Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju EBC


Nur Hamizah ketika mendaki di Annapurna Base Camp.

SAKIT sedikit sahaja pastinya membuatkan kita berasa sudah malas untuk melakukan aktiviti ekstrem seperti mendaki gunung.

Apatah lagi, apabila 'hiking' perlu melibatkan cabaran fizikal dan mental beserta risiko tertentu untuk membolehkan seseorang sampai ke puncak.

Bagaimanapun, seorang pendaki, Nur Hamizah Md Shaeb tidak patah semangat untuk meneruskan hobi 'mahal' itu meskipun pernah mengalami retak pada bahagian tulang belakang.

photo_6300692194482306490_y

Hamizah (kiri) dan suaminya, Iwan Harianto (kanan) sewaktu mendaki di Indonesia.

Mengimbau tragedi itu, Hamizah berkata, kejadian itu berlaku pada Mei 2023 selepas dia baru sahaja selesai menghabiskan misi pendakian di East Java, Indonesia.

"Kereta yang kami naiki dilanggar lari oleh sebuah lori waktu di Surabaya, sampaikan anak saya tercampak ke luar kenderaan. Mulut suami saya pula koyak.

"Saya cedera di bahagian alis mata, dalam mulut dan bahagian tulang belakang sakit sangat waktu itu," katanya kepada Majoriti.

Sewaktu itu, ibu kepada seorang anak itu terpaksa menerima sebanyak empat jahitan di alis mata, selain terpaksa keluar wad awal dari tempoh yang sepatutnya demi menjaga anak dan suaminya.

photo_6300543442584976432_x

Hamizah mendaki Gunung Kinabalu sebulan selepas alami kecederaan.

Bagaimanapun, dalam tempoh kira-kira sebulan selepas insiden berkenaan, Hamizah tetap bersemangat untuk terus tawan Gunung Kinabalu walaupun masih dalam proses pemulihan dari kecederaan yang dialami.

"Doktor beritahu saya patut berlatih gerakkan tubuh. Jadinya saya teruskan dengan misi pendakian untuk aktifkan badan," katanya.

Lebih menakjubkan, beberapa bulan selepas itu, Hamizah juga berjaya tawan ke puncak Annapurna Base Camp dengan ketinggian kira-kira 4,130 meter.

Mampu menjejakkan kaki ke pergunungan itu pastinya satu hal yang luar biasa memandangkan jarang orang Malaysia mampu menawan sehingga ke puncak dengan jayanya.

photo_6300543442584976395_x

Hamizah sewaktu mendaki di Gunung Merbabu, Indonesia.

Ini kerana, keadaan iklimnya yang dalam cuaca sejuk dengan ketinggian sebegitu boleh menyebabkan masalah kekurangan oksigen.

Pada ketinggian itu, tekanan udara menjadi lebih rendah yang membawa makna terdapat kurang oksigen berbanding di permukaan laut.

"5 hingga 6 bulan selepas kemalangan saya masih bergantung ubat-ubatan untuk redakan sakit. Saya pun tidak boleh bawa beg galas.

"Tetapi setakat ini saya dapat survive waktu winter di ABC. Apabila musim sejuk akan bagi kesan dekat oksigen kita.

"Tubuh akan jadi rasa lebih sejuk yang disebut sebagai acute mountain sickness (AMS).

"Jika kita berada melebihi 3000 meter MDPL, kita boleh senang untuk kena AMS tu.

"Tetapi sebabkan saya bekas nutritionist jadi ada sesetengah pemakanan, ubat yang saya tahu kena ambil sebagai langkah pencegahan," katanya.

Selepas berjaya ke puncak ABC dengan mengambil masa selama lima hari, Hamizah menggunakan Trans Annapurna Base Camp (Trans ABC) untuk ke laluan trek Mardi Himal.

Trans ABC biasanya merujuk kepada trek yang menghubungkan Annapurna Base Camp dengan kawasan lain di sekitar Annapurna.

"Biasa orang lain pergi ke ABC ambil masa enam hari tetapi kami hanya ambil masa lima hari sahaja.

"Kami (dia dan pendaki yang lain) sambung ke Mardi Himal lebih kurang dalam dua hari selepas ke ABC," katanya.

Mengulas soal perkembangan semasa, anak jati Johor itu berkata, dia bakal ke Silipat, Thailand pada 28 hingga 29 September ini diikut dengan Gunung Raung paa 23 hingga 27 Oktober depan.

Lebih mencabar, Hamizah juga akan mengikuti ekspedisi ke Everest Base Camp pada 30 November hingga 13 Disember depan.

"Saya tahu ketahanan badan jadinya saya mahu mencuba untuk daki ke Everest pula," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram