PEMINAT K-Pop tanah air menerima khabar gembira apabila penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, Rain, 42, disahkan bakal mengadakan konsert di Genting Highlands, Pahang pada 8 Februari kelak.
Hal itu diumumkan sendiri penyanyi tersebut baru-baru ini yang menurutnya, konsert tersebut bakal menjadi pengalaman sukar dilupakan buat peminatnya di Malaysia.
Konsert 'Still Raining' bakal menyaksikan Rain atau nama sebenarnya, Jung Ji-hoon menyampaikan beberapa lagunya sendiri dan nyanyian semula (cover) daripada artis popular lain seperti Bruno Mars, New Jeans dan lain-lain.
BACA LAGI: Populariti The Rock di Hollywood bagaikan 'rezeki terpijak', tewaskan 2 lagi penggusti hebat WWE
"Konsert ini adalah cara saya untuk berhubung semula dengan peminat dan mengimbau kembali kenangan terindah yang kami cipta bersama.
"Ia juga peluang untuk mencipta pengalaman baharu untuk kami meneroka muzik yang lebih menarik," katanya dalam satu kenyataan.
Mula berjinak dalam dunia muzik sejak 1998, sehingga kini Rain telah menghasilkan sebanyak tujuh album dan 28 buah lagu.
Namanya masyur di pentas antarabangsa menerusi album, It's Raining (2004) yang terjual lebih sejuta salinan di serata Asia.
Tiket konsert jelajah 'Still Raining' di Genting Highlands dijual pada harga RM398, RM598, RM798, RM998, serta RM1,298 dan dibuka secara eksklusif untuk ahli Gold Genting Rewards bermula Selasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram