![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/29/3142717.jpg)
DALAM beberapa tahun belakangan ini, konsep pekerjaan sebagai pempengaruh media sosial atau lebih dikenali sebagai influncer semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.
Daripada berkongsi pendapat peribadi sehingga menjadi profesional dengan ratusan ribu pengikut, pempengaruh media sosial menjadi satu fenomena.
Turut terkesan dengan fenomena tersebut adalah dunia perbukuan negara yang turut menyaksikan kewujudan ramai pempengaruh buku atau dikenali sebagai 'bookfluencer'.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Pempengaruh buku adalah individu menggunakan platform media sosial untuk berkongsi ulasan tentang bahan bacaan, membuat cadangan buku berdasarkan genre atau tema tertentu, dan termasuk mencipta komuniti pembaca dalam talian.
Antara pempengaruh yang mula membina tapak dalam dunia perbukuan ialah Siti Aisyah Saraji, 29, atau lebih dikenali menerusi akaun TikToknya, aishreadss.
Akaun TikTok Aish berkongsi kandungan ulasan buku.
Lebih mesra disapa Aish, perjalanan wanita asal Shah Alam, Selangor ini sebagai pempengaruh bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
"Jadi saya mula minat baca buku balik ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Masa itu semua orang duduk rumah dan tiada benda lain nak dibuat.
"Daripada situ saya turut buat kandungan TikTok yang memang tengah trend.
"Saya mulakan dengan jenis kandungan yang mudah iaitu lip-sync video yang popular waktu itu.
"Kita kaitkan dengan buku contohnya watak mengenai watak hero yang green flag. Jadi, kandungan macam itu senang nak pergi," kongsinya kepada Majoriti.
Peringkat awal, Aish berkata, dia lebih banyak mengulas buku novel genre romansa keluaran penerbitan tempatan.
Bermula daripada situ, pengikut Aish terus bertambah sehingga dia dilamar penerbit tempatan bagi membuat ulasan buku baharu yang dilancarkan di samping mempromosikan acara perbukuan bermula pada 2022.
Bekas eksekutif pemasaran ini berkata, kadar bayaran diterimanya peringkat awal untuk ulasan buku adalah sekitar RM80 hingga RM150.
"Untuk bantu promosikan kedai buku atau reruai ketika acara perbukuan pula, waktu itu saya dapat sekitar RM150.
"Bermula daripada situ, saya mula banyak buat kolaboratif dengan lebih banyak penerbit buku tempatan," ujarnya.
Pada waktu ini, Aish berkata, sebahagian besar pendapatannya sebagai pempengaruh diperoleh menerusi kandungan ulasan buku khususnya naskhah terbitan baharu.
Peringkat awal, Aish lebih banyak mengulas buku novel genre romansa keluaran penerbitan tempatan. — aishreadss
Ujarnya, meskipun bermula dengan genre novel, jenis naskhah yang diulasnya kini semakin meluas dan pelbagai.
"Walaupun saya fokus novel, tapi kalau ada penerbit minta untuk ulas selain daripada itu, saya terima juga.
"Selain dapat cuba lebih banyak, saya juga dapat luaskan pembacaan sendiri," ujarnya yang kini menerima bayaran sekitar RM300 hingga RM350 untuk sebuah buku.
Pada waktu ini, Aish berkata, dia lazimnya akan membuat ulasan satu hingga 3 buah buku dalam tempoh sebulan.
"Ulasan buku ini memang memerlukan tenaga kalau saya terima tawaran, biasanya saya memerlukan dua minggu maksimum untuk habiskan bacaan dan buat kandungan.
"Biasanya video yang dihasilkan berdurasi lebih kurang tiga minit," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, jumlah ulasan buku itu boleh meningkat lebih-lebih lagi ketika mendekati acara perbukuan besar tahunan seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur atau Pesta Buku Antarabangsa Selangor.
Ujarnya, ketika tempoh tersebut, dia sendiri pernah menyiapkan ulasan lima buah buku dalam tempoh dua minggu.
"Sebab kita nak kejarkan pesta buku, jadi kita habiskan apa yang kita mampu.
"Masa itu saya habiskan satu dalam dua hari. Jadi memang kena fokus," katanya yang kini bekerja sebagai pengacara siaran langsung bebas bagi sebuah syarikat penerbitan tempatan.
Menurut Aish, antara cabaran utama perlu dihadapi sebagai pempengaruh buku adalah bagaimana untuk memastikan interaksi tinggi daripada pengguna media sosial bagi kandungan dihasilkan.
Menurutnya, kadangkala, kandungan dihasilkan tidak mendapat capaian pengguna diharapkan, sekali gus memberi kesan tidak langsung terhadap jualan buku terbabit.
"Waktu mula-mula itu biasa memang agak kecewa apabila jadi macam itu.
"Tapi tugas sebagai pempengaruh buku ini sebenarnya adalah untuk bagi kesedaran dan pemasaran bagi buku yang diterbitkan.
"Jadi sebagai pempengaruh kita sepatutnya jangan kecewa sebab yang menentukan jualan itu laku tidak laku adalah penerbit," ujarnya.
Aish turut menjual sarung buku buatan tangan di bawah jenama Sarung buku aimbooked. — aimbooked
Sementara itu, Aish mengakui mengenai fenomena kewujudan semakin ramai pempengaruh buku yang aktif sekali gus meningkatkan tahap persaingan bagi penyediaan perkhidmatan tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang sihat dan tidak perlu dirisaukan.
"Macam saya sendiri dah merasa hampir bekerja dengan hampir semua penerbit tempatan. Jadi kalau macam tiba-tiba kita tak terima tawaran daripada setengah penerbit, saya macam tidak apa.
Sebab kita dah pernah bekerja dengan mereka, jadi mungkin ini adalah masa untuk orang lain pula. Beri peluang dekat orang lain.
"Apa yang kita boleh buat mungkin kita kena perbanyakan kandungan yang lebih baik," katanya.
Selain mengulas buku, Aish turut menjual aksesori buku seperti sarung buku buatan tangan di bawah jenama aimbooked secara dalam talian.
Sarung buku terbabit yang dijahit menggunakan tangan dijual pada harga antara RM30 hingga RM37 mengikut saiz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram