Cerai melalui teks, media sosial, bagaimana mahkamah nilai kesahannya?


  • Massa
  • Selasa, 11 Feb 2025

Lafaz cerai yang dibuat melalui teks atau media sosial memerlukan pengesahan daripada pihak mahkamah. — Gambar hiasan/Freepik

IKATAN perkahwinan yang terlerai mempunyai implikasi besar pada emosi dan kehidupan pasangan, malah situasi bertambah rumit apabila ia melibatkan anak-anak, jika ada.

Bagi umat Islam di Malaysia, hukum syariah menjadi pelindung kepada institusi kekeluargaan dalam memastikan kehidupan terus makmur dan harmoni menurut syariat.

Apabila sesebuah perkahwinan itu tidak dapat lagi diselamatkan, lafaz cerai haruslah mengikut prosedur yang betul dan sah dari segi hukum.

Salah satu isu yang kerap kali berlaku dalam masyarakat masa kini adalah penggunaan media sosial sebagai saluran untuk melafazkan cerai. Lebih membimbangkan, ada yang melakukannya secara siaran langsung.

BACA LAGI: Tinggalkan dunia korporat di AS, Suri komited perkasa wanita dan industri fesyen sederhana di Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

3149735

Fatimah berkata, mahkamah syariah akan menilai beberapa faktor lain selain niat dalam menentukan sah atau tidak cerai tersebut.

Oleh kerana kejadian sebegini makin kerap berlaku, kini timbul keraguan tentang kesahan lafaz cerai yang dibuat melalui aplikasi teks atau media sosial.

Lafaz cerai merupakan satu tindakan serius yang melibatkan hukum syariah dan perlu dilaksanakan dengan penuh ketelitian.

Peguam syarie, Fatimah Majemi, memberikan penjelasannya mengenai isu sama ada cerai yang dilafazkan melalui teks atau media sosial sah atau tidak dari segi undang-undang syariah.

Menurut beliau, lafaz cerai yang dibuat melalui teks atau media sosial memerlukan pengesahan daripada pihak mahkamah.

"Sepatutnya lafaz cerai ni dibuat di dalam mahkamah. Jadi, kalau suami buat di luar mahkamah, ia adalah satu kesalahan," katanya ketika ditemui Majoriti.

Beliau menegaskan bahawa suami yang membuat lafaz cerai di luar mahkamah dianggap telah melakukan satu kesalahan. Pun begitu, ia tetap perlu disahkan oleh mahkamah syariah kerana melibatkan hukum syarak yang sangat serius.

Tambahnya, mahkamah syariah adalah pihak yang memiliki kuasa untuk menentukan sama ada lafaz cerai tersebut sah atau tidak.

"Walaupun ia menjadi satu kesalahan, tetap juga perlu dibuat pengesahan. Pihak yang menentukan sabit ataupun tidak adalah mahkamah syariah," jelasnya.

Beza antara lafaz soreh dan lafaz kinayah

Fatimah turut menjelaskan perbezaan antara lafaz soreh dan lafaz kinayah dalam komunikasi seperti melalui teks atau media sosial.

Lafaz soreh adalah lafaz yang jelas seperti 'aku ceraikan kau'. Lafaz ini menunjukkan niat yang terang dan tidak samar, sekali gus memudahkan proses pengesahan cerai di mahkamah.

Manakala lafaz kinayah ialah lafaz yangkabur dan lebih bersifat kiasan, seperti 'baliklah rumah mak kau, aku dah tak nak tengok muka kau sampai bila-bila'.

Lafaz seperti ini memerlukan penilaian lebih mendalam oleh mahkamah untuk menentukan niat sebenar suami.

"Lafaz kinayah ni macam suami halau isteri kerana tak mahu tengok mukanya lagi. Jatuh ataupun tak, bergantung kepada niat suami," ujarnya.

Ini bermakna, jika lafaz tersebut kabur atau tidak jelas, mahkamah akan menyiasat niat sebenar suami pada masa lafaz tersebut dibuat.

couple-separation

Bagi pasangan, adalah baik untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka melalui kaedah yang sah dan diiktiraf oleh hukum. — Gambar hiasan/Freepik

Pengesahan mahkamah

Mahkamah akan menilai sama ada suami membuat lafaz cerai dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan. Selain niat, mahkamah syariah akan menilai beberapa faktor lain dalam menentukan sah atau tidak cerai tersebut.

Kata Fatimah, mahkamah syariah adalah pihak yang berbidang kuasa untuk menentukan sabit ataupun tidak.

"Kita mesti kenal pasti apakah benarkah suami ada lafazkan, dibuat dalam keadaan waras atau ada paksaan daripada mana-mana pihak," kata Fatimah.

Tegasnya, pihak ketiga termasuk orang lain selain isteri, juga boleh mempengaruhi keputusan tersebut.

Justeru, setiap lafaz cerai perlu dijalankan dengan penuh ketelitian dan mengikut prosedur yang sah di sisi hukum syariah.

Bagi pasangan, adalah lebih baik untuk menyelesaikan masalah rumah tangga melalui kaedah yang sah dan diiktiraf oleh hukum, bukannya mengambil jalan pintas melalui aplikasi media sosial yang tidak menepati ketetapan undang-undang syariah.

Lafaz cerai melalui media sosial atau teks memerlukan pengesahan lanjut oleh mahkamah syariah untuk menentuan sah atau tidaknya perceraian tersebut.

Tindakan melafazkan cerai di luar mahkamah, khususnya melalui platform digital tidak boleh dianggap remeh kerana ia boleh mengelirukan dan menimbulkan masalah dalam pengurusan perceraian di kemudian hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram