BERDEPAN cuaca mencabar dan perjalanan yang penuh liku ranjau bukanlah perkara yang melemahkan semangat pemuda bernama Logheswaran a/l Chinnatamby untuk terus menawan puncak-puncak gunung idamannya.
Semuanya bermula dari cintanya terhadap alam semula jadi dan rasa ingin tahu yang mendalam terhadap keindahan panorama di ketinggian mencecah 4,095 meter dari aras laut, Loghess menghabiskan masa 10 tahun dengan menurunkan berat badannya dari 110 kilogram (kg) ke 50kg dalam persiapannya untuk menakluki puncak Gunung Kinabalu, Sabah.
Setakat ini, pemuda berusia 31 tahun tersebut telah dua kali meninggalkan jejak di puncak gunung keempat tertinggi Asia Tenggara tersebut dengan pengalaman pertama berlaku pada tahun 2020 dan kedua berlaku pada tahun 2022.
Selain daripada Gunung Kinabalu, Loghes turut menghabiskan empat hari dan tiga malam bagi melengkapkan perjalanan sejauh 63 kilometer demi tiba di gunung tertinggi di Semenanjung iaitu Gunung Tahan, Pahang.
"Pendakian pertama saya adalah di Bukit Jugra, Banting, Selangor pada tahun 2010. Ketika itu, berat saya adalah 110kg, saya rasa sangat mengah dan penat. Ketika itu, saya sudah serik hendak mendaki mana-mana bukit lagi.
"Tapi pada satu hari, pak cik saya berkongsi cerita tentang keindahan panorama Gunung Kinabalu. Ceritanya membuatkan perasaan ingin tahu saya membuak-buak kerana saya memang seorang yang sukakan keindahan alam semesta. Saya perlu daki untuk lihat sendiri keindahan tersebut.
"Tapi, halangan saya adalah berat badan saya. Jadi, saya perlahan-lahan bina stamina dengan menurunkan berat badan dan daki pelbagai bukit bersama saudara dan kawan. Saya sangat bersyukur kerana memiliki sistem sokongan yang kuat dan percaya saya mampu lakukannya.
Lohes (kanan) ketika berat badannya mencecah 110kg pada tahun 2008. — Majoriti
"Akhirnya pada tahun 2020, saya berpeluang ke Sabah untuk mendaki Gunung Kinabalu buat kali pertama. Ketika mendaki Gunung Kinabalu, kita boleh lihat tumbuh-tumbuhan berubah daripada hutan tebal yang banyak pokok kepada kawasan yang lebih kecil jumlah tumbuh-tumbuhannya, terutama semasa kami semakin hampir dengan kem pangkalan Panalaban.
"Sepanjang perjalanan, kicauan burung sangat mesra menyapai kami dan tupai turut datang menghampiri kami. Saya terpukau dengan awan kapas. Meskipun begitu, saya tidak begitu berseronok kerana saya terkejar-kejar untuk sampai ke atas.
"Pengalaman kedua mendaki Gunung Kinabalu adalah momen terbaik dalam hidup saya. Cuaca ketika itu di bawah 1 darjah Celcius. Saya dipersembahkan dengan berjuta-juta bintang di langit pada tengah malam, "katanya kepada Majoriti.
Bintang-bintang menghiasi langit Gunung Kinabalu, Sabah yang dirakam lensa Loghes. — Majoriti
"Tidak cukup sekadar mendaki, pemuda dari Seri Kembangan, Selangor itu turut mendokumentasikan setiap babak pendakiannya dalam bentuk gambar dan video untuk dimuatnaikkan ke media sosial sebagai tontonan umum.
Loghes berharap perkongsiannya dapat membuka mata ramai orang tentang keindahan alam semesta terutama kepada mereka yang tidak dapat mendaki atas sebab-sebab tertentu.
"Kita kaya dengan biodiversiti. Saya tidak tahu berapa ramai yang sedar bahawa semut terbesar boleh ditemui di negara kita dan pelancong dari negara lain datang untuk melihat semut-semut itu.
"Kita juga ada bunga terbesar di dunia, kita ada hutan berlumut, kita ada Jurassic Park of Sarawak. Di Taman Negara Pahang, banyak tumbuhan dan haiwan yang bercahaya dalam gelap.
"Saya suka pergi mendaki ke tempat-tempat yang tidak terkenal dan kongsinya di media sosial. Selalunya akan ada orang tanya saya lokasi tersebut, termasuklah pelancong luar.
"Saya akan berkongsi lokasi dengan harapan dapat memperkenalkan lokasi-lokasi pendakian yang sebelum ini kurang mendapat perhatian daripada umum.
"Impian saya semestinya mendaki Gunung Everest. Jika saya dapat penaja, saya akan jadikan pendakian sebagai profesion sepenuh masa," katanya.
Loghes (kanan, berjambang) bersama-sama rakan-rakan pendaki di puncak Gunung Tahan, Pahang. — Majoriti
Bagi mereka yang berhajat untuk memulakan minat mendaki, Loghes kongsi tip berdasarkan pengalamannya sebagai pendaki selama lapan tahun.
1. Stamina sangat penting
Buat persediaan untuk tingkatkan tahap kecergasan anda sekurang-kurangnya seminggu sebelum pergi mendaki dengan melakukan senaman di rumah.
Pergilah berjoging atau buat latihan naik tangga untuk melatih sistem badan kita agar bersedia untuk mendaki. Hei! Loghes sahaja sanggup turunkan berat badan dan mendaki gunung dan bukit setiap minggu sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
2. Buat persediaan awal agar proses pendakian berjalan lancar
Gara-gara tidak membuat persediaan rapi, Loghes pernah menghadapi situasi sukar pada hari pertama dia dan rakan pendaki lain mendaki Gunung Tahan, Pahang.
Hujan lebat yang turun pada ketika itu menyebabkan kem mereka dinaiki air dan mereka terpaksa tidur dalam keadaan duduk. Insiden tersebut mengajar Loghes tentang kepentingan kualiti peralatan yang baik. Jadi, Loghes sediakan senarai siap-siap buat pembaca semua!
Peralatan asas mendaki: Kasut mendaki, beberapa helai kemeja-T, beg mendaki, lampu kepala, pemetik api, wisel, air minuman, tongkat mendaki, kit pertolongan pertama asas, selimut kecemasan.
Peralatan jika berkhemah: Khemah kalis air, tikar, dapur gas mudah alih, peralatan mandian, stokin, beg tidur, barangan memasak, ubat-ubatan kerusi perkhemahan, lampu suluh dan jadual harian.
Peralatan jika bercadang singgah ke kawasan air terjun: Jaket keselamatan, pakaian mandi, tali keselamatan, beg sampah kecil, makanan/kudapan, cangkuk/carabiner, kasut kalis air, pakaian tambahan, penghalau serangga semula jadi dan tuala cepat kering mikrofiber.
3. Cari kumpulan untuk mendaki bersama.
Jangan sekali-kali cuba mendaki secara solo tanpa sebarang pengalaman, bawa orang yang berpengalaman atau menyertai kumpulan pendaki. Antaranya kumpulan yang popular di media sosial adalah:
a. MOA (Malaysian Outdoor Adventure)
b. OHANA ADVENTURE
c. TLA (TIME-LAPSE ADVENTURE)
d. H.A.R.A.M (hiking and recreation around Malaysia)
e. GUNUNG HUB
4. Nikmati keindahan alam dan jaga kebersihannya.
Sewaktu mendaki, nikmatilah perjalanan itu tanpa perlu tergopoh-gapah untuk ke puncak.
Loghes dan rakan-rakan selalu mula mendaki pada hari Sabtu dan akan turun ke air terjun pada pagi Ahad untuk menyegarkan diri.
Pesannya, di samping kita terpegun dengan kecantikan alam, jangan pula cemarkannya dengan membuang sampah merata-rata. Sila bertanggungjawab dan bawa sampah pulang bersama anda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram