DALAM tempoh kira-kira lebih sedekad lalu, industri penerbitan negara dilihat melalui fasa perubahan yang menyaksikan kemunculan banyak rumah penerbitan baharu.
Jika sebelum ini ia didominasi oleh beberapa syarikat penerbitan yang telah lama bertapak, kini semakin ramai pemain baharu muncul dengan idea segar dan pendekatan inovatif.
Pendatang baharu dalam dunia penerbitan bukan sahaja membawa nafas baru kepada industri, malah mencabar cara konvensional penerbitan dengan strategi pemasaran dan penawaran lebih unik sekali gus mewarnai dunia penerbitan lokal.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Dalam tempoh tersebut, antara berjaya menarik perhatian adalah IMAN Publication Sdn Bhd (IMAN Publication), rumah penerbitan tempatan yang memberikan tumpuan terhadap buku Islamik, motivasi dan pembangunan diri atau self-help.
Di sebalik usianya baru mencecah sedekad, ia sama sekali tidak menghalang syarikat itu bagi mencabar dominasi penerbitan buku umum yang sebelum ini didominasi oleh beberapa syarikat yang sudah bertapak lebih 40 tahun.
Ini terbukti apabila buat pertama kalinya pada tahun lalu, IMAN Publication berjaya mencapai jumlah jualan mencecah sejuta naskhah.
Rekod terbabit boleh dianggap satu pencapaian cukup membanggakan apatah lagi di Malaysia yang mana amalan membaca masyarakatnya disifatkan masih mencapai kematangan seperti negara maju lain.
IMAN Publication diasaskan pada 2013. — IMAN Media Group
Teraju di sebalik kejayaan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif IMAN Media Group, Fatin Syamimy Liana Badaruddin.
Ditubuhkan pada 2012 oleh Dr Nur Aisya Zainordin yang juga seorang doktor perubatan, IMAN Publication pada awalnya dibangunkan bagi mengisi kekosongan penawaran buku spiritual dan motivasi kontemporari berunsur Islam yang ketika itu dilihat banyak didominasi penerbit dari luar negara termasuk Indonesia.
Bagaimanapun, bermula daripada situ, kandungan ditawarkan kemudiannya berkembang merangkumi genre bukan fiksyen seperti novel, buku kanak-kanak dan komik.
Berkongsi kepada Majoriti, Fatin berkata, sejak beberapa tahun lalu, trend pembacaan menyaksikan novel mula mendapat sambutan tinggi daripada pembaca khususnya golongan muda.
Menurutnya, perkembangan itu berkemungkinan disumbangkan beberapa faktor utama antaranya termasuk populariti TikTok sebagai platform pemasaran tidak langsung dalam memperkenalkan buku diterbitkan.
"Kita tahu TikTok ini banyak pengguna muda, pelajar sekolah menengah sehingga universiti.
"Jadi, ramai daripada mereka ini tahu buku kita daripada ulasan atau perkongsian video yang dibuat dibuat. Ada satu buku kami yang menjadi sensasi di TikTok iaitu novel Bahasa Inggeris, Will You Stay? tulisan Norhafsah Hamid," ujarnya.
"Fokus terhadap novel ini sebenarnya kami sudah mulakan sekitar dua tahun yang lalu. Sejak itu, kami melihat perkembangan yang sangat positif.
"Kami juga berjaya menarik lebih ramai pembaca baharu, terutamanya golongan muda berusia sekitar 15 hingga 25 tahun."
Buat masa ini, Fatin berkata, IMAN Publication sudah mengeluarkan sebanyak kira-kira 200 tajuk buku dengan sekitar 30 hingga 40 daripadanya adalah merupakan novel.
Ujarnya, pada tahun lalu, terdapat dua novelnya yang mendapat jualan mencapai lebih 100,000 naskhah iaitu Bayang Sofea tulisan Teme Abdullah yang diterbitkan pada 2024 dan Will You Stay? (2021).
Sementara itu, bagi mengembangkan lagi kandungan novel dihasilkan, Fatin berkata, mereka turut melancarkan imprin atau label baharu di bawah IMAN Publication iaitu Rumaa Books yang akan khusus menerbitkan novel bermula pada tahun ini.
Kekal nilai cuba ditonjolkan
Senarai buku terbitan IMAN Publication pada tahun lalu. — Iman Publication
Mengulas mengenai bentuk novel diketengahkan syarikatnya, Fatin berkata, IMAN Publication masih tidak lari daripada nilai yang ingin dibawa sejak awal penubuhannya.
"Fokus utama kami adalah membawa nilai yang membantu pembaca menjadi insan yang lebih baik, sama ada dalam bentuk Islamik, self-help, atau motivasi.
"Dari segi genre, kebanyakan novel yang kami terbitkan berkonsepkan slice of life, iaitu kehidupan seharian.
"Dalam setiap novel, kami memastikan karakter mengalami perubahan perkembangan watak. Sebagai contoh, jika pada permulaan cerita watak utama marah kepada ibunya, tapi pada akhirnya dia mungkin belajar untuk memaafkan.
"Elemen ini penting agar pembaca dapat merasakan hubungan lebih dekat dan 'relatable' dengan kisah yang disampaikan," katanya yang mengakui bahawa trend pembaca di Malaysia sentiasa berubah daripada semasa ke semasa.
"Kalau sekarang daripada segi penerimaan dan trend memang begitu. Tapi di IMAN Publication, kami akan terus menerbitkan novel dan juga buku non-fiksyen kerana kami sedar setiap genre mempunyai khalayaknya tersendiri," ujarnya.
Daripada graduan kejuruteraan ke CEO rumah penerbitan
Berkongsi kisah penglibatannya bersama IMAN Publication, Fatin yang merupakan graduan kejuruteraan kini daripada University of Leeds, United Kingdom (UK) berkata, dia sudah mengenali Dr Nur Aisya ketika masih sedang melanjutkan pengajian di luar negara.
Disebabkan itu, sebaik pulang ke Malaysia pada 2013, dia yang sememangnya mempunyai minat terhadap buku tidak berfikir panjang untuk membantu secara sambilan operasi penerbitan buku terbabit sementara menunggu panggilan kerja.
Pengasas IMAN Publication, Dr Nur Aisya Zainordin. — Dr Nur Aisya Zainordin
"Pada awalnya, saya ingat hanya menyertai untuk sementara, ketika menunggu peluang kerja dalam bidang kejuruteraan. Namun, selepas bersama terlibat, saya mula seronok ini kerana ia berkaitan dengan benda yang saya minat iaitu buku.
"Selain itu, saya juga seronok kerana dapat membangunkan sesuatu dari awal. Mungkin di situlah jiwa seorang jurutera terserlah sebab dalam bidang kejuruteraan, kita membina sesuatu. Jadi, di IMAN, daripada membina mesin, saya membina pasukan yang menerbitkan buku, iaitu sesuatu perkara yang saya minat," kongsinya yang juga anak ketiga daripada lima beradik.
Selepas tiga tahun bersama IMAN Publication, Fatin yang berasal dari Kajang, Selangor diangkat ke jawatan pengurus pada 2015 sebelum kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif setahun kemudian ketika usianya baru mencecah 26 tahun.
Dalam pada itu, untuk membantunya menambahkan lagi kemahiran dalam pengurusan perniagaan, Fatin turut melengkapkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaannya di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2022.
Teraju angkat IMAN Publication jadi penerbit utama tempatan
Sementara itu, Fatin berkata, IMAN Publication sentiasa menekankan kepentingan untuk menambah baik dan berkembang dalam operasinya.
"Daripada segi jualan pun kami akan sasar untuk capai lebih bagus daripada tahun lepas. Ini adalah sesuatu yang Dr. Aisyah dan saya sendiri terapkan bersama pasukan.
"Sebab itu kalau tanya bila jualan IMAN Publication paling tinggi untuk PABKL (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur), biasanya memang tahun sebelum ini.
"Ini kerana setiap tahun kita akan cuba cipta rekod. Jadi, culture of growth ini adalah sesuatu yang telah kami wujudkan di IMAN Publication sejak dari awal," katanya.
Fatin berjaya menyelesaikan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaannya di Putra Business School, UPM pada 2022. — IMAN Media Group
Pada masa sama, Fatin berkata, IMAN Publication juga sentiasa berusaha bagi memahami keperluan dan trend semasa pembacaan di Malaysia.
"Kami masih baru dalam industri ini, sekitar 10 tahun. Namun, dalam tempoh itu, kami dapat melihat bagaimana pilihan dan keutamaan pembaca berubah.
"Kami sentiasa berusaha untuk menangkap perubahan ini secara tepat pada masanya. Pendekatan kami adalah untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada satu genre yang menjadi cash cow atau best-selling genre, tetapi sentiasa mengumpulkan data dan menganalisis trend pasaran.
"Jika kami melihat sesuatu genre mula mendatar atau menurun, kami akan mencari puncanya dan menyesuaikan dengan strategi kami," katanya.
Dalam pada itu, Fatin turut mengakui bahawa sebagai penerbit, mereka turut berdepan cabaran antara mesej yang ingin disampaikan dan perubahan trend semasa.
"Sebagai penerbit, kami mempunyai mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca. Pada masa yang sama, kami juga perlu memahami realiti perniagaan—jika hanya menerbitkan apa yang kami mahu tanpa mengambil kira selera pembaca, buku tersebut mungkin tidak laku.
"Oleh itu, kami perlu mencari keseimbangan antara menyampaikan mesej yang baik dan memenuhi kehendak pelanggan. Atas sebab ini, kami juga meneroka pelbagai genre baharu.
"Sebagai contoh, kami memulakan penerbitan komik sejak tahun 2015. Kami menyedari bahawa setiap pembaca mempunyai keutamaan berbeza, jadi kami cuba memenuhi keperluan mereka mengikut minat masing-masing.
"Berbanding hanya menumpukan pada satu segmen pembaca, kami ingin memastikan lebih ramai orang dapat menikmati bahan bacaan sesuai dengan selera mereka, tanpa memaksa semua orang membaca satu jenis buku sahaja," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram