SIAR: 'Takkan Melayu hilang di dunia', M. Nasir, Jalaluddin Hassan antara 4 figura bergelar Hang Tuah


  • Hiburan
  • Selasa, 07 Jan 2025

M. Nasir ketika melakonkan watak sebagai Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang.

“TAKKAN Melayu hilang di dunia”. Demikian dialog popular dilontarkan dalam mana-mana filem Hang Tuah dipercayai dipetik daripada kisah benar pahlawan bersejarah itu.

Kewujudannya yang diragui banyak pihak, walau bagaimanapun menjadi buah fikiran pengkarya tanah air yang berusaha merealisasika ia melalui filem yang satu ketika dahulu menjadi fenomena.

Meskipun wajah sebenar Hang Tuah tidak dilampirkan dalam mana-mana artifak ataupun buku peninggalan sejarah, rujukan kajian terdahulu menggambarkan pahlawan itu sebagai seorang yang mahir dalam ilmu persilatan.

BACA LAGI: Haiwan disangka berkokok rupanya ular, Jalil Hamid dedah kisah terciptanya lagu Ayam

BACA LAGI: Akaun bank kena beku SPRM, Vivy Yusof syukur rezeki tak pernah putus, rakan siap hantar 'beef wellington'

Beberapa pelakon popular tempatan sebelum ini pernah diberikan mandat dan tanggungjawab memainkan peranan sebagai Hang Tuah.

1. Jamal Abdillah

Meskipun memulakan karier sebagai seorang penyanyi, peranan Datuk Jamal Abdillah di dunia perfileman tidak kurang hebatnya apabila pernah melakonkan watak sebagai Hang Tuah dalam filem Tuah (1988).

Diarahkan oleh Anwardi Jamil Sulong, Tuah turut dibintangi beberapa nama besar lain antaranya Erma Fatima, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, Allahyarham Zami Ismail dan Faizal Hussein.

Mengisahkan tentang Hang Tuah yang merentas masa ke zaman moden selepas lmelalui jalan misteri dalam sebuah gua, Tuah terperangkap di zaman moden yang nyata berbeza dari realiti sebenarnya.

Identitinya telah tersebar sehingga Tuah dicabar oleh beberapa pesilat yang mahu membuktikan beliau sebagai pembohong.

2. Jalaluddin Hassan

Peminat setia Datuk Jalaluddin Hassan pastinya tidak boleh melupakan momen di mana pelakon itu berperanan sebagai Hang Tuah dalam filem XX RAY II (1995).

Jalaluddin yang ketika itu digelar hero Malaya, membuktikan dirinya cukup berkarisma tinggi dan mampu memainkan watak sebagai pahlawan terulung tanah air tersebut.

Paling mencuri perhatian pastinya babak Hang Tuah memakai topi Batman yang kekal menjadi sinonim buat pelakon itu hingga ke hari ini.

Filem arahan Aziz M Osman itu cukup istimewa apabila menjadi satu-satunya filem Hang Tuah dengan elemen sains fiksyen yang sarat dengan kesan khas CGI sebagai kelainan filem pada tahun berkenaan.

3. P. Ramlee

Seniman negara, Allahyarham P. Ramlee merupakan pelakon pertama membintangi watak sebagai Hang Tuah pada 1956.

Malah, ia juga mencipta sejarah buat perfileman negara apabila menjadi filem Melayu pertama berwarna dihasilkan terbitan Shaw Brothers.

Melonjakkan industri filem tempatan ke tahap berbeza, karya arahan Allahyarhan Phani Majumdar itu turut mengangkat P. Ramlee sebagai Penggubah Muzik Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-3 pada 1956 di Hong Kong.

4. M. Nasir

Dilabel antara filem epik paling baik dan berkualiti dari segi kesan khas CGI dan runut bunyi, Puteri Gunung Ledang (2004) arahan Saw Teong Hin ini mencipta revolusi baharu dalam sejarah perfileman tempatan era moden.

Biarpun trend dan selera penonton ketika itu lebih terarah kepada filem bergenre komedi, Puteri Gunung Ledang tampil sisi berbeza apabila menaruhkan kisah sejarah sebagai tarikan masyarakat ke pawagam.

2166476

M. Nasir sebagai Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang (2004).

Pemilihan Datuk M. Nasir sebagai Hang Tuah cukup tepat apabila berjaya membawakan watak itu dengan cukup baik di samping gandingan hebat bersama Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Effendi.

Puteri Gunung Ledang telah memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara antaranya ialah Anugerah Pengarah Terbaik; Lakon Layar Terbaik; Skor Muzik Terbaik; Penataan Seni Terbaik dan Anugerah Khas Juri: Filem Inovatif dan Berinspirasi di Festival Filem Malaysia ke-18 pada 2005 selain Tiara Jaquelina juga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-50 pada 2005 di Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram