
TERLETAK di Setia Alam, Selangor, Belinjo bukan sekadar sebuah kafe biasa.
Ia merupakan perniagaan keluarga yang berkembang dari sebuah resipi popular air tangan seorang ibu kepada sebuah tempat makan bagi pelanggan menikmati hidangan sama seperti masakan di rumah.
Perjalanan Belinjo bermula pada 2016 dengan jualan tauhu bergedil resipi air tangan ibu kepada Khairi Zainal Rashid iaitu Nani Rostam, 58.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Pada awalnya, perniagaan terbabit bermula daripada rumah sebelum berpindah ke sebuah dapur pusat di Setia Alam, Selangor.
Hidangan ini menjadi sebutan ramai, menjadikannya antara pilihan utama dalam kalangan penggemar di sekitar Lembah Klang.
Dalam tempoh tersebut, perusahaan berkenaan turut disertai oleh Khairi sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan antarabangsa.
Bermula dengan untuk menolong ibunya, Khairi, 30, dibantu isterinya, Nina Fuaad, 28, kemudian mengambil alih sepenuhnya operasi perniagaan tersebut dengan ibunya bertindak selaku penasihat.
Menurut Khairi, idea untuk membuka kafe itu timbul selepas mereka mula mengalami isu dalam penghantaran makanan.
"Sebab salah satu masalah kita hadapi waktu itu adalah bila buat penghantaran, hidangan yang pelanggan dapat itu dah tak segar.
"Jadi dekat situ saya buat keputusan untuk buka kafe fizikal," kongsinya kepada Majoriti.
Menurut Khairi, di Belinjo Kafe, beliau mahu pelanggan untuk merasai pengalaman sama seperti di rumah sama ada daripada segi dekorasi mahupun hidangan makanan.
Selain tauhu bergedil, antara menu lain yang mendapat sambutan ialah nasi ambeng dan lontong darat.
"Jadi daripada segi masakan pun lebih kepada seperti masakan di rumah.
"Kemudian untuk dekorasi pula, ibu saya juga reka hiasan dalaman seperti di rumah pemilihan perabot seperti sofa dan pokok hiasan," ujarnya.
Sementara itu, Khairi berkata, sejak tahun lalu, perniagaannya turut mula menjalankan perniagaan katering yang meliputi penyediaan hidangan bagi acara.
Antara jenama yang mendapatkan perkhidmatan kateringnya bagi acara dijalankan termasuk Cakenis, Fateh Watches, Semua House, GXBank dan SVG.
Bergerak ke hadapan, Khairi berkata, dia merancang untuk membuka satu cawangan di kawasan yang lebih dekat dengan Kuala Lumpur.
"Daripada menu pula kita sentiasa cuma untuk teroka menu baharu. Sebabnya bila kita buat katering pun, mereka banyak minta ubah suai menu.
"Jadi kami tidak tetap pada satu hidangan sahaja," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram