
PADA 2016, Sapinah Muhammad membuat keputusan menyewa sebuah tapak niaga jualan but kereta atau 'car boot sale' berharga RM25 yang dibuka ketika minggu kemasukan pelajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor.
Ketika itu, dia dan suaminya, Das Abdul masih tidak mempunyai sebarang idea mengenai barangan yang ingin dijual.
Ini kerana beberapa perniagaan dijalankan mereka antaranya menjual sate dan tudung di sekitar Parit Raja, Johor tidak memberikan hasil menjanjikan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Bagaimanapun, dua hari sebelum mereka mula berniaga di tapak berkenan, suaminya, yang juga bekas jurutera awam mendapat idea mengenai barang yang ingin dijual menerusi satu perkongsian di Facebook.
Hantaran berkenaan memberikan nasihat kepada mereka yang mahu menjadi usahawan agar memulakan perniagaan mereka dengan 'barangan yang berada di tangan'.
Secara kebetulan, apa yang berada di tangan suaminya yang ketika itu berada di rumah adalah bantal.
Idea tersebut kemudiannya dikongsikan kepada Sapinah yang tidak mengambil masa lama untuk bersetuju terhadap cadangan tersebut.
Bagaimanapun, ketika minggu jualan berkenaan, tapak niaga mereka tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.
Sapinah (kiri) bersama suaminya memulakan perniagaan Das Abdul pada 2016. — Das Abdul
Namun, di sebalik kesuraman tersebut, terdapat sedikit sinar diperolehi pasangan apabila seorang guru yang juga pemilik rumah inap membuat keputusan membeli bantal mereka dalam kuantiti agak banyak.
Ketika itu, jumlah jualan daripada pelanggan pertama mereka adalah sebanyak RM400.
Bermula daripada situ, jenama Das Abdul terus berkembang dengan kini jumlah jenis bantal pertama yang dijual pada harga RM38 sebiji di bawah syarikat tersebut mencecah lebih 2 juta pada 2023.
Malah, pelanggannya bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga dari luar negara termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.
Permulaan
Sebelum berhijrah ke Parit Raja sekitar 2010, Sapinah dan suaminya yang masing-masing berasal dari Tanah Merah dan Kota Bharu Kelantan terlebih dahulu mengusahakan perniagaan sebagai kontraktor di negeri kelahiran mereka.
Pada masa sama, suaminya turut mengusahakan resort dan pusat latihan milik keluarga.
Namun, kedua-dua perniagaan yang diusahakan pasangan itu berdepan musibah pada akibat banjir besar yang melanda kawasan Pantai Timur pada 2014.
Selepas gagal untuk memulihkan semula bisnes terbabit, dia dan suaminya mengambil keputusan untuk berpindah ke Parit Raja, iaitu tempat yang mana kedua-dua mereka menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan awam di UTHM.
Berkongsi kepada Majoriti, Sapinah berkata, ketika pertama kali mendengar idea untuk menjual bantal daripada suaminya, dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju.
"Sebabnya, sebelum ini kita memang urus resort dengan pusat latihan. Jadi kita memang dah kenal pengedar yang bekal barang. Jadi bila dia cakap macam itu saya pun rasa menarik dan suka dengan idea tersebut.
"Esoknya kami terus ke Kuala Lumpur untuk jumpa pengedar," katanya yang memaklumkan mereka memulakan perniagaan terbabit dengan modal sebanyak RM2,600.
Tanggungjawab sebagai isteri sama sekali tidak menjadi penghalang untuk Sapinah (kanan) membantu suaminya mengembangkan perniagaan mereka. — Das Abdul
Meskipun jualan di tapak jualan but kereta itu tidak memberangsangkan, Sapinah berkata, tanpa disangka bantalnya kemudian mendapat perhatian daripada kenalannya di Facebook.
Ini dibantu rangkaian pelanggan dibinanya di platform berkenaan ketika menjadi ejen jualan sebuah jenama minuman kesihatan ketika dia membuat keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa selepas melahirkan anak pertama pada 2013.
Ujarnya, sambutan menggalakkan yang diterima itu juga membuatkan mereka terpaksa membuka pra-tempahan kepada mereka yang mahu mendapatkan bantal jenamanya.
"Pratempahan bermula dengan 300 biji, kemudian naik 500 biji, sampai satu masa ada pelanggan kena tunggu sebulan sebelum dapat tempahan bantal mereka," kongsinya.
Menurut Sapinah, selepas itu, perniagaan syarikatnya berkembang dengan melibatkan ratusan ejen dengan jumlah jualan bantal mencecah 20,000 biji sebulan.
Azam bantu suami kembali bangkit
Sementara itu, Sapinah mengakui bahawa dia agak terkesan apabila melihat keperitan yang dihadapi suaminya selepas mengalami kegagalan dalam perniagaan pertama yang diusahakan.
"Saya dan suami ini memang datang daripada latar belakang keluarga berbeza sebab saya daripada keluarga biasa sementara suami saya pula datang daripada keluarga yang agak senang.
"Jadi, bila suami saya ini yang dah memang 'somebody' dan orang senang tiba-tiba jadi susah sampai kena jual di tapak car boot sale, saya memang tak sanggup tengok.
"Bila macam itu, saya terus terfikir macam mana jadi sekalipun, saya kena usaha bantu suami saya sampai dia jadi kaya semula. Jadi apa yang dia nak buat saya kena sokong," ujarnya yang berusia 39 tahun.
Sapinah (kanan) ketika menguruskan perniagaan bantal Das Abdul. — Das Abdul
Sementara itu, sebagai seorang wanita yang memiliki tanggungawab bersama keluarga dan perniagaan, Sapinah berkata, persefahaman antara suami isteri amat penting.
Ini kerana, dengan kesibukan menguruskan perniagaan, mereka harus bijak membahagikan tugasan khususnya dalam menguruskan keluarga.
Tambahan pula, jelasnya, dia dan suaminya langsung tidak menggunakan khidmat pembantu rumah ketika dalam proses mereka mengembangkan perniagaan Das Abdul.
"Kalau kita terlalu fokus kepada keluarga, nanti tidak ada orang yang bantu nak urus perniagaan. Nanti kita juga susah. Jadi sebagai pasangan kitalah yang kena berperanan.
"Mungkin kadang-kadang rumah tak terkemas tapi makan minum siap. Jadi kalau rumah tak kemas, mungkin suami boleh bantu. Bukan bila benda itu tak buat, kita paksa-paksa pasangan kita," ujarnya.
Ketika ini, Sapinah bertanggungjawab dalam menguruskan aspek pengurusan operasi termasuk pengurusan pekerja, pentadbiran kewangan dan pengeluaran Das Abdul manakala suaminya pula berperanan mengendalikan urusan jualan dan pemasaran.
Fokus jual bantal premium
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terbaharu Das Abdul, Sapinah berkata, bermula 2023, syarikatnya kini tidak menumpukan terhadap jualan bantal secara runcit termasuk di platform media sosial seperti TikTok.
Katanya, Das Abdul juga kini memberikan fokus bagi menjual bantal premium kepada pelanggan di samping bakal tampil melancarkan penjenamaan semula jenama tersebut bersempena sambutan ulang tahun kesembilan penubuhan syarikat itu pada Februari ini.
Ujarnya, perubahan yang akan dilakukan termasuk dengan memberi penekanan terhadap tawaran yang memfokuskan terhadap keperluan setiap pelanggannya.
"Sebab setiap orang keperluan jenis bantal mereka berbeza dan ada speciality masing-masing mengikut size dan bentuk badan mereka.
"Jadi perkara itu yang kita akan beri tumpuan untuk pastikan kepuasan pelanggan. Kita juga aktif di TikTok untuk didik pelanggan mengenai bantal apa yang sesuai untuk mereka," ujarnya.
Ketika ini, Sapinah berkata, Das Abdul menawarkan kira-kira 16 jenis bantal pada harga bermula RM90 hingga RM279.
Katanya, antara bantal jenamanya yang popular adalah yang diperbuat daripada bulu angsa atau lebih dikenali sebagai goose feather.
Katanya, dua bantal popular jenamanya adalah yang diperbuat daripada micofiber gel, dikenali sebagai iconix yang mana ia digunakan hotel yang bertaraf 5 bintang sementara bantal jenis shreded memory foam atau namanya “PLUS SIZE” pula adalah bagi individu berbadan besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram