Hati-hati ambil jamu, penggunaan bahan terlarang, tiada kajian santifik risiko kanser payudara dan rahim


  • Sihat
  • Rabu, 05 Feb 2025

Pengambilan jamu tidak dilarang, namun tidak disarankan khususnya untuk kanak-kanak perempuan. — Gambar hiasan

WALAUPUN zaman semakin moden dan canggih, pengambilan makanan tambahan seperti jamu masih diketengahkan.

Jamu merupakan antara warisan perubatan tradisional yang sekian lama diamalkan sejak turun-temurun khususnya dalam kalangan wanita.

Ia juga sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti meningkatkan tenaga, mengembalikan kesegaran tubuh selepas bersalin dan mengekalkan keseimbangan hormon.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertaruh nyawa sendiri, bapa sanggup jadi 'perisai' selamatkan anak dirempuh kereta di selatan Thailand

BACA LAGI: Athina jadi inspirasi model 'plus size', kikis stereotaip wanita hanya cantik jika kurus

X-Jamu-Tradisional-Indonesia-dengan-Segudang-Manfaat

Jamu antara makanan tambahan tradisional yang sering diamalkan wanita. — Gambar hiasan

Namun, adakah jamu selamat untuk diaamalkan, berkesan dari sudut perubatan moden dan seawal usia berapa ia sesuai untuk diambil?

Menurut Dr. Nurul A’in Sa’ari, 33, secara umumnya, pengambilan jamu tidak dilarang, namun ia tidak digalakkan dalam perubatan moden.

"Lazimnya, peniaga atau pihak promosi jamu akan memberitahu bahawa jamu boleh diambil umur 18 tahun ke atas.

"Selain itu, sesuai untuk wanita selepas bersalin, kononnya dikatakan bantu meningkatkan kembali tenaga dan mengetatkan otot 'miss V' yang longgar.

"Daripada sudut perubatan pengambilan jamubukanlah dilarang, namun tidak digalakkan kerana tidak mengetahui bahan-bahan terkandung di dalamnya.

"Jadi, apabila ingin mengamalkan sesuatu suplemen anda harus pastikan ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya kepada Majoriti.

Ini berikutan menurut beliau yang juga merupakan penceramah kesihatan wanita dan Pengasas Let's Bebel memberitahu, kebanyakan jamu yang dijual di pasaran tidak mempunyai kelulusan kementerian berkenaan.

MJ DOUBLE PIX - 1

Dr. Nurul A'in (gambar kecil) menjelaskan kanak-kanak disaran memperbanyakkan makanan sihat berbanding jamu yang mengandungi bahan merangsang hormon . — Gambar hiasan/Freepik

Dalam perubatan moden, sebarang suplemen atau makanan tambahan yang diambil perlu melalui kajian klinikal dan mendapat kelulusan KKM untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya.

"Jika ingin mengambil suplemen, pastikan meneliti nombor pendaftaran MAL. Itu tandanya ia telah diuji dan disahkan selamat," tambahnya.

Sebagai alternatif kepada jamu tradisional atau lebih spesifik homemade, Dr. Nurul A’in menyarankan pengambilan suplemen moden yang telah diproses mengikut garis panduan kesihatan yang ketat.

Ia bukan sahaja bagi memastikan keselamatan pengguna, malah dapat mengawal dos kandungan bahan aktif yang terkandung di dalamnya.

Ambil jamu sebelum akil baligh

Dr. Nurul A’in turut menjelaskan bahawa pendapat tentang pengambilan jamu seawal usia terlalu muda iaitu sebelum akil baligh untuk mengekalkan kesihatan dalaman wanita adalah tidak benar.

"Sebenarnya, banyak jamu mengandungi estrogen atau bahan yang merangsang hormon.

"Jadi, apabila mereka yang belum akil baligh makan jamu, bimbang berisiko mempercepatkan proses kematangan kanak-kanak tersebut.

"Bukanlah akil baligh awal itu tidak bagus, tetapi jika lihat kajian saintifik, badan akan terdedah dengan hormon estrogen lebih banyak.

"Ini juga boleh membawa risiko wanita mendapat kanser payudara dan rahim walaupun ia boleh melambatkan proses penuaan atau menopaus," tegasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Nurul A’in juga berkongsi simptom boleh dilihat sekiranya pengambilan jamu melebihi dos atau pada usia yang tidak sepatutnya.

6127464571317896314

Wanita disaran mengambil makanan atau suplemen tambahan yang hanya diiktiraf KKM. — Gambar hiasan

Katanya, terdapat jamu yang mungkin memberi kesan tidak normal seperti meningkatkan pengeluaran lendir pada bahagian miss V secara berlebihan sehingga memerlukan pemakaian tuala wanita setiap hari.

"Ada kes yang pernah berlaku dalam kalangan wanita yang sudah menopaus. Kebiasaannya wanita disahkan menopaus selepas setahun tidak mengeluarkan darah haid.

"Tetapi, ada situasi haid keluar selepas setahun mengamalkan jamu. Situasi itu tidak normal dan berisiko mendapat kanser rahim," jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Nurul A’in menasihatkan agar wanita tidak mudah terpengaruh dengan testimoni yang tiada asas saintifik.

"Sekiranya ingin mengambil suplemen untuk kesihatan, pilihan terbaik adalah yang dijual di farmasi dan melalui ujian klinikal.

"Kesihatan bukan sekadar tentang amalan tradisional, tetapi ia juga memerlukan pendekatan berasaskan bukti saintifik dan penyelidikan sahih," sarannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram