OTAI masih berbisa. Demikian ungkapan boleh digambarkan buat penyampai radio berpengalaman, Jamal Jamaluddin, 61, yang sehingga kini suaranya masih berlegar di corong radio sejak lebih tiga dekad lalu.
Kali pertama menjejakkan kaki ke dunia penyampai radio pada 1986, bekas graduan jurusan Ijazah Sains Komputer Kolej Knox, Illinois, Amerika Syarikat itu menempa nama dalam industri ketika berkhidmat bersama radio Era FM.
Merupakan antara barisan penyampai terawal di Era FM, Jamal bersama beberapa lagi selebriti lain seperti Halim Othman, Faizal Ismail, Khairil Rashid dan Linda Onn antara penyumbang terbesar kepada populariti stesen radio berkenaan pada ketika itu.
BACA LAGI: Adam Corrie kongsi rasa berbaloi 3 tahun kena gam, sempat berguru dengan pendakwah
Pernah beberapa kali bertukar stesen radio, namun sokongan padu daripada peminat setianya sentiasa menjadi tulang belakang buat anak jati Negeri Sembilan itu untuk terus berkecimpung dalam bidang tersebut sehingga ke hari ini.
Jamal Jamaluddin merupakan antara penyampai radio berpengalaman tanah air.
Cukup arif dan berpengalaman sebagai penyampai radio, tahukah anda bahawa Jamal juga pernah bergelar seorang pelakon?
'Bagai bulan jatuh ke riba', minat mendalam terhadap filem Bollywood nyata menyebelahi pihaknya apabila secara tidak sengaja ditawarkan berlakon bersama pelakon pujaannya, Aishwarya Rai.
Ceritanya bermula apabila bekas ratu cantik dunia itu difahamkan berada di Malaysia bagi menjalani penggambaran filem Hum Kisise Kum Nahin pada 2001.
Jamal Jamaluddin dalam sebuah babak filem Bolywood, Hum Kisise Kum Nahin.
Merupakan peminat fanatik aktres jelita tersebut, Jamal kemudiannya bergegas ke set penggambarannya di sekitar Petaling Jaya, Selangor untuk melihat dengan matanya sendiri bintang popular Bollywood itu.
Bagaikan terpaku dengan kecantikan Aishwarya Rai, Jamal kemudiannya disapa dan ditawarkan berlakon oleh individu lelaki dipercayai salah seorang kru produksi filem berkenaan.
Diberikan watak tambahan sebagai seorang polis, Jamal dengan rela hatinya menerima pelawaan tersebut atas kesempatan dan peluang keemasan untuk berkongsi lensa kamera bersama barisan artis popular Bollywood seperti Amitabh Bachchan, Ajay Devgan, Aishwarya Rai dan Ajay Devgan.
@jamal23jordan Pengalaman berkongsi babak #filemhindi dengan #aishwaryarai #bollywoodstar #humkissisekumnahin #fyp ♬ Hum Kisise Kum Nahin (The Competition Medley) - Amit Sana & Abhijeet Sawant & Prajakta Shukre
Meskipun sekadar diberi bayaran RM100, kemunculannya dalam babak kurang seminit itu menjadi detik manis buat bapa kepada tiga orang anak itu yang nyata sukar dilupakan hingga ke hari ini.
Ia sekali gus menyaksikan Jamal merupakan satu-satunya penyampai radio tempatan bergelar pelakon Bollywood di samping aktres popular antarabangsa satu ketika dahulu.
Kini, penyampai yang terkenal dengan slogan 'Ganda 23' itu berkhidmat di stesen radio Kool 101 FM melalui segmen Cerita Malam Kita yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat pukul 8 malam.
Kekal dengan gaya penyampaian bersahaja yang cukup ikonik di telinga pendengar, penampilannya di konti radio sentiasa dinanti-nantikan peminat setianya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram