
SUDAH menjadi kelaziman watak utama hero dan heroin sesebuah filem menjadi tumpuan penonton di pawagam.
Dilabel sebagai nadi dan daya tarikan penonton, pemilihan artis bagi membintangi watak berkenaan dikatakan antara penyumbang utama kutipan filem di layar perak.
Satu ketika dahulu, penampilan nama-nama besar seperti Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Awie kerap kali berjaya membantu mencatatkan kutipan tinggi di pawagam hasil populariti dan bakat dimiliki.
BACA LAGI: SIAR: Tinggal memori, taman tema Mimaland sempat jadi lokasi penggambaran 3 filem retro era 90-an
Namun, usah dilupakan bahawa watak antagonis dan penjahat juga memainkan peranan cukup penting dalam sesebuah naskhah.
Merupakan penyumbang terbesar yang berupaya mempengaruhi emosi serta kemarahan penonton, Allahyarham Rafizi Yahya atau lebih dikenali sebagai Izi Yahya merupakan antara pelopor watak penjahat zaman retro negara.
Cukup dramatis dan versatil dalam membawa peranan tersebut, lakonannya kekal dikenang sebagai 'antagonis sejati' oleh peminat filem tanah air.
Berikut Majoriti senaraikan tiga buah filem lakonannya yang kekal malar segar hingga ke hari ini.
1. Ali Setan (1985)
Membawakan watak sebagai Jeff, Izi berperanan sebagai antagonis dalam filem Ali Setan dan Ali Setan 2.
Terpalit dalam kisah cinta tiga segi antara Ali lakonan Azmil Mustapha dan Asmidar (Ogy Ahmad Daud), Izi mencuri tumpuan apabila mengekalkan gaya lelaki budiman biarpun sebagai watak jahat.
Sentiasa berpakaian kemas dan berpenampilan menarik, gandingan trio otai itu jelas menampilkan kualiti perfileman tanah air satu ketika dahulu.
'Aku sudah menduga lelaki itu kekasih baru mu' merupakan antara bait-bait dialog kekal dalam ingatan penonton hari ini.
2. Balik Kampung (1986)
Filem arahan Zainal Othman itu sekali lagi mengangkat Izi Yahya selaku pelakon antagonis terbilang negara.
Manakan tidak, biarpun memegang watak penjahat, prinsipnya masih berpegang teguh kepada lelaki budiman yang tidak mengasari wanita.
Memegang watak Johari, filem diterbitkan pada 1986 itu menampilkan ramai aktor berpengalaman seperti Imuda, Noreen Noor, Liza Abdullah dan ramai lagi.
3. Embun (2002)
Tampil berbeza berbanding dua filem di atas, Allahyarham menerusi filem Embun (2002) mengambil langkah berani keluar daripada zon selesanya apabila lebih agresif menjayakan watak sebagai Leftenan Akishi.
Merupakan seorang pegawai tentera Jepun yang tidak berperikemanusiaan dan tiada hati perut, penglibatannya dalam naskhah itu nyata mengundang kemarahan ramai dek kekejaman ditonjolkan melalui watak tersebut.
Ditambah pula dengan raut wajahnya yang ada iras-iras seperti warga negara Jepun, ia sekali gus memupuk rasa benci penonton terhadap penjajah yang pernah merampas tanah Melayu satu ketika dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram