![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/03/3148887.png)
SEBUAH majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung dalam suasana gembira bertukar suram apabila seorang individu tidak dikenali dipercayai menyamar sebagai tetamu dan melarikan wang tunai sebanyak RM2,500 baru-baru ini.
Menurut seorang pengguna Facebook, Ameer Hakimi kejadian itu berlaku di Kampung Tasek Berangan dekat Pasir Mas, Kelantan ketika mereka sedang meraikan majlis perkahwinan kakak ipar mereka pada Sabtu lepas.
Menurut Ameer, suspek yang berpakaian seperti tetamu lain dipercayai memasuki rumah dengan alasan ingin menggunakan tandas. Namun, individu berkenaan bertindak mengambil sejumlah wang yang disimpan sebelum beredar tanpa disedari.
BACA LAGI: [VIDEO] Nasib tak kena telan, gadis duyung hampir dimakan ikan gergasi dalam akuarium di China
"Aktiviti majlis perkahwinan tetamu tidak diundang mengambil harta bukan miliknya. Menyamar sebagai tetamu, tumpang tandas dan melarikan wang ringgit sebanyak RM 2,500," tulisnya pada Ahad.
Tambah Ameer lagi, mereka hanya menyedari kehilangan wang tersebut beberapa jam selepas majlis tersebut berlangsung sekali gus menyebabkan suasana yang sepatutnya gembira bertukar muram.
Sehubungan itu, Ameer mewakili ahli keluarganya yang lain turut meminta agar wanita berkenaan mengembalikan wang tersebut dengan meletakkannya semula di bawah pintu rumah atau menggunakan apa-apa cara yang sesuai.
Dia turut meminta orang ramai agar lebih berwaspada ketika mengadakan majlis bagi mengelakkan insiden seumpama itu daripada berulang.
"Sama-sama beringat dan boleh kongsi. Tolong letak semula (barang yang diambil) di bawah pintu tuan rumah atau apa-apa cara untuk kembalikan harta tersebut," katanya.
Pada masa sama, Ameer turut memuat naik satu video memaparkan wanita berkenaan dalam keadaan curiga memasuki ruang rumah mangsa.
Dia kemudiannya terus melarikan sebuah tas tangan mangsa yang diletakkan di atas almari sebelum beredar dari rumah tersebut.
Setakat berita ini ditulis, identiti wanita berkenaan masih belum dapat dikenal pasti dan belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram