Athina jadi inspirasi model 'plus size', kikis stereotaip wanita hanya cantik jika kurus


Kemunculan Athina menjadi inspirasi buat para wanita bertubuh besar untuk berkarya dalam bidang fesyen. — Instagram/Athina

MEMILIKI saiz tubuh badan besar kini tidak sesekali dilihat sebagai satu kelemahan.

Dalam dunia peragaan yang sering kali didominasi oleh definisi kecantikan tertentu, nama Athina Kamarudin muncul menjadi inspirasi khusus buat para wanita bertubuh gempal atau lebih manis mengikut terma hari ini, curvy.

Bukan sekadar model, penari dan pempengaruh media sosial itu juga berjaya membuktikan bahawa saiz tubuh badan bukanlah penghalang untuk terus berkarya dalam industri fesyen.

Malah, wajahnya yang kini terpampang di pelbagai papan iklan jenama kecantikan antarabangsa, Sephora.

BACA LAGI: [VIDEO] Percaya jalan ALLAH, anak pengasas Madrasah Darul Ansar tepis godaan 'darah muda' semasa remaja

BACA LAGI: Keluar dari kampung pedalaman, lawatan pelajar madrasah ke KL kikis persepsi sekolah pondok berfikiran ketinggalan zaman

6122821930714251410

Athina juga dikenali sebagai penari dan pempengaruh media sosial dalam dunia kecantikan. — Instagram/Athina

Sebagai seorang wanita yang kerap dikategorikan dalam lingkungan 'plus size', Athina menggunakan platform tersebut untuk menyingkap segala stigma negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Raikan kepelbagaian

Melihat peranannya, Athina menganggap ia merupakan jalan terbaik untuk terus memperjuangkan suara dan hak wanita dengan pelbagai saiz dalam industri itu.

"Ini adalah apa yang saya lakukan demi kemajuan Malaysia.

"Saya percaya kita semua perlu perkenalkan semula semua jenis saiz badan dengan fesyen berbeza.

"Untuk saya, permintaan masih ada. Tetapi, jika tiada sekali pun, saya tetap mahu beritahu orang bahawa saya masih di sini," katanya kepada Majoriti.

6122821930714251412 (1)

Athina mengangkat suara wanita khususnya yang bertubuh besar. — Instagram/Athina

Baginya, sejak awal kemunculannya, dunia fesyen sudah melalui perubahan yang ketara.

Meskipun terdapat cabaran untuk mengubah norma kecantikan masih ada, Athina masih melihat perkembangan positif yang semakin mengukuhkan suara wanita berbadan besar.

Di luar kerjaya peragaannya, Athina juga melihat figura-figura model yang berjaya memberi impak positif kepada dunia fesyen.

"Ada seorang model dari Thai, Anchilee Scott-Kemmis sering jadi rujukan saya.

"Saya nampak dia sebagai seorang wanita dan berjaya menjadi ikon dan selebriti yang memperkenalkan badan aslinya.

"Melihat masih ramai memberi sokongan padu terhadap dia buatkan saya lebih kagum," katanya sambal menekankan betapa pentingnya mempamerkan tubuh sebenar tanpa rasa malu.

Tembus pasaran antarabangsa

Baru berusia 27 tahun, Athina berjaya mencipta sejarah dalam kerjayanya apabila terpilih dalam satu kempen terbesar bersama jenama kecantikan terkemuka iaitu Sephora.

Kempennya itu juga merangkumi pasaran kecantikan di Malaysia, China, New Zealand dan Australia.

Bagi Athina, ia merupakan pencapaian terbesar dan amat bermakna.

"Sebagai seorang wanita, sememangnya saya sangat tidak sangka.

"Jadi, berada di tahap ini membuatkan saya rasa semua ini berbaloi," jelasnya.

Penglibatannya dalam kempen global seperti itu bukan sahaja memberi peluang untuk menyerlahkan bakatnya, malah jelas membuktikan bahawa wanita berbadan besar turut mempunyai peluang luas dalam dunia fesyen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram