![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/04/3150445.png)
PEMANDU Perodua Alza yang merempuh lima kenderaan hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Hulu Langat-Ampang pada Ahad dibebaskan dengan jaminan polis.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap pemandu berusia 27 tahun itu didapati negatif sebarang penggunaan dadah.
"Setakat ini polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi mengenal pasti punca kejadian.
BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa nahas 'makan jalan' Bukit Ampang rupanya pelajar jurusan akaun no.2 terbaik dunia
"Semakan ke atas rekod jenayah lampau juga mendapati pemandu terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya pada Selasa.
Terdahulu, Majoriti melaporkan mangsa, Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, merupakan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di sebuah pusat pendidikan TYMBA Education, Subang Jaya, Selangor.
Perkara itu dikongsikan TYMBA Education menerusi hantaran di Facebook pada Isnin dengan ucapan takziah atas pemergian pelajar cemerlang tersebut.
"Pencapaian luar biasa Aysar, termasuk meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023, amat membanggakan kami.
"Semoga ALLAH mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada mereka, serta menempatkan roh Aysar dalam kedamaian abadi di taman-taman syurga," katanya.
Difahamkan, kemalangan berlaku apabila Perodua Alza yang datang dari arah Ampang masuk ke laluan bertentangan dan merempuh lima kenderaan itu, menyebabkan Aysar Zahran, 20, tercampak lalu terjatuh ke tepi jalan dan disahkan meninggal dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram