KEHADIRAN wanita muda berkaliber dapat menerajui negara pada masa akan datang. Sehubungan itu, bagi melahirkan generasi berkualiti, pendidikan adalah elemen terpenting.
Pendidikan tidak formal dan formal wajar diterapkan untuk melatih pemimpin muda ini mahir dalam pelbagai aspek termasuk komunikasi. Ini kerana pendidikan dapat meningkatkan pengetahuan dan sensitiviti dalam membuat polisi, perancangan dan pelaksanaan dasar sebagai pembuat keputusan.
Hal tersebut diakui Pengasas bersama dan Presiden Global, Projek Girls Fors Girl (G4G), Izzana Salleh, 37, tentang pentingnya pendidikan terhadap wanita muda.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Panggil semua pemain keluar', apa Aleksandar Cvetkovic buat bikin fans Sri Pahang terharu
BACA LAGI: Lenjan KDN 7 gol tanpa balas, fans samakan Perak persis Liverpool
Izzana berpendapat, pendidikan adalah tunjang utama memupuk wanita muda lebih berdaya saing dalam berfikir selain bijak menghadapi cabaran hidup.
Tegasnya, generasi wanita muda berpendidikan juga mampu memainkan peranan penting sebagai pencetus transformasi kehidupan budaya dan ekonomi.
“Wanita muda lengkap dengan ilmu pendidikan dapat membuat keputusan sebagai pemimpin cekap," katanya.
Izzana atau nama sebenarnya, Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohd Salleh bertegas, ilmu dan pendidikan juga dilihat sebagai senjata untuk membantu wanita berdiri atas kaki sendiri.
Berbekalkan pendidikan, wanita muda berupaya lebih berketerampilan dan berani merebut peluang untuk mengasah bakat demi kemajuan diri.
“Saya percaya, menerusi pendidikan dapat melatih corak pemikiran yang dinamik. Pendidikan ibarat aset bernilai dan perlu dipelajari sepanjang hidup. Ilmu digenggam membantu aturan dan kecemerlangan hidup,” kongsinya.
Pengasas bersama dan Presiden Global, Projek Girls Fors Girl (G4G), Izzana Salleh.
Perubahan
Graduan Sarjana Pentadbiran Awam, Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) itu berpendapat, pendidikan dikuasai wanita juga boleh dijadikan sebagai perisai diri mendepani aturan dan kecemerlangan hidup.
Izzana melihat kuasa pendidikan boleh mengubah kehidupan wanita muda.
Jelasnya, jumlah pendidikan wanita di negara ini juga lebih ramai berbanding lelaki memberi markah bonus untuk golongan Hawa menampilkan karakter pemimpin baik di tempat kerja, universiti mahupun di rumah.
“Kehadiran wanita bukan untuk mengambil tugas atau tanggungjawab lelaki. Tetapi peranan mereka seharusnya diberikan kedudukan setimpal.
“Amat menyedihkan apabila melihat segelintir wanita berkelayakan, memiliki kemahiran dan bijak, tetapi tidak diberikan peluang untuk menggunakan kelebihan itu,” ujarnya sudah memperjuangkan hak dan kedudukan wanita sejak dua dekad lalu.
Izzana yang juga graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Imperial College Business School, London, England itu berpendapat, untuk membolehkan wanita muda memperoleh kedudukan sebagai pemimpin mereka perlu merebut peluang yang diberikan.
Justeru, untuk lebih menyerlahkan sebagai ketua atau pemimpin, mereka perlu bekerja lebih keras.
Izzana menerima anugerah Malaysia Top 30 Women of Excellence 2024 atas kecemerlangan beliau melaksanakan projek G4G.
Menyerlah
“Pada masa sama, wanita perlu fokus kepada gandaan kualiti dimiliki. Mereka perlu memperkasakan diri dengan ilmu dari sudut kemahiran untuk menjadi pemimpin berkaliber.
“Kerjasama dan sokongan wanita juga perlu penting agar bakat dan keupayaan generasi muda dapat diketengahkan,” katanya.
Sehubungan itu, menerusi badan NGO, G4G yang ditubuhkan pada 2017, ketika menuntut di Harvard Universiti, pelbagai program diadakan bertujuan memperkasakan wanita muda di seluruh dunia.
Katanya, sedekad lalu, anak muda terutamanya wanita di seluruh dunia mengalami beberapa cabaran untuk maju antaranya berdepan diskriminasi gender dan kurang pendedahan dan latihan memperkasakan wanita.
Isu tersebut mendorong Izzana bersama rakan-rakannya menubuhkan G4G.
“Kini, program dikendalikan G4G sudah menjenguk 33 negara membabitkan penyertaan 1,000 wanita muda dan kami turut melahirkan mentor seramai 1,500 di peringkat global,” jelasnya.
Di peringkat kebangsaan, program G4G membekalkan wanita muda dengan keberanian, visi dan kemahiran diperlukan untuk menerajui kepimpinan awam.
Halangan
Ditanya faktor utama yang dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan dalam kepimpinan, katanya dua perkara itu sistem dan budaya.
Jelasnya di negara ini sistem kerja fleksibel masih baharu dan sukar untuk diterapkan untuk keseimbangan wanita dalam sektor pekerjaan.
“Selain itu, wanita bekerja tidak seperti lelaki. Mereka sentiasa terikat dengan beban dan tanggungjawab baik di tempat kerja mahupun di rumah.
“Halangan kedua ialah budaya yang menjadi amalan iaitu wanita terpaksa mengorbankan kemahiran kerana tiada sokongan dalam kerjaya,” tegasnya.
Semangat
Menyentuh penglibatan beliau yang aktif memperjuangkan hak wanita terutamanya generasi muda, minat itu sedikit sebanyak didorong oleh persekitaran.
Wanita jelita itu berkata, nilai kepimpinan turut didorong oleh prinsip moral dan pegangannya.
“Nilai kemanusiaan perlu diambil kira, Kecemerlangan diri perlu dinilai dalam pelbagai aspek bagi melahirkan model insan seimbang,” ujarnya.
“Untuk membolehkan generasi muda wanita sebagai pemimpin mereka perlu merebut peluang sedia ada.
Bagi dirinya, keberanian berdepan dengan cabaran dapat memupuk individu berwawasan dan berfikiran kritis. Ujar beliau, peluang tidak akan datang bergolek dan wanita perlu merebut peluang yang ada tanpa ragu-ragu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram