SEIRING dengan kemajuan teknologi masa kini, industri muzik Korea Selatan bakal menjadi yang pertama menggunakan peranti pengecaman muka buat pengunjung di konsert.
Pendekatan itu dimulakan oleh sebuah syarikat muzik gergasi Korea Selatan, HYBE yang dilaporkan sedang mempersiapkan teknologi itu menjelang 2025 nanti.
Jelasnya, sistem 'Face Pass' akan diperkenalkan pada sesi bertemu peminat kumpulan muzik K-Pop, TWS yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 16 Februari kelak di Seoul, Korea Selatan.
BACA LAGI: Pentas 'hardcore' ke menara gading, vokalis Dead Graph buktikan pemuzik punk mampu genggam PhD
HYBE merupakan syarikat muzik gergasi di Korea Selatan.
Teknologi 'Face Pass' membolehkan pengunjung mengesahkan identiti mereka dan menikmati konsert menggunakan teknik pengecaman muka.
Ia sekali gus menggantikan sistem semakan ataupun pembelian tiket secara fizikal yang banyak terpalit isu 'ulat tiket' ataupun jualan secara haram di platform sosial sebelum ini.
Sistem itu menggunakan teknologi pengecaman muka dari syarikat Korea Selatan, Viva Republica dan Interpark Ticket.
Pada Ogos lalu, HYBE menandatangani memorandum persefahaman bersama Interpark dan Toss untuk membangunkan teknologi pengecaman muka.
Kumpulan K-Pop TWS terdiri daripada enam ahli.
Pengunjung '42:Club TWS' kelak boleh memilih untuk ikut serta atau keluar daripada Face Pass. Mereka yang telah berdaftar dengan perkhidmatan pengecaman muka hanya boleh membeli tiket melalui Tiket Interpark tanpa sebarang caj tambahan.
Pada hari persembahan, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan tersebut boleh masuk ke dalam venue hanya dengan berjalan melepasi kamera yang diletakkan di pintu masuk.
Namun, mereka yang memilih untuk tidak menggunakan pengecaman muka boleh mengikuti proses pengesahan secara manual di laluan masuk berasingan, di mana semakan pengenalan dan tiket akan dijalankan seperti biasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram