![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/04/3150524.png)
SEORANG wanita yang dilaporkan hilang pada Rabu minggu lalu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di Pantai Remis dekat Jeram, Selangor pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Hussin Sollehuddin Zolkifly, memaklumkan mayat Yong Jia Yein, 34, ditemukan di sebuah pantai pada awal pagi Selasa.
Beliau turut mengesahkan bahawa keluarga mangsa telah dimaklumkan, dan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Alza langgar mati pelajar cemerlang negatif dadah, dibebas dengan jaminan polis
Jia Yein kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Kondominium Pelangi Utama dekat Petaling Jaya, Selangor dengan memandu sebuah Proton Iswara berwarna biru dengan nombor pendaftaran BDV 1304.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, polis menerima maklumat itu kira-kira pukul 2 pagi selepas menerima panggilan telefon daripada anggota MPV yang sedang membuat rondaan di pantai berkenaan.
"Mayat perempuan itu ditemukan dalam sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu di kawasan parkir Pantai Remis.
"Pemeriksaan pada kenderaan terbabit mendapati keempat-empat pintu kereta terkunci dari dalam dan mayat dikeluarkan oleh bomba dan hasil semakan mendapati mayat tersebut adalah adik pengadu yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan fizikal atau unsur jenayah.
"Mayat dihantar ke Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR)," tambah beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram