Bekas peguam nekad tukar lapangan kerja, ceburi bidang pengusaha tadika


  • Relaks
  • Rabu, 12 Feb 2025

Emylia merupakan pengusaha francais bumiputera tadika Q-dees di Saujana Utama sejak 2007 dan merupakan individu bumiputera terawal yang membuka bisnes tersebut.

MENUKAR kerjaya bukan suatu keputusan yang mudah. Pelbagai faktor mendesak seseorang itu untuk mengubah haluan sama ada demi kelangsungan hidup ataupun keinginan menambah pengalaman. Bak kata pepatah, bertukar angin.

Bagi Emylia Mohd Nor, 53, perjalanan ke tempat kerja yang memakan jarak 230 km (kilometer) dari Sungai Buloh, Selangor ke Seremban, Negeri Sembilan setiap hari membuatkan beliau nekad untuk menokhtah kerjayanya sebagai peguam dan bertukar lapangan kerja.

BACA LAGI: Bermula sebagai blogger menjual pakaian, Husna kini latih usahawan mengenai pemasaran digital

BACA LAGI: [VIDEO] Sekali-sekala 'staycation' menenangkan fikiran, merehatkan badan lesu selepas sibuk bekerja

449703152_10233083924229046_7403478002302987306_n

Emylia sebagai pengusaha francais bumiputera tadika Q-dees di Saujana Utama kini mempunyai 80 pelajar di sekolahnya.

Kini, beliau bergelar pengusaha francais bumiputera tadika Q-dees di Saujana Utama sejak 2007 dan merupakan individu bumiputera terawal yang membuka bisnes tersebut.

Emylia bermula sebagai peguam Pemindahan Hak (Conveyancing) dari tahun 2000 hingga 2002 di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Apabila ditawar majikan untuk mengendalikan cawangan baharu firma guamannnya di Seremban, Negeri Sembilan sebagai pengurus firma guaman, Emylia tidak berfkir panjang dan terus berkata: "Ya".

“Saya terima tawaran tersebut kerana kenaikan gaji dua kali ganda selain niat untuk meningkatkan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang guaman. Malah, saya juga diberi kereta syarikat untuk berulang-alik dari tempat kerja,” katanya.

430329783_10232408030172117_5643568429730200591_n

Setiap silibus dan modul di tadika menjadi subjek penting yang perlu dipelajari oleh setiap pengusaha tadika.

Bertugas di tempat baharu selama lima tahun, Emylia yang merupakan graduan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya akhirnya mulai berasa penat berikutan masa perjalanan yang agak panjang.

Pada November 2006, beliau membuat keputusan nekad untuk berhenti kerja. Atas rasa minat untuk mendalami ilmu pendidikan awal kanak-kanak, Emylia mengikuti kursus separuh masa di Montessori di Summit International College, Subang Jaya.

“Selama setahun setengah pada setiap Selasa, sebaik sahaja habis kerja di Seremban, saya akan bergegas ke Subang Jaya untuk menghadiri kelas yang bermula dari pukul 7 hingga 10 malam. Setiap Sabtu pula kelas berlangsung dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.

“Terdetiknya azam saya untuk membuka bisnes tadika apabila pada 2000 sewaktu saya masih lagi bergelar peguam, ada seorang peguam senior perkenalkan saya kepada buku Rich Dad Poor Dad.

“Selepas habis baca buku ini, dari situ saya berazam untuk jadi usahawan satu hari nanti walaupun waktu itu saya tidak tahu bisnes apa yang hendak saya mulakan,” ujar isteri kepada pegawai di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Faktor utama yang membuatkan Emylia memilih untuk membuka bisnes tadika adalah kerana pengurusan waktu kerja yang lebih singkat iaitu separuh hari, lebih-lebih lagi lokasi tempat kerja tidak jauh dari rumah.

Berkongsi detik yang tidak dapat dilupakan semasa dalam dunia guaman, anak kelahiran Melaka ini pernah mengendalikan satu kes melibatkan seorang klien berstatus balu anak tiga.

“Ibu muda kematian suami itu adalah suri rumah, tinggal di rumah teres setingkat dan nilai pasaran waktu itu tak sampai pun RM100,000.

“Keluarga mentua berhasrat agar rumah peninggalan arwah suaminya itu dibahagikan mengikut faraid. Jika nak terus tinggal di rumah itu, kena bayar bahagian waris lain. Teresak-esak dia menangis depan saya dan perkara tersebut nampak biasa tetapi jangan sesekali ambil mudah jika ia berkait dengan harta,” kongsinya.

WhatsApp Image 2025-02-07 at 3.44.43 PM

Salah seorang guru tadika bersama pelajar yang diuruskan oleh Emylia.

Adat berniaga, beliau yang juga pernah menghasilkan buku ketika menjadi penuntu di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, mengakui ada masa turun naiknya. Beliau pernah dibelenggu dengan cabaran kekurangan kewangan dan terpaksa menempuh beberapa cabaran lain semasa baru memulakan bisnes tadika.

“Permulaan semasa buka bisnes ini bukan mudah, modal tidak cukup. Saya terpaksa buat dua kerja sambilan untuk tampung kos operasi. Tiga kali seminggu saya kerja dari 4.30 petang hingga 8.30 malam di pusat tuisyen. Hujung minggu pula saya akan ke rumah orang untuk ajar anak orang-orang berada.

“Staf pula bertukar silih berganti. Pernah hari pertama persekolahan dua staf saya tak datang kerja tanpa memaklumkan pada saya terlebih dahulu,” terangnya.

Kini, Alhamdulillah masuk tahun ke-19, saya sudah ada enam pekerja yang menjadi orang kepercayaan saya untuk menguruskan lebih 80 pelajar," kongsinya yang beroperasi di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Berbicara mengenai motivasi kekuatan diri, Emylia sentiasa mengingatkan dirinya yang bukan datang dari keluarga senang. Beliau tidak mengharapkan ibu bapa untuk membantu dirinya untuk selama-lamanya.

Akhir kata, Emylia menasihati wanita-wanita bekerjaya agar terus menyemat azam semangat, usah cepat putus asa dan rajinkan diri mencari pengetahuan dan membina kemahiran diri.

“Jika kerjaya semasanya tidak lagi memberikan kepuasan, tidak mahu menjadi pengikut dan ingin bebas membuat keputusan - anda sentiasa ada pilihan.

“Kuasai ilmu tentang pengurusan wang dan sentiasa mengukur baju di badan sendiri. Kemudian, berusahalah untuk menunaikan umrah dan haji sementara masih muda serta berupaya,” tutup bicaranya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram