Meski tanpa vokalis tetap, kolaborasi Meet Uncle Hussain bersama Adi Sixth Sense tuai lagu khas buat bumi Palestin


  • Hiburan
  • Khamis, 19 Dis 2024

Gandingan terbaharu Meet Uncle Hussain bersama Adi Priyo menerusi Palung Terdalam semakin mendapat tempat di hati peminat.

PERNAH menjulang Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi Lagu Untukmu pada 2004, Meet Uncle Hussain (MUH) kekal relevan walaupun bergerak tanpa vokalis.

Jelas komposer dan pemain gitar utamanya, Taja, 45, dia menganggap ia sebagai kelainan dan identiti tersendiri dimiliki kugiran itu yang lebih gemar menjalin kerjasama dengan artis tempatan.

Ketiadaan vokalis menurutnya tetap tidak menghalang MUH untuk terus berkarya, sebaliknya ia membuka lebih peluang buatnya untuk menampilkan kelainan dalam setiap muzik dihasilkan.

BACA LAGI: Pelopor muzik 'death metal' Malaysia, Langsuir kongsi jampi perubatan zaman British dalam lirik lagu Engkar

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ganas pada lagu je', Uncure bongkar sisi sebenar muzik skinhead, balik 'show' siap dukung anak

"MUH memang dah lama tiada penyanyi tetap, bukan tak nak tapi susah nak cari yang sealiran dan satu kepala dengan selera muzik kita.

"Kita buat muzik bukan lagi untuk market tapi lebih kepada kepuasan diri sendiri, jadi situ kami berpeluang menjalin kerjasama dengan beberapa artis tempatan tapi kekal dengan identiti masing-masing.

"MUH kekal dengan muzik tersendiri cuma kita bawakan penyanyi yang berbeza untuk tambah perisa sendiri dalam lagu, itu yang jadinya lagu bersama Hazama, Ayda Jebat, Black dan Boy Clifford," katanya kepada Majoriti.

Terbaharu, MUH tampil dengan naskhah berbeza menerusi kolaborasi bersama Adi Priyo dari kumpulan Sixth Sense menerusi lagu Palung Terdalam.

Dilancarkan sekitar awal November lalu, Taja atau nama lengkapnya Nik Mustaza Nik Mustafa mengambil langkah berani untuk keluar dari kepompong selamat MUH dengan mengetengahkan konflik Palestin-Israel menerusi lagu tersebut.

Berbeza dengan karya terdahulu, Palung Terdalam menjadi medan MUH melontarkan pendapat dan suara berkaitan isu dunia.

STY09589

Taja merupakan komposer utama kumpulan Meet Uncle Hussain.

"Kali pertama MUH hasilkan lagu berkisahkan topik penindasan dunia, atau lebih tepatnya kemelut di Palestin yang kita tahu tiada kesudahannya.

"Adi Priyo pun ada keistimewaan dia sendiri, tajuk lagu tu pun sebenarnya idea dia, Palung Terdalam tu katanya digambarkan posisi lubang neraka paling terdalam buat Israel.

"Ayat 'Aku' dalam bait lirik lagu rangkap pertama itu adalah mangsa di bumi Palestin, jadi kita nak angkat suara mereka, nak ke sana tak boleh jadi kita kongsikan dalam lirik," tambahnya.

Turut merancang untuk mengadakan konsert siri jelajah pada satu hari nanti, Taja menyimpan hasrat untuk menghimpunkan kesemua penyanyi yang pernah berkolaborasi bersama MUH di pentas yang sama.

Akan datang, MUH dikatakan sedang dalam perancangan untuk menghasilkan lagu kolaborasi duet bersama penyanyi hip hop terkemuka, Tuju, namun pembikinan lagunya dikatakan masih di peringkat awal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram