
TABIAT terlalu banyak berfikir atau overthink adalah masalah yang kerap dihadapi oleh ramai wanita, terutamanya apabila mereka merasa cemas atau tertekan.
Proses berfikir berlebihan ini dapat mencetuskan ketegangan mental yang membawa kepada gangguan seperti kegelisahan (anxiety) dan dalam kes yang lebih teruk ialah serangan panik.
Fenomena ini bukan sahaja mengganggu kehidupan seharian, tetapi juga memberi kesan negatif kepada kesejahteraan emosi dan fizikal.
(Dari kiri) Fitri, Dayah masing-masing berpendapat bahawa individu yang sering overthink perlu tahu mengawal pemikiran. — Instagram/@fitrisolehaa_ & @dayahbakar
Justeru, baru-baru ini, Majoriti menemu bual beberapa wanita berhubung cara mereka mengatasi masalah ini.
Bagi Fitri Soleha, setiap kali overthinking, beliau akan cepat-cepat mengubah perspektif situasi kepada yang lebih positif dan mengawal pernafasan pula dianggap sebagai langkah utama.
"Bila saya overthink, saya cuba untuk terus positif tentang apa yang sedang berlaku dan teruskan sahaja. Yang paling penting, kawal pernafasan," katanya.
Minda yang positif lebih mudah mengawal emosi dan membebaskan kita dari kitaran pemikiran yang negatif.
Fitri turut berkongsikan pengalamannya berhadapan dengan situasi tersebut sewaktu dia berada di zaman pengajian tingginya.
"Saya pernah kena sewaktu zaman belajar. Setiap kali saya mahu buat pembentangan, mesti saya banyak berfikir dan kena serangan panik," katanya.
Sementara itu, personaliti TV, Dayah Bakar berkata, walaupun serangan panik berlaku tanpa amaran, individu terlibat boleh kembali tenang dan menghadapinya dengan lebih baik melalui kawalan diri.
Menyendiri boleh menyebabkan seseorang individu lebih mudah overthink. — Gambar hiasan/Freepik
Mengelak daripada menyendiri menjadi salah satu langkah untuk mengatasi overthink, kerana kesunyian boleh menyebabkan pemikiran jadi tidak terkawal.
"Terlalu berfikir memang tak bagus kerana ia cuma akan mendorong kita untuk mula berfikir perkara yang bukan-bukan.
"Jangan memendam rasa, cari orang terdekat yang boleh dipercayai untuk curah perasaan. Sebab kadang-kadang masalah itu hanya satu, tapi tiba-tiba boleh bercambah jadi 10 akibat berfikir sendirian," kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Bagi Dayah, berbicara dengan orang yang dipercayai adalah salah satu cara terbaik untuk meredakan perasaan dan mengelakkan pemikiran negatif daripada terus berkembang.
Tambahnya, aktiviti sosial dan sokongan daripada rakan atau keluarga boleh memberi kesan besar kepada individu yang sedang berdepan dengan perasaan cemas atau berlebihan.
Tidak hanya itu, pendekatan spiritual juga membantu mengalihkan pemikiran negatif, termasuklah menyibukkan diri dengan hal-hal lain.
"Kalau dah mula ada pemikiran negatif, kena cepat-cepat istighfar. Selain itu, bagi saya perkara terbaik ialah sibukkan diri dengan kerja lain seperti bersenam atau keluar beriadah," jelasnya.
Sebagaimana Dayah, pempengaruh, Hawa Johanis juga mengambil pendekatan sama iaitu menyibukkan diri dengan hal-hal lain sebelum overthink 'menguasai' diri. Akuinya, dia sendiri mudah terkena serangan panik.
"Saya memang senang kena serangan panik, lebih-lebih lagi bila mendengar sesuatu yang mengejutkan. Kalau jadi macam tu, saya akan cari seseorang yang boleh bantu," katanya.
Pempengaruh, Sharifah Rose Sabrina yang gemar disapa sebagai Rose, pernah mengalami situasi sama dan berpendapat kegelisahan yang berpanjangan dicetuskan daripada sikap terlalu benyak berfikir.
Menurut Hawa (kiri), Khairul (kanan) dan Rose, sokongan orang sekeliling mampu membantu menstabilkan emosi. — Instagram/@hawajohanis, @sharifahrose & @k.jal
Bagi Rose, menulis adalah salah satu caranya untuk menenangkan fikiran yang sedang kusut.
"Saya akan cuba ambil masa untuk duduk dan tulis apa yang terbuku di hati sebab melalui menulis, fikiran boleh kembali pulih. Tetapi kalau penat sangat, saya tidur je," ujarnya.
Tidur juga terbukti menjadi salah satu penyelesaian untuk mengatasi keletihan minda buat sesetengah orang, terutamanya apabila tidur menjadi sukar kerana terlampau banyak gangguan fikiran.
Kongsi Rose, dia pernah mengalami situasi sukar tidur akibat overthinking sehingga menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada ubat tidur.
"Pernah sekali tu saya tak boleh tidur dan terpaksa makan ubat tidur hampir sebulan akibat terlalu fikir pasal kerja. Mungkin faktor umur yang semakin meningkat, sampaikan risau keterlaluan walhalnya tak ada apa-apa pun," katanya.
Bagi pempengaruh yang dikenali sebagai Khairul Jal pula, untuk mengatasi masalah tersebut, kekuatan terbesar datang daripada sokongan ibu.
“Emak adalah orang yang saya cari dulu kerana dialah penguat semangat saya. Saya tidak mampu untuk kekal tabah tanpa sokongn emak,” jelasnya.
Beliau mengakui bahawa setiap kali rasa teragak-agak atau ragu-ragu mengenai keputusan yang diambil, ibunya akan memberi nasihat sekali gus menenangkan fikirannya.
Walaupun overthinking dianggap sebagai masalah lumrah zaman moden, wanita-wanita ini menunjukkan bahawa ada jalan dan pelbagai pendekatan yang dapat membantu mengurangkan dan mengatasi pemikiran berlebihan.
Sama ada melalui sokongan sosial, aktiviti fizikal atau pendekatan spiritual, kunci utama adalah untuk tidak berdepan dengan perasaan ini seorang diri.
Mengawal diri, bercakap dengan orang yang dipercayai, dan menjaga kesihatan mental adalah langkah penting untuk mengelakkan diri daripada diserang panik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram