh Pa’din dan menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem tersebut.
Kemeriahan suasana malam di Urban Skate Plaza @ Ampang Park.
Urban Skate Plaza @ Ampang Park
Hasil kerjasama MRT Corp dan Vans, tapak sukan ekstrem itu telah terbina di tengah bandaraya Kuala Lumpur dengan sentuhan Pa’din.
Urban Skate Plaza menawarkan pelbagai kemudahan untuk peminat sukan papan selaju, termasuk pelbagai jenis rel, ramp dan halangan yang sesuai untuk pelbagai tahap kemahiran.
Malah, lokasi itu turut menyediakan pelbagai gerai makanan serta minuman termasuk sudut-sudut untuk anda bersantai atau beriadah.
Skatepark ini beroperasi 24 jam, membolehkan skater berlatih pada bila-bila masa, namun menjelang 12 tengah malam, pihak berkuasa tetap akan membuat rodaan di kawasan tersebut bagi mengawal keadaan dan memastikan keselamatan setempat.
Skatepark di Taman Cabaran menjadi pusat sukan ekstrem papan selaju di Putrajaya.
Skatepark Taman Cabaran, Putrajaya
Skatepark dan Thrill Park ini dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam dan masuk adalah percuma. Terletak di Presint 5, Putrajaya, Pa'din telah menjadi penasihat dan membantu dalam pembinaan tapak tersebut.
Skatepark tersebut menawarkan pelbagai kemudahan untuk peminat sukan ekstrem bahkan pelbagai acara juga telah diadakan di sini seperti baru-baru ini berlangsungnya PCP Adrenaline Fest 2025.
Menariknya, dinding-dinding binaan di taman itu turut dihiasi seni graviti berwarna bagi menghidupkan lagi skatepark tersebut.
Bagi penggemar aktiviti berkenaan, kunjungan anda ke Taman Cabaran, Putrajaya tentu tidak akan sia-sia kerana skatepark ini menawarkan pelbagai kemudahan yang diimpikan para peminat sukan ekstrem.
Skatepark Pokok Sena, Pulau Pinang dibangunkan di kawasan perumahan menjadi salah sebuah lokasi tumpuan peminat skate board.
Skatepark Pokok Sena, Pulau Pinang
Skatepark Pokok Sena antara lokasi terkini yang dibina oleh Pa’din bersama pasukannya dan sering kali dikongsikan olehnya suasana dan keadaan waktu petang di situ melalui platform media sosial.
Walaupun tapak yang dibangunkan di kawasan perumahan itu tidak sebesar skatepark yang lain, lokasi tersebut banyak dikunjungi skater dalam kalangan kanak-kanak.
Secara tidak langsung, tapak berkenaan memperlihatkan ramai kanak-kanak yang cenderung ke arah sukan skateboard tersebut, sekali gus melahirkan legasi dalam sukan ekstrem tersebut.
Skatepark KCP (Kulai Cycling Park), Johor
Skatepark ini menawarkan pelbagai kemudahan untuk penggemar papan selaju, termasuk kawasan untuk skaters dalam kalangan pemula dan profesional.
Dengan reka bentuk yang moden dan selamat, ia menjadi destinasi utama bagi mereka yang ingin mengasah kemahiran dalam mengendalikan papan selaju.
Terletak di Kulai Cycling Park, pembinaan skatepark ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memenuhi permintaan komuniti setempat yang memiliki sejumlah besar penggemar sukan aksi itu.
Bahkan, ia menjadi ruang untuk generasi muda berlatih dan memberi inspirasi kepada ramai untuk meneroka lebih lanjut tentang budaya dunia skateboard di sana.
Struktur permukaan yang lebih besar dengan konsep arena berbumbung di sediakan di Mont Kiara Skatepark.
Mont Kiara Skatepark, Kuala Lumpur
Mont Kiara Skatepark direka dengan gabungan beberapa struktur permukaan yang lebih besar dengan konsep arena berbumbung.
Lokasi berkenaan juga antara yang popular di Kuala Lumpur dan pelbagai acara serta pertandingan papan selaju turut diadakan di skatepark ini.
Ia lebih luas dan besar dengan suasana persekitaran yang moden, skatepark ini bukan sahaja menjadi tempat latihan, tetapi juga pusat aktiviti sosial bagi komuniti skateboard dan suasananya amat menyenangkan.
Paling menarik, lokasi ini juga dekat dengan pelbagai kemudahan lain di Mont Kiara, menjadikannya tempat yang mudah diakses dan sesuai untuk menghabiskan waktu bersama rakan-rakan.
Secara dasarnya, terdapat banyak skatepark dibina hasil sentuhan Pa’din. Bahkan, sehingga kini dia terus berusaha untuk memastikan penggemar sukan itu di Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar mendapat akses kepada kemudahan yang terbaik.
Oleh itu, skatepark ini diharapkan dapat membantu memperkembangkan bakat dan menjadi platform latihan yang terbaik untuk lebih ramai skater muda beraksi bersama papan selaju mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram