MERAIH populariti seawal usia tujuh tahun, Sweet Qismina, 27, mula dikenali menerusi drama siri Hikayat Putera Shazlan sekitar 2007.
Terkenal dengan karakter periang dan gadis remaja di kaca televisyen, peranannya sebagai Fasha menerusi drama tersebut kekal menjadi ingatan penonton hingga ke hari ini.
Namun, Sweet ataupun nama lengkapnya, Farhanna Qismina Supandi kini sudah pun melangkah ke alam dewasa dan lebih memilih dalam membawakan sesebuah watak di sebalik lensa kamera.
BACA LAGI: Soffi Jikan kini bertaraf Hollywood, berlakon siri popular Marco Polo di Netflix
Sweet (kanan) ketika membintangi drama siri Hikayat Putera Shazlan.
Akui dirinya banyak ditawarkan watak remaja satu ketika dahulu, namun isteri kepada pelakon, Adam Lee, 30, itu menganggap sudah tiba masanya untuk dia mencabar diri dengan peranan yang lebih matang.
"Saya rasa dah tiba masanya untuk cabar diri dengan bawa watak yang lebih dewasa, bukan lagi remaja ataupun gadis kolej yang macam sebelum ni, banyak sangat dah.
"Watak antagonis dan psiko saya belum dapat lagi, teringin juga nak berlakon peranan macam tu, kalau ada memang saya nak cuba.
"Setakat ni filem Babah memang dah ubah sisi saya sebagai pelakon, watak ni memang berat dan mencabar, alhamdulillah berjaya bawa dengan baik dan puas hati bila diberi skrip macam ni," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Sweet kerap menghiasi kaca televisyen menerusi watak gadis remaja yang secara umumnya dilihat cukup sinonim dengan identitinya.
Namun, penampilan terbaharunya dalam filem Babah sebagai pesakit Sindrom Guillain-Barre menjadi penanda aras baharu buat karier lakonannya selepas ini.
Terpaksa menurunkan berat badan hampir 10 kilogram demi menjayakan watak berkenaan, pengorbanan itu disifatkan berbaloi apabila karya arahan Mohd Shah Faizul itu meraih kutipan sebanyak RM6 juta dalam tempoh hampir tiga minggu tayangannya di Singapura. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram