Pentas 'hardcore' ke menara gading, vokalis Dead Graph buktikan pemuzik punk mampu genggam PhD


  • Hiburan
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Yusry Sulaiman menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian Sejarah di UMS.

MUZIK metal ataupun hardcore agak kurang mendapat perhatian di arus perdana, sebaliknya lebih meluas dimainkan di platform bawah tanah (underground).

Namun, kejayaan seorang vokalis kumpulan punk hardcore asal Kota Kinabalu, Sabah ini berjaya membuka mata ramai pihak yang sebelum ini memandang rendah muzik sedemikian yang dikatakan kurang dihargai di Malaysia.

Yusry Sulaiman, 29, dari kugiran Dead Graph baru-baru ini selesai menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian Sejarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

BACA LAGI: Pelopor muzik 'death metal' Malaysia, Langsuir kongsi jampi perubatan zaman British dalam lirik lagu Engkar

BACA LAGI: Bukan lagi bawah naungan Luncai Emas, Margasatwa serlah budaya Terengganu menerusi 'Dalam Kotok'

Kejayaannya yang kini bergelar Doktor Falsafah pendidikan membuktikan muzik mampu bergerak seiring dengan kecemerlangan akademik di peringkat tertinggi.

469947485_992372629588968_3864576909982726348_n

Yusry merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang pengajian Sejarah di UMS.

"Syukur sangat dapat tamatkan pembelajaran di peringkat PhD, lebih tiga tahun saya bertungkus-lumus menyiapkan segala tugasan dan menelaah buku, ia sangat berbaloi.

"Tiada apa yang saya mahu buktikan melainkan akademik itu sendiri sangat penting dalam apa jua bidang diceburi.

"Tak kisah la nak main muzik atau apa sekali pun, akademik nombor satu, yang lain jatuh nombor dua jadi kena dapatkan ilmu baru boleh yang lain," katanya kepada Majoriti.

Bercerita lanjut berhubung perjalanan seni Dead Graph, individu yang lebih mesra digelar Bobby itu menganggap ia sebagai batu loncatan buat kumpulannya lebih rancak menghasilkan karya muzik punk.

Meskipun baru sahaja ditubuhkan awal tahun ini, kumpulan itu sudah pun memiliki lima buah lagu yang semuanya bergenre punk dan hardcore.

"Dead Graph baru sahaja ditubuhkan dan saya pun jadi vokalis tanpa sengaja bila kawan-kawan suruh cuba nyanyi, tiba-tiba mereka suka.

"Saya jadikan muzik sebagai tempat untuk saya lepaskan geram dan stres belajar, muzik pula hardcore lagi la saya minat.

"Setakat ini dah ada lima lagu, kami baru je lagi berjinak dalam muzik ni dan tak sangka pula tular di laman sosial, Insya-ALLAH ada rezeki nak luaskan muzik kami ke semenanjung lepas ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Yusry kini dalam proses untuk mencari pekerjaan usai tamat pengajiannya baru-baru ini.

Meskipun meminati bidang muzik, dia tidak terfikir untuk menjadikan ia sebagai karier sepenuh masa, sebaliknya lebih kepada projek mengisi masa lapang dengan perkara berkualiti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram